SUMPAH! Kami bukan suka sangat menyebut nama dia. Satu sebab adalah kerana takut dikatakan menumpang kehebatannya, sementelah pula kami ini bukanlah koman sangat, tetapi Jalaini Abu Hassan ini kadang-kadang ada baiknya.
Maksud baik disini adalah dia berani dalam berkata benar mengenai hal persekitaran seni di negara kita. Bila dia menegur bahawa program bual bicara pameran ‘ESTETIKA TIMUR’ Awang Damit Ahmad yang menurutnya tidak memberikan jawapan dimana ‘timur’ yang dimaksudkan maka kami pun bertepuk tangan.
Harus difahami bahawa kami bertepuk tangan diatas keberanian dia . Kami sangat meraikan perbezaan pendapat dalam banyak hal dan kami percaya apa saja perbincangan akan sedikit demi sedikit membuang kebodohan yang masih ada pada kami ini.
Harus juga difahami bahawa yang diperkatakan di sini adalah mengenai sesi bual bicara pameran Pak Awang. Bukannya karya terbaru Pak Awang per se.
Untuk hal karya, kami serahkan kepada Jaafar Ismail,iaitu seorang lagi pemberani bila datang soal bercakap hal-hal seni di tempat kita ini. Pun begitu kamu perlu memaafkan Jaafar bila dia akan segera kembali kepada Piyadasa dan Ismail Zain dalam setiap perbicaraan mengenai seni. Ianya adalah kelebihan yang ada pada dia atau jika kamu suka, mungkin juga kelemahannya.
Sekurang-kurangnya dia tidak sesibuk Jalaini yang selalu asyik menyebut nama orang putih itu.
Untuk makluman, kami tidak hadir ke acara yang maksudkan kerana tidak berapa sihat. Atau jika kami ingin berkata benar, kami takut kena marah oleh Nizam Rahmat.
Kedua-dua nama- atau tiga jika kamu mengira nama Nizam- yang kami sebuat diatas amat kami hormati. Mereka semua adalah pemberani dalam bidang masing-masing.
Maka selesailah sesi name dropping’ untuk artikel kali ini.
Memperkatakan karya adalah hal yang sangat menarik bagi kami. Kami selalu ingin tahu mengapa satu-satu karya itu dihasilkan. Kita boleh melupakan bahawa karya apa pun yang dihasilkan adalah untuk seni. Semua seniman mengharapkan karyanya terjual.
Yang melukis sekadar hobi, yang melukis sambil dapat gaji beribu-ribu setiap bulan atau pun yang hanya mengharapkan hasil jualan karya untuk membeli beras semuanya menghasilkan karya untuk wang. Maka kita boleh lupakan sebentar mengenai seniman tulen yang katanya adalah pejuang sebenar seni.
Lalu senjata paling ampuh seorang seniman adalah memberitahu dunia mengapa mereka menghasilkan satu-satu karya. Ianya adalah salah satu langkah pemasaran. Lakukannya dengan baik maka mungkin karya kamu akan menjadi milik orang.
Sedikit selingan.
Menghasilkan karya hanya langkah pertama dalam menjual . Kamu perlukan pasukan yang bagus untuk membawa kerja kamu ke mata pasaran. Kamu lihat Red Hong Yi berjaya tetapi kamu tidak lihat betapa kerasnya kerja yang dilakukan oleh pasukannya untuk mencapai tahap begitu. Kamu kedekut tidak mahu berkongsi pendapatan sebab kamu nak makan seorang supaya kamu boleh pakai Harley Davidson dan ikat saputangan key dikepala macam Jai dan kamu katakan bahawa orang tidak memandang berat bakat hebat kamu. Baser.
Dunia akan terus melupakan Van Gogh jika bukan kerana kakak iparnya Johanna Gezina van Gogh-Bonger yang tidak jemu-jemu mengusung dan mempromosi karya pelukis itu untuk dikenali. Begitu juga kamu tidak mungkin dapat melihat foto-foto kerja akhir karya ‘Guernica ‘oleh Pablo Picasso jika buka kerana foto-foto yang diambil oleh Dora Maar, sang kekasih dan jurugambar utama seniman besar itu.
