SEBUAH filem dokumentari mengenai kumpulan blues lagenda Malaysia, Blues Gang akhirnya dilancarkan selepas lapan tahun disiapkan.
Menurut pengarah filem dokumentari ini, Johari Hamid, penonton akan dihidangkan dengan kisah menginspirasi tentang perjalanan Blues Gang dalam meneroka dan memperjuangkan genre blues di Malaysia.
Katanya, filem dokumentari ini menggambarkan pengalaman unik Blues Gang dalam dunia muzik sejak ia mula ditubuhkan.
“Ia memuatkan wawancara eksklusif dengan anggota Blues Gang, termasuk perbincangan mendalam dengan mereka.
“Menerusi filem dokumentari ini saya cuba membuka tirai tentang cabaran dan kejayaan yang mereka lalui sepanjang perjalanan mereka.
“Perasaan saya bercampur-campur bila akhirnya selepas 8 tahun filem dokumentari ini akan dilancarkan, ada gembira dan sedih.
“Gembira tentunya kerana ia akhirnya dilancarkan dan sedih kerana Blues Gang kini cuma tinggal 3 anggota asal sahaja,” katanya kepada Senimalaya.
Pada 2018, Jim Mandasamy pemain bass meninggal dunia dan pada 2023, Shaik Karim pemain dram dan pengasas bersama Blues Gang pula meninggal dunia.
Blues Gang juga kehilangan pemain gitar keduanya, Mohd Hazizi Ithnin pada 2022.
Johari berkata, dari temubual bersama anggota Blues Gang dan beberapa individu lain, penonton akan merasai keseronokan di sebalik proses kreatif kumpulan ini, termasuk momen-momen kritikal semasa pembuatan album yang mencorakkan imej mereka sebagai lagenda blues di Malaysia.
Dengan adanya filem dokumentari ini, Blues Gang dapat memberikan penghayatan mendalam terhadap kehidupan seorang pemuzik blues yang berdedikasi di Malaysia.
Filem dokumentari bertajuk, ‘5 Dekad, 3 Kord, 1 Cerita’ ini dilancarkan di acara ‘Back To The Blues’ di KL Pac pada 24 Februari lalu.
‘5 Dekad, 3 Kord, 1 Cerita’ merupakan sebuah filem dokumentari yang diterbitkan oleh Zarul Al-Bakri, yang sebelum ini menerbitkan filem ikonik ‘Kembara Seniman Jalanan’.
Filem dokumentari berdurasi 66 minit ini akan ditayangkan di Siar TV pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Baru-baru ini Blues Gang melancarkan single terbaharu mereka berjudul ‘Panglima Awang Hitam’.
