MEREKA Kembali pada tahun 2024 ini dengan rilisan terbaharu yang diberi tajuk ‘Sattira’. Kumpulan yang berasal dari Perak ini baru tahun sudah penulis sedar kewujudan mereka dari kongsian rakan-rakan di media sosial. Video persembahan langsung mereka berjaya menambat penulis untuk terus mendalami muzik kumpulan ini.
Membawakan aliran Fuzz Rock, ia bukan perkara baharu buat pendengar Malaysia terutama peminat muzik dalam lingkungan 50 tahun ke atas. Namun mereka membuat penetrasi kepada pendengar remaja dengan karisma mereka ketika membuat persembahan di pentas mahupun dan video muzik mereka. Kebetulan pula sejak PKP lalu vibe busana 70an dan 80an menjadi kegilaan remaja. Mereka pandai menjalin visual dengan audio bawaan Raksar. Bunyian mereka yang berdengung dan kasar mengingatkan penulis kepada kumpulan rock dari Singapura ‘Rockers’.
Berbanding album pertama mereka ‘Bentala’ , ‘Sattira’ lebih matang kewujudannya. Menampilkan sembilan lagu baharu dan satu lagu dari album pertama (Kiriman Setan) akan membuka satu perspektif baharu bagi pendengar yang ingin mengenali aliran ini. Bunyian analog lebih kuat dan digarap rapi menunjukkan satu usaha keras mereka bagi mengisi lompong-lompong yang terdapat dari album sebelumnya (walaupun kita tahu zaman kini manalah nak dapat rekod lagu dengan teknik analog secara total).
Bersesuaian dengan judul album, lagu-lagu ciptaan mereka berkonsepkan sindiran-sindiran pedas dan sinis kepada ‘pihak tertentu’. Koruptor bukan sekadar pengamal rasuah, tetapi penindas, penyalah guna kuasa mahupun penunggang agama juga termasuk dalam golongan ini. Maka tidak hairanlah unsur-unsur mistik dan tahyul berbaur hamis dalam lirik-lirik mereka. Apatah lagi sebuah lagu instrumental berentak padang pasir yang bunyinya berat dan kasar dimuatkan dalam album ini. Keunikan penulisan lirik Raksar juga amat mengagumkan. Mereka banyak menggunakan kosakata alternatif yang menjadikan setiap bait lirik tampak puitis walaupun dengan bunyi yang berat.
Aliran Fuzz Rock tidak menjumudkan lagu dalam album ini. ‘Tumpor’ yang hadir dengan bunyian Rock n Roll ala The Ramones dan dinyanyikan dalam loghat Bote (tak tahu yang kiri ke kanan). Unsur punk rock sangat tebal dalam lagu ini dengan kord yang sedikit dan bahagian singalongnya. Tak mustahil lagu ini pasti akan jadi anthem di setiap persembahan sepertimana ‘Boo Hoo Clapping Song’ mahupun ‘Che Using’. Namun penulis lebih terpaut dengan lagu ‘Mena-ruh’ yang berentak balada. Pertama kalinya penulis mendengarnya roh terus keluar dari badan dan kembali ke era 90an yang penuh dengan bunyian akustik dari Blind Melon , STP mahupun Pearl Jam. Ianya balada yang sangat Grungify!
Hadir dalam bentuk fizikal dan entah bila mereka akan hasilkan album digital di pelantar siber dengan pakej menarik. Covernya dicipta berbentuk booklet yang mereka gelarkan mini zine kerana setiap lirik lagu, mereka akan nukilkan sekali cerita di balik tabir proses penciptaannya beserta gambar-gambar (mungkin untuk tujuan throwback bila mereka tua nanti). Hadir dalam bentuk reka kulit conceptual yang disusun atur oleh Azzim Luqman berkolaborasi bersama Aida Tsara sebagai pereka seni lukisan dan visual artwork dalam album ini menekankan bahawa seni suara seiring dengan seni visual untuk bergerak bersama. Ini antara faktor besar yang sering diabaikan penggiat seni suara. Mereka menghasilkan karya lagu yang bagus, namun pakej pembungkusan yang sangat miskin idea.
Walaupun album ini terbit secara fizikal, namun 3 lagu terpilih telah mereka muat naik di pelantar Bandcamp Raksar. Untuk memiliki album ‘Sattira’ dalam format cakera padat, anda boleh menghubungi sendiri Raksar di akaun media sosial mereka atau dari distro-distro berdekatan.
