“Oh! Saya ada kawan kat Ulu Tembeling!”
Biasanya bila mereka tahu kami dari Kuantan, mereka akan segera memberitahu yang mereka ada kawan, saudara atau bekas kekasih dari negeri Pahang. Kadang entah ulu banat mana yang mereka sebutkan. Mereka sangka Kuantan ini bersebelahan dengan Ulu Tembeling, Lancang, Telok Ira, Kuala Woh dan mungkin juga Sempalit. Tidak jarang juga ada yang memesan supaya kami belikan mereka murtabak Jerantut Feri bila nanti kami bertemu lagi.
Agaknya mereka menyangka Mok kami mengenali semua orang Pahang seperti semua orang Kuala Lipis ialah sepupu Siti Nurhaliza. Jenis tak belajar Ilmu Alam dan tak cinta negara sendiri. Jenis minum air dalam mangkuk gamaknya. Jenis tak bertamadun.
Murtabak Jerantut itu jadi sedap jika kamu suka murtabak yang penuh dengan rempah ratus dan juga agak lembab. Kami lebih suka murtabak Pekan yang sedikit kering dan tidak sibuk dengan rasa jintan dan bunga lawang. Secara khususnya kami suka murtabak Mengkasa yang dijual di Bukit Sekilau, Kuantan berbanding yang dijual di bandar Pekan hanya kerana yang di Pekan itu ada sedikit masalah dalam hal menghargai pelanggan.
Kerana perkara-perkara yang kami cerita ini lah, kami merasa agak kecewa apabila Nik M. Fahmee, penulis buku Walking Back Home menulis Kampung Kurnia terletak di Gambang.
Kampung Kurnia terletak di Batu Tiga, Kuantan yakni tiga batu dari pusat bandaraya itu. Gambang terletak lebih 30 kilometer dari Kuantan. Nama besar jalan dari Tanah Puteh hingga ke bandar Gambang (30 kilometer) itu digelar sebagai Jalan Gambang maka Kampung Kurnia ialah sebahagian dari Kuantan bukannya hak milik mutlak Gambang.
Namun yang tidak mengecewakan kami adalah apabila kampung Kurnia itu disebut beberapa kali dan buku terakhir dari trilogy yang bermula dengan Ginger Biscuits kemudian Butterflies In My Stomach. Buku Walking Back Home dikatakan sebagai siri terakhir karangan Nik Fahmee ini tidak mengecewakan dan masih mengekalkan rentak penceritaan yang menarik.
Kami berharap ini juga bukanlah buku terakhir yang akan dia tulis. Kita perlukan kolektor yang menulis lebih dari kita memerlukan mereka yang mempamerkan hasil koleksi mereka. Kedua-keduanya adalah penting yakni menulis dan mempamerkan koleksi namun menulis menang dalam banyak perkara bila dipertandingkan dengan mempamerkannya.
“Best betul life dia,” kata budak hitam di rumah kami. Semasa berusia 11 tahun dia telah menyerahkan sebuah karangan kepada kami mengenai mengapa dia perlukan sebuah telefon bimbit. Karangannya agak bagus dan dia beroleh telefon setahun selepas itu. Sebelum itu dia rajin membaca. Semenjak beroleh telefon sewaktu berusia 12 tahun dia tidak lagi mahu membaca kerana terasyik dengan peranti kecuali sesekali apabila ternampak komik Lawak Kampus di kedai serbaneka.
Buku ini tiba beberapa hari sebelum kami membuka bungkusannya. Kami jarang membeli atas talian lalu apabila ada bungkusan yang sampai,sangkanya milik orang lain lalu kami biarkan di dalam kereta. Budak hitam itu kemudiannya membelek bungkusan berkenaan dan memberitahu yang ia dialamatkan kepada kami.
Dibukanya, dibaca dan setelah selesai muka surat pertama, dia merasa begitu teruja dan dihabiskan membaca setengah dari buku itu sambil berpesan kepada kami untuk membiarkan buku tersebut kekal di dalam kereta. Dan selebihnya dihabiskan pula pada esoknya. Kemudian dia meminta kebenaran untuk membawa buku tersebut ke sekolah untuk sesi resensi dan kami tidak benarkan kerana kami belum membacanya dan juga bimbang dihilangkannya.

