YANG kita tahu, ribuan nyawa melayang dalam putaran keganasan sejak tahun 2004 di tiga wilayah bergolak yang dihuni majoriti umat Islam di Narathiwat, Yala dan Pattani, letaknya di seberang perbatasan Malaysia.
Yang kita tahu kemudiannya, kita di Malaysia sangat prihatin dan tampil ingin membantu sahabat di negara jiran yang trauma dan terdera kerana setiap hari ada cerita isteri kematian suami, ayah kehilangan anak dan abang pula ketiadaan kakak atau adik-adik. Ada juga kisah Imam mati ditembak hari ini, dan esoknya, Sami pula habis nyawa di muncung senjata tidak bermata. Yang kita amat tahu, kerana penderaan itu semua, mereka mahukan aman, inginkan damai.
Namun, yang kita samar-samar, punca yang menyumbang kepada siri keganasan itu, yang masih berlanjutan sehingga hari ini. Adakah ia sebab balas dendam, curiga kepada pihak tentera yang berkuasa, isu dadah, dipinggirkan ekonomi perut 1.8 juta rakyatnya di selatan atau angkara pemisah mengangkat senjata menentang kerajaan? Hal keganasan di Pattani misalnya, perasaan tidak puas hati, dari empayar besar suatu ketika, kini hanya wilayah kecil di kawasan selatan dengan kuasa terbatas, boleh juga jadi faktor penyumbang. Atau mungkin juga atas sebab agama, Selatan Thailand jadi tidak aman, sukar damai?
Berdasarkan laporan yang dibaca dan kita dimaklumkan, kerana putaran keganasan itu, selatan Thailand dijauhi, tiada yang mahu hampiri, walaupun sumbernya banyak, pertaniannya subur, produk pelancongannnya pelbagai, makanannya menjentik deria rasa, apa lagi harganya murah.
Dengan laporan-laporan yang masuk dalam radar perhatian kita di sini, di Malaysia, jiran paling dekat dengan Thailand, apalagi Kelantan, yang hanya terpisah sempadan sungai, persoalan mula timbul , apa lapis kebenarannya? Atas sebab berkongsi sejarah bahasa dan budaya yang mirip, bolehkah sakit menanggung akibat keganasan penduduk Selatan Thailand diubati atau sembuh dengan penawar dihulur oleh Malaysia sebagai jiran yang merasakan cubit paha kanan, paha kiri terasa juga?

Bergerak daripada latar itu serta keinginan yang tanpa ditahan-tahan untuk mencari kebenaran, seorang wartawan wanita, dahulunya di Utusan Malaysia, kini di Astro AWANI, Dr. Azlinariah Abdullah sanggup berulang-alik ke Narathiwat, Yala dan Pattani sebanyak lima kali antara 2006 dan 2020 untuk meneroka apa sebenarnya senandika didendangkan masyarakat di sana. Daripada lawatan itu, termasuk ketika di tengah-tengah ketegangan konflik kerana pasca peristiwa TakBai dan tembakan di Masjid Krue Sae (Kerisik), yang berlaku pada hujung tahun 2004, beliau tidak sahaja membuat liputan untuk televisyen dan portal , tetapi juga kemudiannya menghasilkan dua dokumentari mengenai resah damai Selatan. Dan, lama sesudah itu, pemerhatiannya tentang isu keganasan di selatan Thailand ditumpahkan dalam bentuk naskhah buku setebal 108 halaman, diterbitkan Smart Forum Resources pada November 2024 bertajuk Senandika Selatan Thailand Luka Sembuh Parut Tetap Ada.
Menerusi buku itu, Azlinariah, kini Editor Kanan dan Penerbit Astro AWANI, beliau cuba mengajak semua pihak melihat lapis lain kepada isu Selatan Thailand, tidak sahaja seputar yang kita maklum dan tahu.
