Benjamin Britten (1913-1976) adalah seorang penggubah muzik, konduktor dan pemain piano terkenal Inggeris yang berperanan besar dalam muzik British abad ke-20. Karyanya berbentuk muzik klasik termasuk opera, vokal, orkestra dan chamber.

Pada tahun 1956, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman telah mengundang beliau untuk menggubah lagu kebangsaan Malaya.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Lagu Kebangsaan Malaya, beliau turut mengundang William Walton, Gian Carlo Menotti dan Zubir Said untuk menghantar gubahan lagu mereka.


Penyertaan untuk pemilihan lagu kebangsaan adalah terbuka. Terdapat 514 penyertaan tetapi jawatankuasa tidak berpuas hati dan menolak kesemuanya.
Waktu semakin singkat. Jawatankuasa mengambil keputusan mengundang empat penggubah elit ini untuk menyertainya.
Pengarah Perkhidmatan Penerangan Malaya, Yaacob Latiff bertemu sendiri Zubir untuk mengundang beliau menghantar gubahannya.

Zubir lahir di Fort De Kock (kini Bukittinggi), Sumatera pada tahun 1907. Beliau berhijrah ke Singapura pada tahun 1928. Beliau yang pernah menjadi jurugambar sambikan akhbar Utusan Melayu telah membina kerjaya sebagai penggubah muzik untuk persembahan bangsawan dan filem Melayu

Britten pula terkenal dengan karya opera bertajuk “Peter Grimes” (1945), “The Turn of the Screw” (1954) dan “Billy Budd” (1951).
William Walton pula ialah penggubah muzik march British yang terkenal dengan gubahan muzik perarakan pertabalan Queen Elizabeth II pada tahun 1954.
Menotti (1908-2007) pula adalah seorang penggubah lagu Itali yang berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1938.
Beliau yang juga terkenal sebagai librettist iaitu penulis teks opera adalah pencipta karya “Amahl and The Night Visitors” (1951), “The Consul” (1950) dan “The Bleecker Street” (1955).
Menurut Britten, walaupun beliau ‘curious’ atau amat ingin tahu mengenai undangan itu tetapi beliau “takut tidak dapat melaksanakan tugas” itu dengan baik. Ini kerana kehendak jawatankuasa yang dinyatakan dalam surat itu amat ringkas.
Maka gubahan Britten itu mengandungi unsur muzik tradisi Melayu, China dan India bagi mencerminkan negara baharu ini.
Namun begitu, Briitten menyatakan bahawa beliau tidak menyimpan salinan karya muzik yang dikirimkannya kepada Jawatankuasa Pemilih itu. Pada tahun 2010-an, ada pihak yang berusaha mencari karya muzik Britten itu di Arkib Negara tetapi tidak ditemui.
Ternyata tidak ada sesiapa menyimpan naskhah gubahan muzik yang diterima oleh Jawatankuasa Pemilih. Kesemua 514 karya muzik yang dikirim untuk ditimbangkan bagi lagu kebangsaan Malaya tidak ditemui. Begitu juga karya-karya dari empat penggubah yang terkenal itu.
Jawatankuasa Pemilih menolak karya Britten itu tanpa menyatakan sebab-sebabnya. Tetapi ada pengulas yang menyatakan bahawa karya Britten itu tidak mencerminkan identiti Malaya khususnya yang berkaitan dengan muzik tradisi Melayu.
Karya Zubir juga tidak terpilih untuk dijadikan lagu kebangsaan. Bagaimanapun beliau kemudiannya telah diminta untuk menggubah lagu negeri Singapura. Karyanya diterima dan lagu “Majulah Singapura” kini merupakan lagu kebangsaan republik itu.
Salah seorang lagi penggubah lagu yang karyanya tidak terpilih ialah Jimmy Boyle. Namun begitu, melodi karya beliau tidak hilang kerana ia diterima untuk dijadikan salah satu lagu patriotik negara.
