“Saya rasa saya berhutang kepada masyarakat,” kata Datuk (Dr.) M. Nasir. Beliau menjelaskan motivasinya untuk menganjurkan Konsert Gendang Pati di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 17 Januari 2026 nanti.
“Saya ingin memberi sedikit sumbangan, apa yang saya ada, kepada masyarakat, khususnya pelajar-pelajar UPSI. Pendedahan kepada persembahan yang bertahap industri,” katanya dalam sidang media konsert tersebut di kafe Hetam+, Damansara Perdana.
Bagi M. Nasir, itu merupakan tujuan utama penganjuran konsert tersebut yang pertama kali diadakan di dalam universiti, selepas KLCC dan Singapura pada 2023.
“Saya nak dedahkan warga UPSI kepada industri. Saya pernah buat persembahan di sana tetapi itu, bagi saya, tahap pelajar.
“Selebihnya, saya pun nak uji diri sendiri, laku atau tidak di universiti,” katanya.

M. Nasir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan daripada UPSI pada 2024.
Konsert Gendang Pati merupakan persembahan berkonsep yang mana lagu-lagu M. Nasir akan dimainkan dengan susunan yang berasaskan gendang.
Kata M. Nasir, kata “pati” pada nama konsert tersebut juga boleh ditafsirkan sebagai “party”—sebuah keramaian dan pesta gendang. Malah, pemilihan lagu dalam konsert itu juga akan disesuaikan dengan konsep tersebut.
“Mungkin akan didominasi lagu-lagu dari album Canggung Mendonan,” jelasnya.

Hasrat untuk menyumbang kepada warga UPSI juga tidak terhenti setakat persembahan. Menurut Pengarah Muzik konsert tersebut, Aznan Alias, kumpulan pemuziknya yang dikenali sebagai Gong akan turut mengadakan klinik bersama pelajar muzik di UPSI.
Kata beliau, para pelajar akan didedahkan dengan peluang-peluang yang ada dan bagaimana cara untuk membawa diri dalam industri, selain perkongsian tentang teknik persembahan dan kaedah memodenkan persembahan muzik asli.
Sementara itu, menurut Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersialan) Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI, Prof. Madya Dr. Kamarulzaman Mohamed Karim berkata, para pelajar akan turut dilibatkan dalam penganjuran konsert tersebut.
“Selain penampilan kumpulan koir Devokalis, ada juga kumpulan pergendangan melibatkan pensyarah dan pelajar, serta kumpulan tarian yang akan turut membuat persembahan,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Dekan FMSP UPSI, Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani.
Tiket ke konsert tersebut telah mula dijual sejak 15 Oktober lalu dan setakat ini, sebanyak 31% tiket telah terjual. Dua kategori tiket, Hud Hud (meet & greet) dan Apokalips telah habis dijual.
Tiket boleh dibeli di sini.
