Di sebuah restoran dalam pusat membeli-belah, sisa makan boleh dilihat melimpah-ruah di atas pinggan di mana-mana meja. Belum basi, bahkan masih wangi dan menyelerakan.Ditinggalkan oleh para pelanggan, yang kelak akan mengunjungi lagi restoran itu, kerana, isu kebuluran hanya berlaku pada negara-negara ditelangkup peperangan dan penindasan, Palestin, misalnya.Di sini belum lagi didengar berlakunya krisis makanan.Senario semasa ternyata lebih kemaruk dengan politik kelamin dan menyelak aib rumah tangga orang lain.
Sementara di sudut terceruk, terkapar seorang manusia (bakal) seniman muda, merintih seksa kelaparan.Hampir sebulan merayau-rayau tanpa makanan berzat dan tidur di mana-mana celah bandar raya. Di atas jejambat dan perkarangan masjid. Dengan wajah berserabut dan fikiran berbolak-balik; mempersoalkan kebodohan dan juga keterlanjuran kerana melemparkan diri sepenuhnya sebagai insan kreatif. Dari tempatnya menderita, karyawan berbakat itu merenung daripada kejauhan kenikmatan sisa makanan, dan kemudian ditolak ke dalam tong sampah. Perlukah dia kelaparan konon menjaga imej atau tanpa malu mengutip lebihan makan dari dalam tong sampah? Seni memang indah, tetapi hidup tidak peduli kau siapa.
Perit menanggung perut yang berangin dan kedegilan untuk terus bertahan hidup melalui kerja penulisan, barangkali dimensi baharu dalam naratif kesusasteraan. Pergolakan mental dan seksa kelaparan diselongkar dengan dahsyat oleh Knut Hamsun sewaktu mendorong mata pena atas lembaran kertas. Novel bertajuk Sult atau Hunger (diperkenalkan kepada saya oleh Eka Kurniawan melalui tulisannya di blog), terbit pada tahun 1890, telah mencetuskan gelombang aliran baharu naratologi kesusasteraan genre novel yang didesak kegalauan suasana jiwa protagonis. Air muka dan kulit protagonis mengelupas dengan rangkuman pendedahan situasi jiwanya. Tiada kata-kata merdu mengusik perasaan terbang ke awan. Ia sebuah kisah yang bergelora dan menyentap rasa simpati.
Apa-apa sahaja barang bernilai di tubuh (cermin mata, selimut, baju dan pisau cukur) digadai, demi mengisi tembolok. Bukan selalu, watak utama itu dianugerahkan rezeki yang tidak dijangka. Pemikiran tidak mungkin berkembang dari perut yang kosong. Sungguhpun dengan keadaan menahan kelaparan, ia bukan menghalang kerja penulisan. Watak tanpa bernama, mengerah akal dan daya kecerdasannya untuk menulis dan mendalami setiap layangan idea yang kelak dijadikan naskhah. Andai disingkir oleh penyunting, dia menulis kembali, sampai berkajang-kajang tanpa henti. Sama ada esei falsafah, kritikan sosial dan cerpen. Andai karya tulisan diterima oleh penyunting akhbar, honorarium itu nanti akan dijadikan bayaran sewa bilik dan sudah tentu untuk mengalas perut. Itulah saat yang paling membahagiakan buat pengarang obsesi itu. Dia tahu, masyarakat mungkin menganggapnya abnormal, miring, sekadar kerikil kering, namun, penulisan yang baik, diharapkan menaikkan maruah diri sebagaimana manusia normal yang lain.