Melodi itu telah digunakan untuk lagu yang berjudul “Putera Puteri”. Penulis lirik “Putera Puteri” adalah Dol Berahim yang kemudiannya menjadi Pengarah Orkes RTM
Setelah tiada lagu kebangsaan dapat dipilih, Tunku meneliti lagu-lagu rasmi setiap negeri yang sudah ada iaitu Perak, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Beliau memilih lagu negeri Perak sebagai lagu kebangsaan Malaya dengan pengubahsuaian rentak dan lirik. Menurut kisah, lagu negeri Perak itu mula muncul pada tahun 1902 semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Azzam Shah iaitu dari tahun 1887 hingga 1916.
Pada tahun itu, Sultan Perak telah mengadakan lawatan rasmi ke London, Britain untuk menghadiri istiadat pertabalan King Edward VII. Apabila diadakan sambutan hormat, pihak British meminta nota lagu rasmi negeri. Pada masa itu, Perak belum ada lagu negeri. Baginda pun bersiul melodi lagu “La Rosalie” dan pancaragam tentera British memainkan lagu itu dengan baik.
Ketika itu, juru iring (aide de camp) baginda ialah Raja Ngah Mansur, putera sulung Sultan Abdullah Muhammad Shah II yang dibuang negeri oleh British ke Pulau Seychelles dari tahun 1877 hingga 1894.
Adindanya iaitu putera kedua sultan, Raja Chulan menziarah baginda pada tahun 1889.
Sekembalinya ke Kuala Kangsar pada tahun 1890, Raja Chulan membawa melodi “La Rosalie” itu dan memperkenalkannya kepada Raja Ngah Mansur.
Sultan Abdullah sering mendengar lagu “La Rosalie” semasa baginda tinggal di Pulau Felicite dan Mahe, ibu kota Pulau Seychelles selama 17 tahun.
Seychelles yang asalnya tidak berpenghuni dikenali di kalangan pelayar-pelayar Arab. Kemudian pihak Portugis sampai ke situ. Tetapi Perancis mengisytiharkannya sebagai miliknya. Namun kemudian British mengambil alih pulau itu daripada Perancis.
Pelayar-pelayar Perancis membawa lagu “La Rosalie” dan menjadikannya popular. Lagu itu dicipta oleh penyair dan penulis muzik Perancis, Pierre-Jean Beranger (1780-1856).
Sultan Abdullah disertai keluarganya ketika berada di Seychelles. Keseluruhan rombongannya berjumlah 37 orang yang terdiri daripada ahli keluarganya.
Tetapi dua orang puteranya, Raja Ngah Mansur dan Raja Chulan tidak ikut serta.
Raja Chulan ketika itu sedang belajar di Raffles Institution di Singapura dan kemudian High School Melaka sebelum berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Perak pada usia 17 tahun. Pada masa itulah Raja Chulan berangkat ke Seychelles untuk menziarah ayahandanya, iaitu selepas 13 tahun berpisah.
Semasa di Mahe, saudara tirinya, Raja Halijah memperkenalkan “La Rosalie” padanya. Raja Halijah memainkan piano dan Raja Chulan memainkan violin untuk memperdengarkan lagu itu.
Apabila melodi itu diterima sebagai lagu negeri, Raja Ngah Mansur menulis liriknya dengan tajuk “Allah Lanjutkan Usia Sultan”.
Lagu “La Rosalie” tersebar ke merata-rata pulau dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik dan popular di kalangan pelaut. Ia dinyanyikan di kepulauan Hindia Timur Belanda (kini Indonesia), Singapura, Hong Kong hinggalah ke Hawaii.
Ia juga muncul dalam pelbagai versi. Dalam bahasa Inggeris, ia digubah oleh seniman Danny Vaughn dengan tajuk “Mamula Moon”. Ia kemudian menjadi popular apabila disembahkan dengan gaya Hawaii oleh Felix Mendelssohn and His Hawaiian Serenades pada tahun 1947.
Dalam bahasa Kantonis, ia dirakam di Hong Kong dan Shanghai pada awal abad ke-20 oleh seniman Yao Lee dengan tajuk Seung Wui Siu Ho Bin yang bermaksud “Bertemu di Tepi Sungai”.
Tetapi dalam bahasa Mandarin, lagu ini diberi tajuk “Terang Bulan di Nanyang (Laut Selatan).
Dalam bahasa Belanda, penyanyi Zangeres Zonder Naam menyanyikan lagu ini dengan tajuknya menggunakan ejaan lama bahasa Melayu Hindia Timur iaitu “Terang Boelan.”