Walking Back Home masih mengekalkan cerita bagaimana dan mengapa penulisnya memiliki sebuah karya catan. Dan tentu saja kami agak sentimental apabila cerita pertama yang dinukilkan adalah mengenai Khalil Ibrahim.
Pelukis ini sering dikatakan berasal dari Kelantan sedangkan sebenarnya dia berasal dari Pahang. Semasa masih remaja bakatnya telah dilihat oleh seorang pegawai Inggeris. Orang putih itu kemudiannya mencadangkan supaya lukisan-lukisannya digantung di sebuah rumah rehat untuk tujuan dijual. Dari sana dia mendapat perhatian kerajaan negeri dan dihantar keluar negara untuk mendalami ilmu dalam seni lukis dan pulang menjadi seorang guru.
Penulis menceritakan yang Khalil telah menghadiahkan sebuah lukisan sempena dengan hari pernikahannya dan penulis juga berkata bahawa ‘we didn’t have much money and our wedding was not fancy’. Yang kami ingin tahu ialah bagaimana dia mengenali Khalil dan menerima hadiah yang tidak ternilai itu.
Di sini penulis menceritakan bagaimana anak-anaknya berpakat untuk memberikan hadiah sebagai kejutan hari jadinya. Lukisan yang dipilih ialah dari hasil kerja pelukis terkenal Samsudin Wahab. Dan Buden memilih untuk melukis sebuah potret yang menggambarkan penulis dalam satu pertemuan, kelihatan agak tidak terurus.
Lukisan yang diberi judul sebagai Gundah Gulana itu tentu saja menggembirakan penerimanya yang memang merupakan peminat karya-karya yang dihasilkan oleh pelukis berkenaan.
Buden adalah pelukis yang berusaha lari dari duduk dalam populariti dan mahu mengerjakan catan mengikut jalan yang difikirkan benar. Sekarang ini dia menumpukan perhatian dalam kegiatan seni cetak. Studio Chetak 17 yang diusahakan bersama rakan-rakan adalah antara studio-studio yang bersungguh-sungguh mempromosikan seni yang satu ini. Dan boleh dikatakan bahawa hasil penat lelah mereka sedikit berbayar bila kini seni cetak menjadi lebih besar dari sebelumnya.
‘Along The Stairway’ adalah sebuah kisah ringkas mengenai pertemuan penulis dengan seorang pemuda yang datang ke rumahnya untuk membaik pulih sistem internet. Perbualan yang mungkin kita anggap kecil sebenarnya adalah sesuatu saat yang penting. Pemuda yang datang itu teruja dengan pelbagai lukisan yang ada di dinding rumah dan menjadi bersemangat untuk meneruskan aktiviti melukis yang telah lama dia tinggalkan.
Entah dari sana nanti kita akan menemui seorang lagi ahli catan yang penting.
Kisah yang menjadi judul buku ini, ‘Walking Back Home’ adalah mengenai kenangan penulis dengan ibunya. Dan seperti penulis kita semua merasakan bahawa masakan ibu adalah yang paling enak. Kami tidak tahu mengenai ibu kamu namun seperti penulis, Mok kami telah mengajar kami apa itu kesedapan dalam masakan. Kamu boleh katakan yang ibu kamu pandai masak dan kami pun curiga jika kamu jenis suka makan gulai ikan puyu tetapi kami berani jamin bahawa Mok kami adalah hero bila datang kepada makanan. Malah kami berani jamin bahawa pulut inti Mok kami adalah yang paling sedap di dunia.
Pada keseluruhannya, kami menyukai semua tiga buku yang ditulis oleh Nik Fahmee dan alangkah elok jika nanti penulisnya sudi pula untuk menerjemahkan buku-buku ini ke dalam Bahasa Melayu sebagai satu sumbangan kepada perbendaharaan buku-buku yang baik sebagai bacaan umum.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang berhasrat untuk membaca sajak ketika pembukaan konsert Siti Nurhaliza yang akan datang.
