ACARA bicara seni atau art talk telah menjadi platform penting dalam menggalakkan dialog dan pemahaman mendalam terhadap dunia seni. Kepentingan acara ini tidak hanya terletak pada memberikan pengetahuan tambahan, tetapi juga dalam membentuk perspektif, memperkaya budaya, dan menyuburkan apresiasi terhadap keindahan seni.
Bicara seni memberikan peluang kepada pengamat dan peminat seni untuk mendengar pandangan dan pemikiran dari pelukis, seniman, kurator, dan pakar seni. Diskusi ini tidak hanya menyentuh aspek teknik dan kreatif, tetapi juga mengupas isu-isu kontemporari, sejarah seni, dan impak seni terhadap masyarakat. Dengan begitu, acara ini bukan sekadar menjadi wadah informasi, tetapi juga tempat refleksi yang mendalam.
Acara seperti bicara seni ini juga membantu melibatkan masyarakat secara aktif dalam dunia seni. Melalui acara ini, orang awam dapat merasakan kehadiran seni sebagai bahagian yang penting dalam kehidupan sehari-hari. Penyampaian informasi secara lebih terperinci dan interaktif melalui acara ini mampu membuka ruang diskusi yang memungkinkan semua lapisan masyarakat merasakan keunikan dan keindahan seni.
Menyedari hakikat kepentingan perkara ini, Galeri Puteh akan menganjurkan acara bicara seni “Masih Ada Ruang” bersempena pameran solo terbaharu Prof Awang Damit Ahmad yang diberi judul “Estetika Timur”.
Menurut Pengarah Galeri Puteh, Nizam Rahmat, bicara seni merupakan satu acara pengisian dalam sesebuah pameran seni.
Nizam berpendapat acara seperti itu sering diadakan ketika pelancaran sesebuah buku baharu yang dinamakan ‘Reading Session‘ melibatkan penulis atau editornya.
“Pada kali ini dengan adanya pameran solo Pak Awang,ami rasakan ia lebih baik jika diadakan satu acara bicara seni untuk berkongsi ilmu dengan senimannya sendiri.
“Pak Awang tidak bersendirian, tetapi beliau ditemani penulis dan kurator Puan Sarah Abu Bakar yang bertindak sebagai moderator sidang ini.
“Selain itu turut bersama adalah Bingley Sim iaitu seorang kolektor seni dan juga Presiden OPC (One Piece Club edisi Malaysia) dan juga rakan sekelas Pak Awang, yang banyak tahu tentangnya dan sebagai rakan seangkatan waktu belajar di UiTM, iaitu Juhari Said,” katanya keoada Senimalaya.
Nizam menjelaskan, acara bicara seni diadakan bergantung kepada permintaan dari peminat dan pengumpul seni.
Sebelum ini, Galeri Puteh turut menganjurkan bicara seni ketika pameran solo Rafiee Ghani, ‘Arca Samudera’.
Mengulas lanjut, Nizam berkata perkataan ‘ruang’ pada tajuk itu dipilih kerana ia mempunyai banyak makna untuk dihuraikan.
“Dari kefahaman saya, ‘ruang’ menceritakan tentang Pak Awang itu sendiri yang mana karya-karya yang masih hebat dan relevan.
“Karya-karya Pak Awang masih mendapat tempat di mata dan hati peminat senirupa dalam dan luar negara,” katanya lagi.
Bicara seni memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda mengenai kepentingan seni.
Sekolah-sekolah dan institusi pendidikan dapat menggunakan acara ini sebagai sumber inspirasi dan ilmu pengetahuan tambahan yang menyokong kurikulum seni mereka.
Ini sedikit sebanyak dapat merangsang kreativiti dan semangat apresiasi seni sejak usia muda.
Secara keseluruhan, acara bicara seni bukan hanya tempat untuk berbicara tentang seni, tetapi juga sebagai medan untuk pertumbuhan intelektual dan kecintaan terhadap seni.
Melalui platform ini, masyarakat dapat menikmati, memahami, dan merayakan keanekaragaman seni, menjadikannya sebagai elemen penting dalam kehidupan sehari-hari.
