Pada tahun 2022 Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) merupakan sebahagian daripada tiga fakulti yang bergabung dengan Fakulti Filem, Teater dan Animasi dan Fakulti Muzik yang berada dalam satu bumbung yang kini dikenali sebagai Kolej Pengajian Seni Kreatif di bawah Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Menyorot perkembangan sejarah penubuhan FSSR sekolah seni pertama di negara ini yang menawarkan pengajian seni di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). FSSR sebelum ini dikenali sebagai Kajian Seni Lukis dan Seni Bina (KSSB) telah ditubuhkan pada tahun 1967.
Bertempat di sebuah kedai di kawasan Petaling Garden, Petaling Jaya. Kemudiannya berpindah ke Happy Mansion, Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor bagi menampung penambahan pelajar ketika itu.
Pada tahun 1973, Kajian Seni Lukis dan Seni Reka (KSSR) telah dipisahkan dari Kajian Senibina menjadi entitinya yang tersendiri. Antara jabatan-jabatan yang telah ditubuhkan pada ketika itu adalah Jabatan Seni Halus, Jabatan Seni Reka Grafik, Jabatan Seni Reka Tekstil dan Jabatan Seni Reka Tiga Dimensi. Sekitar tahun 1980an KSSR telah berpindah ke bangunan baharu terletak di Shah Alam, Selangor.
Kewujudan FSSR dalam Institut Teknologi MARA merupakan institusi pengajian seni terawal di Malaysia yang menawarkan kursus diperingkat diploma hanya kepada pelajar Bumiputera sahaja untuk mempelajari jurusan seni rupa.
Seterusnya pada tahun 1995, pihak FSSR membuka cawangan yang pertama di daerah Manjung, Perak dengan menawarkan kursus diperingkat ijazah sarjana muda bagi program di bawah Jabatan Seni Halus, Jabatan Seni Reka Fesyen dan Jabatan Seramik. Penulisan ini adalah siri pengenalan yang akan mengulas bebrapa gerakan seni penting yang wujud di Seni Rupa Malaysia (Serum)
Genesis Sekolah Manjung
Kemunculan Sekolah Manjung atau ‘Manjung School’ (MS) adalah merujuk kepada para pelajar yang mengikuti kursus di Jabatan Seni Halus, Jabatan Seni Reka Fesyen dan Jabatan Seramik Institut di bawah Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1995.
Jolokan ‘Manjung School’ lebih sinonim dibicarakan oleh sarjana atau sejarahwan seni dalam perkembangan Seni Rupa Malayasia (Serum).


Takrif sekolah bermaksud ‘School of thought’ yang merujuk kepada gaya atau stail yang lahir dari suatu tempat atau satu gerakan.
Ia tidak merujuk kepada sembilan buah sekolah menengah dan sekolah rendah kerajaan di sekitar daerah Manjung atau pun di Setiawan, Perak.
Dalam sejarah seni di Barat lahir beberapa gerakan seperti Kumpulan Paris atau ‘School of Paris’ adalah gerakan seni yang berpusat di sekitar kota Paris pada akhir abad ke 18 yang dicetuskan oleh pelopor seni moden seperti Cezanne, Van Gogh, Picasso.
Kemudian Kumpulan New York atau ‘New York School’ mendominasi seni berpusat di Amerika pada abad ke-20. Ini berlaku setelah Eropah musnah akibat meletusnya Perang Dunia Kedua.
Antara pengkarya gerakan ini adalah Jackson Pollock, Mark Rothko dan sebagainya turut terkenal dengan aliran ekspresionisme abstrak.
Manakala di Malaysia sebutan ‘The Nanyang School’ turut diketengahkan namun ia tidak diiktiraf kerana kelompok ini bukanlah terdiri daripada orang tempatan serta bersifat colonial centric. Mengulas gerakan seni ‘Manjung School’ merujuk kepada pandangan aliran seni lukis yang berasal daripada sebuah kawasan pantai barat Malaysia yang mempunyai pengaruh yang dekat dengan alam maritim atau kelautan yang kaya dengan sejarah silamnya sebagai sebuah kerajaan awal.
Nama ‘Manjung’ itu sendiri merujuk kepada kewujudan dua kerajaan iaitu Manjung dan Beruas yang timbul setelah tumbangnya Kerajaan Gangga Negara iaitu nama asal negeri Perak.