“Saya mahu sekali pembaca menyelami Selatan Thailand kerana saya mendekati masyarakatnya secara langsung. Profil temu bual saya pula pelbagai, dari penduduk kampung, penoreh getah, pensyarah, belia, tentera, sami, imam, bekas pemisah dan sebagainya. Saya masuk dan keluar ke tiga wilayah itu sebanyak lima kali dalam rentang masa hampir 10 tahun. Saya masuk ke sana tidak hanya sebagai wartawan tetapi juga datang sebagai orang Kelantan, ” kata Azlinariah dalam satu temu bual semasa majlis pelancaran bukunya di Shah Alam yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Prof. Dr. Zulkifli Hassan baru-baru ini.

Perkara itu berasas kerana itu adalah kekuatan yang ada kepada Azlinariah, kata Pengarang Kumpulan Operasi dan Komunikasi Strategik Media Selangor, Noor Azam Shairi yang membuat ulasan buku berkenaan.
“Latar belakang itu, (sebagai wartawan dan orang Kelantan) telah menjadikan kunjungannya tidak hanya satu liputan tetapi ibaratnya ziarah seorang saudara yang jauh — yang setidak-tidaknya berkongsi bahasa, budaya, dan agama. Semua itu memberikan Azlinariah kelebihan untuk melihat kehidupan di wilayah Selatan Thailand dengan mata hati yang lebih akrab,” kata Noor Azam sebelum mengaitkan bahawa Senandika Selatan Thailand Luka Sembuh Parut Masih Ada bukan hanya sebuah catatan sejarah tetapi rakaman watak manusia di tengah konflik yang setiap hari berjuang antara dendam dan ikhlas.
Nah, itu dapat difahami juga apabila dalam bab-bab tersedia seperti Bab 1 (Tentang Melupakan dan Memaafkan Catatan dari Narathiwat); Bab 2 (Antara Nasi Biru dan Kopi Hispter Kisah Perubahan di Yala); Bab 3 (Kematian yang Melahirkan Cerita Dua Imam di Pattani); Bab 4 (Budi Baik DiKenang Juga, Tentera dan Pemisah Sama Sahaja), penulis mahir menyulam emosi, resah, trauma, melawan curiga, menerima takdir, bergolak antara bergerak ke hadapan berubah dan membuat perubahan serta bertaubat kembali ke pangkal jalan.
Dengan bahasa yang mudah difahami dan puitis, penulis memulakan bab di Narathiwat mengimbau temu bual dengan Deraman Ti Mat Shah dan Aishah Samanun. Deraman Ti, bapa kehilangan anak OKU dalam peristiwa Tak Bai manakala Aishah, suaminya mati ditembak pemisah semasa keluar beli sarapan untuk keluarga. Sesuai dengan tajuk, temanya memaafkan dan melupakan, watak Deraman Ti bukan sahaja memaafkan tentera tetapi dalam sedih mencengkam kerana kehilangan, dia cuba melupakan apa yang telah berlaku kepada keluarganya atas hujah tentera yang beragama Buddha tidak memahami Islam dengan erti kata sebenarnya. Kalau ada yang tidak tahu, segarkan ingatan kepada peritiwa Tak Bai di mana semasa bulan puasa puluhan umat Islam mati apabila disusun seperti bata di dalam trak selepas ditangkap. Mereka menemui ajal dalam keadaan lapar dan dahaga kerana lemas hanya kerana didakwa menyokong pemisah menentang kerajaan. Dalam temu bual, Deraman Ti akui sedih dengan apa yang berlaku, tetapi hidup mesti diteruskan kerana katanya di halaman 25, dia dipetik berkata begini : “Kalau anak saya tidak ke Tak Bai pun, anak-anak saya akan mati juga. Mahu marah tentera, anak saya tetap mati juga tidak boleh hidup balik pun.”
Begitu juga Aishah yang cuba memaafkan dan melupakan walau dalam payah, menerima bantuan tentera untuk ke Perkampungan Janda, institusi dibangunkan Permaisuri Thailand sebagai tempat mengasah kemahiran, memberinya kerja serta gaji selain mengisi masa mengubati luka terdera kerana peristiwa keganasan dialaminya dan keluarga.
