INSTITUSI kewangan yang berlandaskan hukum Islam wujud di negara ini sejak penubuhan Tabung Haji (TH) pada tahun 1963 dan diikuti oleh Bank Islam pada tahun 1984. Sejak itu, perkembangan kewangan Islam terus bergerak maju sehingga hari ini dimana hampir semua institusi kewangan yang ada menyediakan pilihan kewangan Islam dan juga kewangan konvensional.
Selari dengan hal tersebut satu bentuk sistem audit yang juga berteraskan hukum Islam adalah diperlukan. Keperluan tersebut telah pun dipenuhi bila mana semua institusi yang menjalankan perbankan Islam telah diwajibkan untuk melantik penasihat Syariah.
Selain perbankan, pihak-pihak yang menawarkan takaful juga telah melantik penasihat Syariah untuk mengawasi perjalanan perniagaan mereka.
Namun begitu masih terdapat banyak pihak yang mengumpul dana atas nama Islam yang tidak diwajibkan untuk mengawasi aliran wang yang telah dikumpul.
Majlis-majlis agama sebagai contoh walaupun diaudit oleh Jabatan Audit Negara masih lagi ketinggalan dalam amalan membersihkan kewangan mereka dengan lebih telus. Wang dan harta yang diwakafkan oleh orang ramai misalnya masih belum boleh dioptimakan untuk menghasilkan pulangan yang baik bagi kesejahteraan umat.
Wang yang diwakafkan biasanya disimpan di dalam bank sementara harta benda pula kebanyakannya terbiar tanpa dapat dimanafaatkan.
Jabatan Audit Negara sendiri walaupun dapat mengenal pasti keamanan wang dan harta wakaf tidak pula dapat memberi cadangan bagaimana wang dan harta tersebut boleh dilaburkan disebabkan had kepakaran yang mereka miliki mengenai undang-undang Syariah bagi tujuan tersebut.
Hal yang sama juga berlaku kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM), TH serta juga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mengumpul dana awam atas nama Islam. Kes yang berlaku di mana sebuah NGO didakwa diatas kesalahan menggunakan wang orang ramai untuk kepentingan peribadi baru-baru ini sepatutnya menjadi pembuka jalan kepada pentingnya audit berteraskan syariah dilaksanakan di negara kita.
Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang sedang berlangsung sekarang ini menawarkan buku berjudul CPSA Series: Governance, Assurance And Reporting In Malaysia.
Buku yang ditulis oleh penulis penulis pakar audit Syariah dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat seperti Mustafa Mohd Hanefah, Zurina Shafii, Supiah Salleh, Nurazalia Zakaria, dan Iqmal Hisham membentangkan cara dan bagaimana audit yang berlandaskan syariah dijalankan.
Selain itu terdapat juga buku-buku akademik lain yang ditawarkan oleh penerbitan tersebut seperti Pengerak Masyarakat Dan Pendakwah di Sabah & Sarawak, Orang Kurang Upaya (OKU) Dan Perkerjaan serta Pendidikan Bersepatu Komprenhensif.
Yang lebih menarik, penerbitan ini juga membawa bersama sebuah memoir tulisan Musa Ahmad atau Andong Kampii.
Didalam buku tersebut Musa menceritakan perjalanan akademianya yang bermula dari seorang tutor dan kemudiannya dia dilantik sebagai Naib Conselor universiti berkenaan.
Semua buku-buku terbitan Penerbit USIM boleh didapati di reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
PBAKL 2024 sedang berlangsung hingga 2 Jun ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tahun ini terdapat sebanyak 972 pempamer termasuk 14 dari luar negara antaranya dari Iran, Arab Saudi, China, Singapura, Thailand dan India. Jumlah pempamer di PBAKL 2024 juga bertambah berbanding 814 pada tahun lalu.
PBAKL 2024 dengan tema “Malaysia Membaca” bukan sahaja sebuah pesta buku, tetapi juga satu gerakan untuk mempromosikan budaya membaca di seluruh negara.
