‘PESEGARAN’ dan juga ‘pecoh bberah’ adalah dua perkataan baru yang kami belajar hasil dari lawatan ke Kelantan ini. Kedua-dua perkataan tersebut diperkenalkan kepada kami oleh Tuan Haji Mahmood Mat, pelukis veteran paling nakal yang pernah kami temui.
‘Pecoh bberah’ membawa maksud ‘asal buat sesuatu, mesti menjadi’ atau dalam bahasa mudah adalah seseorang yang murah rezekinya. Apa saja yang diusahakan akan mendatangkan pulangan yang baik.
Menurut Haji Mahmood, Muhamad Jusoh adalah pelukis yang ‘pecoh bberah’.
Sebagai seorang yang merasakan dirinya handal dalam menulis, kami mempersoalkan perkataan ‘pesegaran’. Menurut kami, jika kata dasarnya adalah ‘segar’ maka sepatutnya ia disebut sebagai ‘penyegaran’.
Tuhan itu Maha Adil. Kami lupa bahawa Haji Mahmood adalah bekas ahli Lembaga Peperiksaan. Tentu saja kata-kata dia mengenai bahasa adalah lebih benar dari pendapat kami yang ternyata lekeh itu. Lagi pula, ‘pesegaran’ adalah perkataan khas negeri Kelantan. Tidak ada negeri lain yang menggunakan perkataan tersebut untuk ‘refreshment’.
Sebelum ke rumah Muhamad Jusoh, kami terlebih dulu singgah di Balai Kartun Rossem (BKR). Selain Prebet Dabus, kami juga adalah pengemar kartun editorial yang dilukis oleh Rossem di akhbar The Sun tidak lama dulu. Dan memang menjadi keinginan sejak lama untuk berkunjung ke BKR.
Peluang melihat sendiri kartun-kartun lukisan Rossem tentu lebih mengujakan berbanding dengan melihatnya di akhbar. Selain karya asli pelukis itu, BKR juga ada menyimpan karya-karya asal Pak Rejabhad, yang dianggap penghulu kartunis negara dan juga kartunis kebanggaan setiap lapisan masyarakat iaitu Lat selain beberapa orang kartunis terkenal dari dalam dan luar negara.
Terdapat juga karya-karya pelukis komik awal tanah air yang dipamerkan. Hampir kesemuanya adalah hasil salin semula (print) dari karya-karya asal.
Jika dibenarkan untuk memberi pendapat kami akan katakan bahawa Rossem memerlukan sedikit panduan dalam hal mempersembahkan karya-karya dalam koleksi dia. Dengan cadangan yang lebih teratur oleh seorang kurator yang memahami ruang, mungkin BKR akan lebih menarik untuk dilawati.
Usaha walau sekecil mana sekalipun harus dilakukan dengan teliti.
Kami juga ingin mencadangkan agar sedikit bayaran dikenakan kepada semua pelawat yang datang sebagai menghargai usaha Rossem mendirikan muzium mini tersebut. Tidak perlu terlalu mahal. Mungkin tidak lebih dari RM5 untuk orang dewasa dan tidak lebih dari RM3 untuk anak sekolah adalah menarik. Cukup sebagai tanda bahawa kerja-kerja peribadi sebegini selain memerlukan kasih sayang juga memerlukan sedikit dana bagi membayar bil air dan api. Lagi pun, karipap dan bihun goreng yang disediakan untuk pengunjung juga perlu dibeli.
Ini juga akan memungkinkan agar kerja-kerja dokumentasi seperti ini bertahan lama.
Kami tidak lama di BKR kerana didapati masa lawatan kami itu berkebetulan dengan satu acara yang melibatkan penulis-penulis hebat negeri Kelantan. Kelihatan kelibat penulis Maroof Seman di sana.
Semasa di BKR, kami tidak putus-putus dihubungi oleh pelukis terkenal Ismail Kadir. Setiap sepuluh atau lima belas minit dia menghubungi kami untuk mengetahui di mana duduknya kami. Dan bila saja kami tiba ke rumahnya dan mengadu hal bahawa Haji Mahmood agak sukar untuk melepaskan kami pergi, dia menjelaskan mengapa dia bertindak menghubungi kami sekerap itu.