Bina pasukan kamu sendiri. Cari tukang tulis, tukang gambar, pegawai pemasaran dan hebahkan kerja kamu kepada dunia. Mana tahu memang rezeki kamu dalam berkarya. Dalam hal menulis jangan cari kami. Selain mahal kami juga menulis mengikut nafsu.
Kami juga gemar untuk mengambil tahu apa yang menjadi motivasi kepada seseorang untuk memiliki sebarang karya. Para pembeli karya ditempat kita yang terkenal berpuak itu mesti ada sebab untuk mereka memilih satu-satu karya.
Buku ‘Butterflies In My Stomach‘ adalah kisah itu.
Nik M. Fahmee menceritakan satu persatu sebab mengapa dia membeli lukisan. Dan semua kisah-kisah yang dikabarkan dengan amat menarik.
Misalnya, lukisan ‘The Black Cat‘ (1979) hasil karya Dzulkifli Buyong dibeli kerana ianya mengingatkan dia kepada peristiwa pengalaman pertamanya memandu kereta sewaktu berusia 15 tahun.
Kerana menyangka bahawa memandu kereta itu mudah dia telah cuba untuk memandu kereta Toyota milik ayahnya dan telah menghentam pagar jiran setelah terkejut Ketika seekor kucing hitam melintas secara tiba-tiba.
Kemalangan kecil ini menjadi kenangan besar kepada penulis dan lukisan karya Dzulkifli Buyong itu menjadi penyandar kepada sebuah memori untuk penulis buku ini.
Mengenai karya yang berjudul ‘Artist as animal ‘ (2016) oleh pelukis Hisyamuddin Abdullah pula, penulis mengemari keluh kesah seniman ini mengenai dirinya yang dianggap seperti seekor lembu. Susunya diperah dan diperah sebagai santapan pihak yang galak meraih untung. Karya yang datang dari pelukis semuda ini, dengan kesebalan begini tentu saja mengajak semua seniman membuka mata mereka untuk memiliki jatidiri yang lebih kuat untuk menghasilkan karya yang lebih bermakna dan tidak hanya menjadi lembu tunai.
Secara personal,kami gemarka karya-karya Hisyamuddin.
Stephen Menon adalah ‘keling’ yang kami suka. Pertama kali bertemu entah berapa puluh tahun dulu adalah bila seorang sahabat mengatakan bahawa di Kampung Tengah ada seorang budak india yang terrer melukis. Dia bekerja membuat animasi di Kuala Lumpur dan kadang ada bercuti di kampungnya itu. Kami cari waktu cutinya lalu kerumah Stepehn dan mula berkawan. Dia kemudiannya membuka sebuah galeri lukisan di sebuah kompleks beli belah. Galeri Bara Hati jika tidak silap ingatan kami. Sempat juga dia menjual beberapa keping karya kami sebelum galeri itu ditutup.
Kuantan ni tuan-tuan yang mulia bukan saja galeri lukisan milik persendirian ditutup, Balai Seni Lukis Negeri Pahang pun mereka bulldozer dan buat tempat letak kereta.
Karya berjudul ‘Aku Bukan Keling’ (2020) karya Stephen mengingatkan penulis buku ini mengenai susur galur keluarganya. Seumur hidup sebelum dewasa dia ingin menafikan bahawa dia berketurunan mamak. Ini menurutnya adalah kerana tonasi perkauman yang disabitkan dengan gelaran tersebut.
Karya Stephen ini juga mengingatkan kami kepada karya Ninrajah yang berjudul ‘Telinga Keling’ (1999) yang juga membawa keluhan yang sama. Mungkin sudah sampai masanya kita melupakan hal warna kulit. Mungkin kita cuma boleh berharap.
Kisah yang menjadi judul buku ini adalah kisah yang paling kami gemari. Namun kerana kami pernah mengulas buku ini ditempat lain dan mengkisahkan hal rama-rama berkenaan, kami biarkan kamu sendiri membacanya.
Beli dan bacalah buku ini kerana kamu akan mula memahami mengapa rezeki itu bukan kerja kamu dan dalam masa yang sama kamu akan dihiburkan dengan cerita-ceriti sepintas kenangan seorang pembeli dan karya yang mereka miliki. Dan juga mungkin sedikit cerita peribadi seniman yang menghasilkan karya yang diceritakan didalam buku ini.