Protagonis yang penuh semangat walaupun mentalnya dalam keadaan huru-hara, menulis di mana-mana sahaja biar pun harus menggigit tulang dan serpihan kayu sebagai santapan. Itulah sisa ego dan kredibiliti diri yang wajib dipertahankannya. Beban kelaparan telah melayangkan emosi dan fikiran watak utama – berhalusinasi dan mabuk dengan khayalan buatan sendiri. Jika ilhamnya tidak mengalir seperti dimahukan, watak utama terus-menerus akan berkeliaran, umpama layang-layang terputus tali, dengan jiwa dan akal yang tidak menentu. Lembar demi lembar tertulis, dan sudah tiba masanya naskhah luar biasa itu diserahkan kepada penyunting. Ia sebuah karya hebat, datang daripada ketulusan jiwa, ditulis oleh pengarang berbakat (setara dengan Fyodor Dostoevsky), demikian watak utama bermonolog, dilambung keasyikan.

Hunger, benar-benar mengilu perasaan dan menggugah psikologi. Radikal, kompleks dan menyedihkan sekali gus. Ia penulisan daripada watak marginal yang bersalut debu di jalanan. Bukan dikarang anak bangsawan di rumah agam. Situasi yang dialami watak utama bukan lagi semata-mata fiksyen, tetapi kenyataan hidup sebenar yang diharungi oleh penulis. Sebuku roti amat bernilai buat seseorang yang kelaparan. Demikian berharganya ilham kepada pengarang berbakat. Adakah tekal atau menyerah kalah (beralih kepada pekerjaan sebenar menurut perspektif masyarakat normal), bergantung kepada kekuatan peribadi. Perut dan seni, yang manakah lebih utama? Penyunting ada skop tugasannya sendiri. Dan pengarang ada misinya yang tertentu dalam kerja masing-masing. Kesusasteraan tidak peduli, kalau seseorang itu mati di pinggir jalan atau dijunjung tinggi dengan kalungan gelaran dan royalti.
Siapa sangka, naskhah yang mengharukan itu dipuji oleh ramai pengarang besar terkemudian dan mempengaruhi algoritma penulisan mereka. Langgam penulisan diubah sama sekali. Imaginasi romantik dihapuskan dengan gambaran realiti yang berhubungan dengan situasi manusia nyata. Fasa awal hidup sasterawan disuluh dengan sorotan mata pena runcing hingga ke dasar yang gelap dan terselindung. Menyewa di sebuah bilik pengap, mengemis untuk mendapatkan secebis makanan dan terumbang-ambing antara dunia nyata dan angan-angan. Segala isi perut, kemelut, fantasi, kemarahan dan harapan yang bergulat dari dalam batin diekspresikan dengan kata-kata seadanya. Aliran penulisan kesedaran yang menggelegak dari mata pena Knut Hamsun, turut meresapi tekstur penulisan sastera lalu ditajamkan oleh Franz Kafka, Thomas Mann dan Henry Miller, misalnya.
Tertekan kerana berlapar dan keinginan terdesak menghasilkan tulisan, merasuk watak utama ingin mati buat seketika dan terjaga semula di dunia yang bengis dan mengerikan. Apakah sudah jadi dengan hidupku? Sedemikian terkutuk dan dipersendakan nasib? Aku bukan perompak, hanya seorang pengarang. Aku perlukan makanan agar terus berkarya. Ia dilema yang menghantui insan seni dan kesannya terbenam dalam naskhah penulisan. Tangisan dan kerisauan protagonis terpercik dalam halaman naskhah. Insan seni memang eksentrik tetapi ia bukan disengajakan. Menjalani rutin hidup yang bertentangan dengan masyarakat umum. Kuat termenung, berfikir dan membayangkan apa yang tidak dijangkau masyarakat biasa. Dengan penampilan kusut-masai dan berjalan terhuyung-hayang, tiada majikan berminat menawarkan sebarang pekerjaan kepada pengarang malang itu. Lampu-lampu yang bersinar indah di bandar raya bukan bertujuan mendodoikan seniman.