Pada tahun 1995 cawangan pertama FSSR bertempat Seri Manjung telah menggambil kumpulan pelajar pertama. Mereka mengikuti pengajian ijazah sarjana muda bertempat di bawah rumah kedai seperti studio asasi seni terletak di blok P, studio seni halus blok I dan K, studio senireka seramik blok T, studio senireka fesyen blok O.

Infrastruktur serta kemudahan asas di sini terhad maka menyukarkan para pelajar yang mengikuti kursus yang ditawarkan dalam FSSR. Sumber bahan bacaan di perpustakaan waktu itu kurang bahan rujukan berkaitan kursus yang ditwarkan di sana.
Selain itu, lokasi Manjung agak jauh dari kerancakan aktiviti seni yang aktif dengan berbagai pameran di galeri. Ini membataskan pendedahan pelajar kepada kegiatan kesenian yang berpusat di kota raya Kuala Lumpur.
Keutamaan dalam pendedahan awal dalam bidang bagi memantapkan kefahaman pelajar supaya mereka berdaya saing dalam industri kelak.
Selain itu, kita semua sedia maklum bahawa para pelajar berbangsa Melayu atau Bumiputera yang mengikuti kursus ini terdiri dari golongan yang susah dan tidak berkemampuan. Inilah matlamat dan Amanah pengarah pertama Allahyarham Tun Arshad Ayub pengarah pertama ITM.
Misi utama ia ditubuhkan adalah untuk membantu golongan ini mendapat pendidikan supaya mereka tidak keciciran seterusnya menyumbang bakti kepada masyarakat. Untuk makluman FSSR di Manjung tiada bengkel khas seperti bengkel kimpalan, alatan easel, studio catan, bengkel kayu mengakibatkan pembelajaran pelajar jurusan seni halus terbantut.
Berbeza jika dibandingkan sewaktu mengikuti pembelajaran kemahiran hidup di sekolah menengah kebangsaan yang serba lengkap dengan kelengkapan khas bagi menyiapkan tugasan.
Seharusnya kursus misalnya seni catan atau seni arca memerlukan kemudahan serta peralatan teknikal dalam melakukan kerja-kerja amali berbanding misalnya kursus akaun yang hanya perlukan buku, pen dan kertas.
Selain itu, sekadar menggunapakai ruang-ruang rumah kedai sewenang-wenangnya untuk disesuaikan untuk dijadikan studio seni.
Khasnya bagi pembelajaran di peringkat IPTA adalah tidak relevan untuk menyokong pengajian di peringkat sarjana muda. Hal ini berbeza jika dibandingkan dengan kemudahan serta peralatan yang berada di kampus utama FSSR, Shah Alam yang lengkap.
Sepatutnya pihak ITM Ketika itu perlu merencanakan aspek tersebut terlebih dahulu sebelum memikiran untuk membuka cawangan baharu FSSR.
Inisitif Cap Manjung dan Gerakan Manjung School
Gelombang gerakan seni primer tanahair bertapak di negeri Perak iaitu ‘Manjung School’ (MS) telah mendapat perhatian Seni Rupa Malayasia (Serum).

Gerakan ini berjaya menonjol dalam beberapa siri pameran secara konsisten berbanding graduan FSSR induk di Shah Alam yang senang mengikut haluan mereka masing-masing.
Hal ini berbeza dengan MS yang terus bergerak bersama. Gerakan ini dikepalai oleh Faizal Sidik atau lebih dikenali sebagai Jai. Pameran awal bertajuk ‘Manjung School: Pilihan Rakyat’ telah dijayakan di Galeri Shah Alam pada tahun 2013.
Tidak mahu akur kepada dominasi FSSR di Shah Alam pameran tersebut membuktikan keupayaan mereka. Walaupun menyedari mereka telah dinafikan hak keperluan peralatan dan infrastuktur.
Ramai graduan seni halus dari MS tidak mendapat didikan serta latihan yang lengkap. Ini kerana kemampuan tenaga pengajar terdiri pensyarah muda yang masih belum mantap serta berpengalaman. Malah mereka juga sedar bukan mudah untuk menembusi pasaran seni yang diterajui oleh galeri swasta tidak memberi ruang selesa pada karya-karya graduan yang baharu menamatkan pengajian. Galeri lebih senang dengan formula pasaran arus perdana atau menurut selera pengumpul seni.
