BAGI memasyarakatkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia, program Kelah Buku bakan dianjurkan pada 14 Disember 2024 (Sabtu) di Taman Botani, Putrajaya.
Kelah Buku dijadualkan bermula jam 7 pagi sehingga 7 malam dengan menampilkan selain acara utamanya membaca buku secara santai terdapat juga aktiviti-aktiviti lain yang menarik untuk semua peringkat umur.
Menurut Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) merangkap Penasihat program, Mohd Khair Ngadiron inisiatif ini menggabungkan elemen literasi dan rekreasi dalam satu platform inklusif untuk memupuk budaya membaca khususnya dalam kalangan murid-murid sekolah dan keluarga.
“Program ini juga menjadi ruang pertemuan kelab pembaca buku, penggiat industri buku, serta pencinta literasi untuk berkongsi idea dan memperluas jaringan sosial,” katanya pada majlis Sidang Media Kelah Buku @ Putrajaya 2024 baru-baru ini.
Acara ini juga dilihat bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan pembacaan, tetapi juga mencetuskan daya tarikan baharu bagi golongan muda dan keluarga melalui aktiviti yang interaktif dan santai.
Sementara itu, Pengarah Program, Hafiz Latiff berkata terdapat pelbagai acara menarik turut sama dianjurkan antaranya pertandingan mewarna, aktiviti memanah serta permainan tradisional.
Program Kelah Buku ini anjuran bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia; Persatuan Booktube Malaysia; Perbadanan Kota Buku; Perbadanan Putrajaya dan Zonnique Creative Solutions.
Program yang mengangkat tema “Membudayakan Membaca, Mendekatkan Komuniti” ini diharap dapat menarik minat ramai pencinta buku dan literasi untuk hadir bersama-sama memeriahkan penganjuran.
Turut hadir dalam program ini Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar.