Pada tahun 1943, Jepun membuat sebuah filem propaganda bertajuk “Marai No Tora” atau “The Tiger of Malaya (Harimau Malaya)”. Dalam filem itu didendangkan lagu “Terang Bulan” yang tajuknya dieja”Teran Buran”.
Dalam bahasa Melayu, ia muncul melalui kumpulan bangsawan di Betawi (Batavia, kini Jakarta) mendendangkan lagu “Terang Bulan” dalam persembahan teater tradisional yang diadakan secara bergerak di bandar dan pekan di seluruh Hindia Timur, Singapura dan Tanah Melayu. Bagaimanapun, tidak diketahui siapakah penulis liriknya.
Pada 5 Ogos 1957, Jawatankuasa Pemilih secara rasmi menerima supaya melodi lagu negeri Perak itu dijadikan lagu kebangsaan Malaya atas sebab “keindahan dalamannya dan estetika akustik tradisionalnya.”
Ekoran itu, Tunku mengundang penggubah lagu, Saiful Bahri Ilyas (1924-1976) untuk menulis lirik dan menyusun vokalnya.
Saiful dilahir di Payakumbuh, Sumatera dan berhijrah ke Betawi pada tahun 1941. Pada tahun 1950-an, beliau sering pergi ke Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Masa inilah beliau bertemu Tunku. Beliau menjadi penggubah lagu untuk Shaw Brothers dan Cathay Kris.

Lirik “Negaraku” itu dinilai oleh sebuah panel yang mahukan senikatanya memberi penekanan terhadap nilai-nilai perpaduan, kesetiaan dan kemajuan.
Lenggok bahasanya yang dipengaruhi oleh loghat Kedah Tunku diperbaiki oleh pegawai kebudayaan, Syed Nasir Ismail yang berasal dari Johor. Beliau beberapa tahun kemudian menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lirik “Negaraku” diterima oleh orang ramai kecuali ayat “tanah tumpahnya darahku.” Ini kerana dalam lagu kebangsaan Indonesia, pada ayat kedua terdapat juga ayat yang serupa iaitu ”tanah tumpahnya darahku”.
Menurut pihak yang mempersoalkannya, perkataan itu sesuai dengan Indonesia kerana negara itu mencapai kemerdekaan melalui revolusi yang menyaksikan pertumpahan darah. Sedangkan Malaya merdeka secara aman iaitu melalui rundingan.
Tetapi dihujahkan pula bahawa pencapaian kemerdekaan Malaya juga melalui pertumpahan darah dalam Darurat. Maka ayat itu terus kekal pada baris kedua lirik “Negaraku”.
Lagu kebangsaan itu buat pertama kalinya dikumandangkan pada malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) dan 31 Ogos 1957 semasa Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu di Stadium Merdeka.
Sejak itu, lagu “Terang Bulan” dilarang dikumandangkan oleh Radio Malaya dan di tempat-tempat awam. Sebagai menghormati kedaulatan Malaya, Presiden Sukarno juga melarang sebarang penyiarannya di Radio Republik Indonesia (RRI) dan persembahan lagu itu di seluruh Indonesia.
Apabila Malaysia ditubuhkan, Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah menerima “Negaraku” sebagai lagu kebangsaan bersama.
Tetapi oleh kerana Indonesia membantah penubuhan Malaysia dan diikuti tindakan Konfrontasi, Presiden Sukarno mengarahkan RRI menyiarkan semula lagu “Terang Bulan” untuk memburuk-burukkan Malaysia.
Saiful tidak bersetuju dengan Konfrontasi itu dan berhijrah ke Malaysia pada tahun 1963. Untuk mengelak komplikasi politik, beliau menggunakan nama Surya Buana.
Beliau yang terkenal dengan saksofonnya muncul sebagai tokoh penting dalam pembinaan budaya negara melalui peranannya dengan Orkes Radio Malaysia dan Filem Negara.
Menjelang penubuhan Malaysia, kerajaan menugaskan satu lagu tema untuk meraikan penubuhan negara ini. Lagu itu dinamakan “Malaysia Forever” yang digubah dan liriknya ditulis oleh bandmaster dan peniup terompet Kanada, Bobby Gimby (1918-1989).