Seharusnya galeri swasta turut berperanan mendidik serta bertanggungjawab bukannya memikirkan unsurk komersil sahaja. Hal ini turut bercanggah dengan evolusi seni rupa global yang sentiasa menemukan pengisian karya yang selari dengan argumentasi ilmu serta berimpak sosial.
Pemilik galeri mengandaikan walaupun berdagang dalam bidang kreatif mereka tidak perlu bersandarkan kepada konteks ilmu atau adventurous dalam hal mengendali seni atau memlabur dengan bakat yang berpontesi untuk keperingkat antarabangsa.
Oleh demikian, menyedari hal ini Jai terinspirasi ketika mendapat jemputan bersama Satu: Creative Collective. Kolektif ini aktif berpameran secara independent dengan menggunakan berbagai ruang awam malah banyak mewujudkan jaringan antarabangsa serta membantu berbagai artis Malaysia mendapat platfom mengetengahkan karya mereka. Sikap mereka yang tidak mementingkan diri serta sering menyumbang kepada komuniti seni seharusnya menjadi contoh amalan dalam Seni Rupa Malaysia (Serum). Di atas kesedaranlah Jai tidak berasa sangsi lagi dalam meneruskan agenda MS penganjuran pameran independent beliau juga giat menulis.

Walaupun ramai pensyarah seni IPTA berkhidmat di ITM tetapi kadar penulisan dan penerbitan kerja akademik mereka sedikit jika dibandingkan dengan aktiviti berpameran.
Pada pameran ‘Kumpulan Manjung: Manusia dan Alamnya’ pada 2018 bertempat di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur. Jai memperkenalkan jenama ‘Cap Manjung’ yang bergabung tenaga bersama pensyarah dan bekas pelajar FSSR UiTM cawangan Perak.
Jai selaku kurator pameran tersebut turut terkenal dengan jolokan ‘Kuratis’. Beliau menjelaskan kuratis adalah gabungan perkataan artis dan kurator. Antara artis ‘Manjung School’ adalah Faizal Sidik, Mohd Ekram Al-Hafis, Fairus Ahmad, Hasnul Isyraf, Mokhzaini Mokhtar, Zaslan Zeeha, Khairul Azwan, Mohd. Farizal Puandi, Samsudin Wahab, Tetriana Ahmed Fauzi, Fadly Sabran dan ramai lagi.
Manakala pensyarah Jabatan Seni Halus yang pernah berkhidmat di FSSR waktu itu ialah Dr. Syed Alwi Syed Abu Bakar, Azizan Paiman, Daud Rahim dan Dr. Hamidi Hadi.
Mereka adalah kelompok pensyarah IPTA yang aktif menghasilkan karya dan mendapat bantuan kerjaan melanjutkan pengajian di institusi di luar negara.
Mereka juga berupaya memiliki studio seni mereka sendiri bagi menampung permintaan pasaran. Artis galeri ini cenderung menghasilkan karya yang dipengaruhi atau saduran acuan gaya modernis Barat.
Mengimbau perjalanan ‘Manjung School’ keakraban diantara pensyarah dan pelajar adalah seperti keluarga kerana jumlah pelajar yang tidak terlalu ramai.
Ada juga dikalangan pensyarah yang bertemu jodoh dengan pelajar mereka sendiri.
Gerakan ‘Manjung School’ ini adalah sebuah penanda wacana seni rupa Malaysia yang penting kerana tiada sekolah sepertinya di Malaysia.
Inisitif Cap Manjung adalah pengerak Seni Rupa Malayasia (Serum) seperti Lost Generation (Kuala Lumpur), Kumpulan Seni Sasaran (Selangor), Satu: Creative Collective (Kuala Lumpur) dan Pangrok Sulap (Sabah) merupakan nadi pengerak seni yang autentik yang ikhlas menyumbang kepada pembanguan seni Malaysia.
Gerakan ini akrab dengan masyarakat akar umbi dalam menabur bakti dengan berbagai projek bersama komuniti.
Mereka tidak mengasingkan diri mereka berbanding galeri swasta yang berpaksi kepada kehendak komersil malah meraikan sesetengah golongan tertentu sahaja.