Dalam bab kembara ke Yala pula, penulis menyelami kisah perubahan dan inginkan perubahan menerusi watak Hatimah dan anaknya Munerah, yang awalnya sakit hati dan marah dengan tentera kerana melepaskan tembakan di masjid Furqan menyebabkan nyawa suaminya dan berbelas yang lain melayang. Tetapi, kepada Hatimah, rasa dendam, sakit hati dan hidup dengan enggan berubah tidak membawanya ke mana-mana. Dia sebaliknya mahu berubah dan melihat pula kebaikan kesan daripada perubahan itu. Kisah perubahan ini, penulis mengaitkan pula dengan gastronomi sukakan hanya Nasi Kerabu dan minum kopi tradisonal sebelum ini dengan kepelbagaian merasai menu lain semasa kunjungannya ke Selatan Thailand seperti Nasi Khaomok dan kopi hipster yang berselerak di Yala.

Paling menarik, temu bual dengan bekas anggota pemisah dan pembunuh upahan dikenali Abe Sae di Bab 4 di mana penulis cuba mencari jawapan jika agama yang menjadi penyebab ada pihak tertentu bangkit menentang kerajaan memerintah. Ini lapis lain dalam mencari kebenaran tentang akar keganasan di wilayah bergolak. Baca bab ini di mana penulis mengenang budi baik tentera kepadanya serta tekadnya yang perlahan-lahan berubah untuk memahami minoriti Islam di tiga wilayah dan bagaimana bekas pemisah bertaubat selepas terhutang budi dengan kebaikan tentera membantunya ke pangkal jalan. Jangan dilupakan, tentera dan pemisah tiada bezanya, mahukan keamanan, inginkan damai. Kepada penulis, jika dua pihak mudah duduk semeja, kerja Malaysia sebagai Fasilitator Dialog Damai jadi mudah untuk melorongkan usaha memulangkan tiga wilayah bergolak ke pangkuan damai.
Dalam hal ini, pelajar Sarjana di Universiti Malaya (UM), yang membuat penyelidikan tentang topik Pattani dan Selatan Thailand, AK Shafizan Johari menyifatkan buku ini tidak sekadar mengenang kitaran keganasan yang berlarutan, tetapi juga menjadi cermin kepada cabaran dan dinamika Dialog Damai Selatan Thai yang masih berlangsung. Dengan kata lain, ia memberikan perspektif segar kepada pembaca yang ingin memahami isu ini dengan lebih mendalam.
“Dalam konteks kontemporari, terdapat formula yang boleh diguna pakai kepada Selatan Thailand, boleh dicadangkan oleh Malaysia atas kapasiti sebagai Ketua Fasilitator dan Pengerusi ASEAN pada 2025 untuk menggerakkan usaha damai, seteruskan mengembalikan keamanan hakiki di sana. Buku ini, dalam bab Penutup, penulis mencadangkan formula atau resipi yang dibuktikan di Acheh dan Selatan Filipina untuk difikirkan bersama,” kata AK Shafizan.
Sebagai buku yang bukan akademik sepenuhnya,walaupun berdiri sebagai naskhah disiplin sejarah, kelainan buku ini, terdapat puisi di pengakhiran setiap bab kerana pendekatan yang mahu pembaca tahu penulisnya cuba masuk dalam setiap watak yang disebutkan dalam penceritaan serta liputan disediakan.
Gambar warna warni hasil bidikan jurufoto profesional Ahmad Zakki Jilan, kini di SelangorKini berjaya merakam watak-watak dalam buku ini, sekali gus mencantikkan lagi memoir wartawan wanita, travelog ke zon konflik, memperjudikan nyawa sendiri semata-mata mahukan kebenaran diperjuang dan ditegakkan, prinsip penting untuk diteruskan oleh wartawan, tidak kira di era mana sekali pun.
– MELURINA AZ merupakan pencinta buku dan penggemar kopi. Buku Senandika Selatan Thailand Luka Sembuh Parut Masih Ada berharga RM35 boleh dibeli menerusi penulisnya sendiri di talian 012-6946483 atau tersedia di Shopee.