Seniman/sasterawan dan kemelaratan ialah imej klasik dalam dunia naratif/ciptaan seni. Dari zaman gubahan romantisme, Thomas Chatterton hingga metafiksyen, Roberto Bolano. Dari suatu sudut, pengarang tetaplah manusia normal. Mereka menulis kerana itulah pekerjaan yang mampu (untuk kelangsungan hayat) mendatangkan pulangan. Konon, kepayahan seseorang pengarang (mental dan fizikal), seperti dalam kes Knut Hamsun menghasilkan Sult pada ketika itu, malahan menganjak kecemerlangan naratifnya. Tiada sesiapa yang tahu tentang pergulatan dalam batin watak utama. Ia berbelit dalam pembuluh darah, sendat dan menyakitkan – jiwa serta akal. Setelah naskhah berjaya disudahkan, ia merupakan lonjakan euforia. Entah mereka berpeluang disanjung dan hidup selayaknya (ketika hidup) atau terus-menerus terhimpit hina di celah-celah hutan konkrit pembangunan.
Robert Walser, 78 tahun, pengarang Norway yang mewakili kesusasteraan moden Eropah pada awal abad kedua puluh, ditemui mati (akibat kegagalan jantung), terlentang bersendirian dalam keadaan terbiar di kawasan salji, 25 Disember 1956 di Herisau. Pengarang (genius, bak kata JM Coetzee) yang memilih bersendirian itu (menjauhkan diri dari kelompok intelektual metropolitan), menghuni institusi mental selama 20 tahun. Alangkah populariti sebagai pengarang modenis tidak mampu menyara hidup. Foto kematiannya disebar bagai objek seni. Pada waktu kejadian pengarang itu rebah buat selama-lamanya, beliau menghilangkan diri dari institusi mental usai makan malam. Kesusasteraan berhutang jasa daripada tokoh itu, sedangkan dunia tidak mengambil hirau dengan insiden sedemikian.
Dalam sebuah cerpen, Sensini (termuat dalam The Last Evening on Earth), Roberto Bolano, pengarang yang sinonim mengetengahkan diri sendiri dalam naskhah sastera, bercerita tentang ruang lingkup dunia penulisan. Melalui protagonis yang begitu taasub dengan Sensini (seorang pengarang), dia berusaha untuk mendekatkan diri dengan pengarang digemarinya secara peribadi. Sebagaimana protagonis itu sendiri, Sensini juga sentiasa menyertai apa-apa sahaja peraduan penulisan yang sudah tentu menyediakan wang. Jangan hipokrit, memang itu yang didambakan. Tidak semua kehidupan pengarang itu seiring dengan kemasyhurannya. Sensini hidup lebih sederhana daripada protagonis. Dan dalam suatu dialog, protagonis bertanya kepada Sensini, adakah anak perempuannya turut berminat dengan bidang penulisan. Tidak, jawab Sensini. Malahan amat bersyukur bahawa anaknya memilih bidang perubatan. Selamat hidup.
Novel Hunger tidak akan diulangi lagi, ia sudah melangkaui tahap karya masterpiece. Ia diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan menjadi bacaan wajib kepada pengarang-pengarang. Saya sendiri sudah tidak ingat, berapa kalikah novel itu dibaca. Dan menakjubkan, kesannya tetaplah sama, tegang, tidak rasional, melepasi standard konvensional dan menusuk jiwa, sebagaimana pada pertama kali novel itu dibaca. Bagaikan gesekan biola Antonio Vivaldi pada simfoni Empat Musim. Watak utama itu seperti bukan rekaan, bahkan wujud secara realistik. Kemampuan menghidupkan (suatu yang mustahak dalam kerja penulisan kreatif) karakter dalam naskhah sastera pernah dinyatakan oleh James Wood, seorang pengkritik sastera Amerika Syarikat. Novel yang dianggap terlalu rendah ialah novel yang gagal membuktikan keseriusannya dan tidak layak mendapat kejayaan – demikian kata James Wood. Tiada teknik yang lebih canggih dan tepat untuk menulis tentang kegelisahan jiwa seorang seniman selain daripada aliran kesedaran. Saya juga teringat kepada Tahar Ben Jelloun (asal Maghribi) yang juga memanfaatkan teknik aliran kesedaran (dengan sungguh cemerlang) dalam beberapa buah novelnya.
