PELAKON Bront Palarae dan pengarah Ho Yuhang akan membintangi filem terbaru pengarah Indonesia, Joko Anwar bertajuk Ghost in the Cell yang dijadual tayang pada tahun 2026.
Filem genre komedi seram itu turut dibintangi barisan pelakon handalan Indonesia antaranya Abimana Aryasatya, Rio Dewanto, Lukman Sardi, Tora Sudiro, Yoga Pratama, dan Arswendy Bening Swara.
Joko memperkenalkan barisan pelakonnya dalam satu sidang media di Jakarta, pada Jumaat, (25 Julai). Klip penampilan mereka kemudian dimuat naik ke media sosial.

Filem ini juga memperkenalkan seorang pelakon baharu Magistus Miftah yang disaring daripada 700 peserta uji bakat terbuka.
“Idea unik filem ini muncul dari pengalaman panjang saya dan Tia dalam menghasilkan filem-filem seram sebelumnya,” katanya, merujuk penerbit filem-filemnya selama ini, Tia Hasibuan.
Jelas Joko, latar lokasi filem seramnya sebelum ini seperti Pengabdi Setan dan Perempuan Tanah Jahanam adalah kampung dan memungkinkan watak-wataknya dalam cerita untuk lari sekiranya berjumpa hantu.
Dari situ beliau mendapat idea untuk membuat sebuah filem seram tetapi tempat kejadiannya di sebuah penjara, tambahnya.
“Ketika hantu muncul, mereka harus bekerja sama untuk bertahan hidup,” katanya.
Ghost in the Cell mengisahkan empat banduan yang mengalami kejadian misteri di dalam penjara. Mereka kemudian terpaksa bekerjasama untuk mengungkap kebenaran di sebalik kejadian-kejadian aneh yang menghantui penjara mereka.
Ghost in the Cell diterbitkan oleh syarikat produksi milik Joko dan Tia, Come and See Pictures.
Media industri perfileman antarabangsa pada September 2018 melaporkan Ghost in the Cell adalah antara tiga filem Joko yang dibiayai dan diterbitkan bersama oleh syarikat antarabangsa SK Global, yang dulu menerbitkan Crazy Rich Asians; CJ Entertainment dari Korea Selatan serta Base Entertainment dan Rapi Films dari Indonesia.