“Meme laaa..kawe tahu doh,” kata dia bila kami menerangkan setelah di BKR, Haji Mahmood berkeras mahu menjamu kami dengan air kelapa yang menurut dia antara yang terbaik di Kota Bharu.
Dia berkeliling mencari gerai yang dimaksudkan dan agak kecewa apabila gerai tersebut tidak berniaga hari itu. Kami kemudiannya dibawa ke sebuah gerai lain dan di sana kami minum air kelapa yang menurut Haji Mahmood adalah ‘biaso jah..’.
Kami syak dia kecewa kerana gagal membawa kami ke gerai ‘ore buje’ kegemarannya.
Haji Mahmood tidak mengikut kami ke rumah Ismail kerana menurutnya dia sudah terlalu kerap ke rumah pelukis berkenaan.
Ismail yang terkenal kaya dengan senyuman itu menyeringai bila melihat kenderaan kami masuk ke kawasan rumahnya. Dia yang sedang asyik membersihkan pohon duriannya yang sedang berbuah lebat itu segera datang dan memeluk Pak Aris, sahabat lamanya.
Setelah bersalam-salaman, kami kemudian dibawa masuk ke dalam rumahnya dan ruang tamu rumah berkenaan dipenuhi dengan lukisan sebagaimana layaknya seorang pelukis.
Semua pelukis seharusnya menjadikan ruang tamu rumah mereka sebagai galeri tanpa perlu menunggu untuk mempunyai ruang yang khas.
Ruang berkenaan juga bertindak sebagai galeri peribadinya dan kami dapat menikmati karya-karya yang hebat tersebut dengan lebih jelas.
Sebagai pelukis, Ismail memang sudah amat terkenal. Karya-karya cat airnya sudah menjelajah ke serata dunia dan di celah-celah karya cat air, kami juga menemui beberapa catan dari cat minyak dan juga arkrilik. Ini kami dapati memang menjadi kelaziman kepada kebanyakan pelukis cat air Kelantan. Mereka tidak malu untuk mencuba pelbagai medium dalam berkarya.
Didapati juga begitu banyak karya yang dicetak semula (print) dan setelah ditanya dia mengatakan bahawa karya-karya tersebut adalah karya ‘cari makan’.
Untuk menjual karya asli mungkin mengambil masa kerana harganya yang sedikit tinggi untuk orang awam jadi bagi memudahkan semua orang yang berminat untuk memiliki karyanya, Ismail menyediakan pilihan kepada penggemarnya.
Karya-karya ‘cari makan’ ini dijual serendah RM200 sebuah dan karya tersebut bukanlah dari cetakan terhad.
Cara begini memang sudah diamalkan oleh ramai pelukis sejak kebelakangan ini dan ia adalah satu perkembangan yang baik jika kita mahu orang ramai menghargai hasil karya seniman tempatan.
Kami kemudian dibawa ke ruang berkerja Ismail yang terletak di belakang rumahnya. Di sana juga tersedia sedikit ‘pesegaran’. Walaupun sudah agak segar dengan air kelapa yang dibelanja oleh Haji Mahmood, kami gagahkan juga.
Di ruang berkenaan kami dapati ada dua buah catan yang sederhana besarnya (3’x8’) dalam pembikinan. Menurut Ismail karya cat minyak itu adalah tempahan dari sebuah hotel tempatan dan mengambil masa agak lama untuk disiapkan dek kerana telitinya dia dalam berkarya.
Kami beranggapan menerima tempahan dari hotel tentu saja lebih baik dari berpameran di dalam bilik-bilik rumah tumpangan misalnya.
Lawatan kami ke rumah Ismail Kadir diakhiri dengan seribu kekecewaan apabila diberitahu yang durian Montong yang sedang galak berbuah itu hanya akan luruh sekitar bulan Julai sedangkan sebaik terlihat betapa lebatnya pohon tersebut berbuah, kami telah membayangkan akan kesegaran yang akan kami nikmati.
PS: Kami tidak dapat menyertakan banyak foto untuk artikel melawat Kelantan kerana portal Senimalaya ini belum mempunyai kemudahan tersebut. Kerana itu foto yang dipilih adalah secara rawak. Kami syak portal ini miskin.
