SEBANYAK RM2.4 juta telah disalurkan menerusi Geran Tabung Bantuan Seni (TBS) kepada 42 penggiat seni tempatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pendemik COVID-19.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara (BSN), Amerrudin Ahmad memaklumkan, geran itu diwujudkan sebagai usaha membantu penggiat seni tempatan dalam menganjurkan program dan aktiviti kesenian yang berkualiti.
Ia sekali gus meningkatkan lagi aktiviti seni berimpak tinggi selain mempromosikan visual dan artis tempatan ke serata dunia.
“Kebanyakannya adalah daripada pelukis. Pelukis ini banyak kategori sama ada pelukis muda atau pelukis senior. Tetapi yang paling penting adalah cadangan yang dihantar.
“Ia akan dipertimbangkan terutama sekali untuk menyertai pendedahan program kesenian peringkat antarabangsa,” katanya selepas majlis pembukaan semula Balai Seni Negara Langkawi, baru-baru ini.
Ameruddin berkata, BSN telah menyalurkan RM300,000 kepada 18 penggiat seni yang layak sehingga Mei tahun ini menerusi tabung berkenaan.
Sementara itu, beliau memaklumkan, sebanyak RM1.5 juta peruntukan diberikan kepada penggiat seni yang layak sepanjang tahun lalu.
Pemberian TBS bergantung pada permohonan dan BSN menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM100,000 ke bawah.
Ketika majlis pembukaan semula BSN Langkawi baru-baru ini geran TBS 2024 berjumlah RM78,000 telah diberikan kepada lima penggiat seni tanah air terdiri Abdullah Jones bagi penganjuran Program Kataseni di Pahang dan Muhammad Juhari Muhammad Said (Pameran Lukisan Goto Akio di Jepun).
Turut menerima geran sama, Mohd Najib Ahmad bagi Pameran Seni 2024 di Busan, Korea); Nublee Shamsu Bahar (Kem Senifoto Lenggong Indah, Perak) dan Amir Hamzah Al Hafiz Mohd Yunus (Meeting Of Style di Filipina).
Bagi penggiat seni yang berminat memohon TBS, sila layari https://www.artgallery.gov.my atau ikuti pengumuman tentang bantuan ini di semua platform media sosial BSN.