Rakaman kesengsaraan watak utamanya, berlaku dan wujud dalam sebahagian kehidupan awal pengarang. Bukan buatan atau olok-olok fiksyen. Raut wajah berkerut kerana bergelut dengan kelaparan, seperti menjelma dengan lahiriah dalam fikiran pembaca. ‘’Bila aku ceritakan pada orang, pasti tidak akan ada yang percaya. Dan bila aku tulis, nescaya orang akan berkata bahawa aku berkhayal. Padahal semua ini benar terjadi.’’ Petikan itu seakan suatu pengakuan daripada pengarang, Knut Hamsun sendiri, bukan lagi kenyataan watak utama dalam alam fiksyen agar penulisan lebih dramatik. Benar atau tidak, rasa lapar bukan hal remeh. Ia menyangkut tentang kualiti dan sikap seseorang. Sebagaimana ditempiaskan dalam novel Hunger, protagonisnya yang merupakan seorang pengarang (berakal cerdas), berasa sungguh tidak berdaya untuk mengimbangi kelaparan – hingga kompas moral dan akhlaknya kian tidak menentu. Gara-gara lapar.
Sebegitu besar dan mewahnya muka bumi dengan sumber makanan, tetapi protagonis hidup dalam keadaan melarat. Bayangkan betapa dahsyatnya Knut Hamsun menyelongkar konflik batin dan keangkuhan watak utama tatkala berhadapan dengan situasi kelaparan dan dalam masa yang sama tidak mahu harga dirinya dipandang serong. Biarpun pengalaman tragis yang ditanggung watak utama; benci, marah dan merasakan bahawa dirinya diperlakukan secara tidak adil, tetaplah juga dia manusia normal yang dahagakan cinta asmaradana. Fitrah manusia. Namun kelaparan yang sentiasa mengekori pengarang malang itu, melebur kesempatan untuk berilusi tentang bunga hati. Perut lebih menagih daripada libido seksual.
Di sebuah warung yang dibanjiri para pelanggan, bersusun panjang, makanan dan minuman dipamerkan dalam bekas-bekasnya. Pelbagai aneka jenis hidangan menyelerakan. Alangkah mewahnya hidup di sini. Masing-masing manusianya memiliki wang yang penuh dalam akaun bank. Dan isu makanan bukan hal yang diperdebatkan oleh mereka. Di pinggir gerai, kucing-kucing menikmati makanan atas talam, disediakan oleh pemilik warung, hampir setiap hari. Bertuahnya. Alangkah segarnya minuman berais dan sedapnya lauk-pauk yang dicedok kemudian diletakkan dalam bungkusan. Tiada yang berebut dan berkelahi demi mendapatkan makanan. Sungguh bertamadun dan selayaknya mereka manusia moden.
Manakala di kejauhan, seorang (calon) pengarang duduk menyandar pada dinding belakang pusat membeli-belah dengan wajah kempis kerana terseksa kelaparan. Tulisan-tulisannya tersiar di media massa terkemuka. Bayaran yang diterima kini tinggal habuk di telapak tangan. Mungkin ada pembaca yang meminati kerja penulisan sekali gus kagum mengikuti gaya naratifnya. Namanya disebut-sebut dan dianggap berpotensi sebagai bakal sasterawan besar negara suatu hari nanti. Tetapi apalah erti itu semua. Abstrak. Cita-citanya melangit, tetapi sebutir nasi pun tidak termampu dinikmati. Pengarang ilusif itu tinggal sehelai pinggang, tidak berumah, bahkan tidak ubah seperti pengemis. Hari demi hari, ke hulu hilir di sekitar bandar raya dengan poket dan perut kosong, tetapi kesusasteraan langsung tidak berasa kasihan sedikit pun mengenang kehidupan pedih yang dilaluinya.
– ROSLAN JOMEL merupakan pengarang kelahiran Kuching< Sarawak dan kini berkarya di Kuala Lumpur.