Tunku menyifatkan lagu itu sebagai “lagu kebangsaan kedua” Malaysia.
Beliau mendapat tugasan ini pada tahun 1962 ketika datang ke Singapura untuk urusan perniagaan.
Gimby memperkenalkan lagu “Malaysia Forever” dengan meniup terompetnya sambil mengetuai sekumpulan 100 orang kanak-kanak berarak di jalan-jalan di Singapura hingga beliau dinamakan “Pied Piper of Canada.”
Lagu ini dirakam melalui nyanyian Koir Sekolah Vakasional Marymount Singapore dan ia menjadi popular apabila Radio Singapura sering menyiarkannya.
Tunku menyifatkan penciptaan lagu ini sebagai suatu detik bersejarah yang penting dengan liriknya dikarang secara indah untuk menekankan “semangat rakyat wilayah-wilayah ini (Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah ) untuk bekerja dan hidup bersama dalam perdamaian dan perpaduan.”
Lagu ini dimainkan bersama “Negaraku” semasa acara perisytiharan penubuhan Malaysia di Padang Bandar Raya Singapura dengan nyanyian dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Mandarin. Ia turut diajar di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Versi bahasa kebangsaannya bernama “Hidup Malaysia”. Tetapi media pada tahun-tahun kemudiannya menamakannya “Malaysia Selamanya” sebagai terjemahan kepada “Malaysia Forever”.
Tetapi ia tidak wajar dikelirukan dengan satu lagu patriotik terbitan tahun 2020 bernama “Selamanya Malaysia” dan lagu terbitan 2021 bernama sama iaitu “Malaysia Selamanya”. Keduanya mempunyai melodi dan lirik berbeza.
Selepas Singapura berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, lagu “Malaysia Forever” sudah tidak lagi disiarkan oleh Radio Singapura dan Radio Malaysia. Ternyata kehadiran Singapura dalam Malaysia tidak “forever” (selamanya).
Satu lagi lagu patriotik yang hampir hendak dijadikan lagu kebangsaan ialah “Malaysia Raya”. Lagu ini digubah oleh Jimmy Boyle tetapi liriknya ditulis oleh Dol Berahim. Melalui namanya, ia seolah-olah hendak bersaing dengan lagu kebangsaan Indonesia bernama “Indonesia Raya”.
Lagu ini juga dinyanyikan dalam acara perisytiharan penubuhan Persekutuan Malaysia di Stadium Merdeka pada 16 September 1963. Versi awal lagu ini dirakam oleh Koir Maria Lim bersama Orkes RTM dalam albim Seniman Silam.
Selepas Presiden Sukarno digantikan dengan Presiden Suharto, maka Konfrontasi ditamatkan. RRI juga menghentikan semula penyiaran lagu “Terang Bulan”.
Lagu “Malaysia Raya” ditukar nama kepada “Kemegahan Negaraku” dan perkataan “Malaysia Raya” dalam liriknya pada tahun 1990-an ditukar kepada “Malaysia jaya”.
Ini kerana istilah “Malaysia Raya” mempunyai implikasi politik iaitu ia merupakan lanjutan pada gagasan “Melayu Raya” yang membawa maksud wilayah yang meliputi negara-negara Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan empat wilayah Melayu di Thailand Selatan, malah meliputi juga Filipina.
Jimmy Boyle atau James W Boyle adalah pemuzik jazz kelahiran Pulau Pinang. Beliau adalah juga pencipta lagu negeri Pulau Pinang “Untuk Negeri Kita” yang pertama kali dikumandangkan pada tahun 1972.

Selain lagu “Putera-Puteri”, Boyle juga yang mencipta lagu-lagu patriotik berjudul “Jauh Jauh”, ”Chendering” dan “Sungai Pahang” yang sering disiarkan oleh RTM.
Pada tahun 2003, ada cadangan ditukar nama “Negaraku” kepada “Malaysiaku.” Tetapi cadangan itu ditolak. Hanya susun rentak “Negaraku” dipercepatkan untuk menggambarkan negara ini hidup cergas dan menumpukan perhatian kepada usaha untuk mencapai status negara maju melalui dasar Wawasan 2020.
