Pengenalan Surelisme
Aliran Surialisme dicetuskan dengan gerakan seni dan sastera di Eropah. Ia berkembang sekitar awal abad ke-20. Aliran ini adalah kesinambungan daripada gerakan seni Dada yang bertidak balas akibat kemusnahan pada tragedi Perang Dunia Pertama di Eropah.
Figura penting dalam gerakan ini ialah Andre Breton yang menulis sebuah buku bertajuk ‘Surrealist Manifesto’ pada 1924. Breton seorang penulis dan penyair yang bertanggungjawab meletakan gagasan aliran tersebut sebagai “pure psychic automatism, aimed at expressing the true function of thought” yang diterbitkan dalam Surrealist Manifesto (1924).
Surealisme dikembangkan daripada teori psikoanalitik yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud. Pengamal aliran Surealisme berpegang kepada kepercayaan bahawa pemikiran bawah sedar adalah kunci kepada kreativiti.
Ia berpontensi menzahirkan rahsia daya kreativiti pada diri seseorang. Unsur utama dalam Surialisme adalah teknik ‘Automatism’ iaitu gerakan spontan ketika menulis dan melukis bagi membangkitkan perasaan bawah seseorang. Manakala imej yang ditonjolkan dalam kerja-kerja aliran ini diketahui kelihatan pelik serta paparan alam mimpi yang mencabar persepsi dalam realiti sebenar.
Surealisme melahirkan beberapa seniman yang menghasilkan karya-karya penting seperti Salvador Dali yang terkenal dengan catan bertajuk ‘The Persistence of Memory’ (1931). Karya bertajuk ‘The Treachery of Images’ oleh René Magritte (1929) dan Max Ernst dengan karya bertajuk ‘The Elephant Celebes’ (1921) dan Frida Kahlo menghasilkan catan bertajuk ‘The Two Fridas’ (1939).
Dalam bidang sastera melahirkan kerja penting seperti Nadja (1928) dan ‘Mad Love’ (1937) tulisan André Breton. Penulis Louis Aragon yang dikenali dengan karya ‘Paris Peasant’ (1926) dan Jorge Luis Borges ‘A Universal History of Infamy’ (1935) dan ‘El Aleph’ (1949).
Dalam medium filem idea surielisme juga muncul dalam karya kolaborasi bersama Luis Banuel dan Salvador Dali bertajuk ‘Un Chein Andalou’ (1929).
Perkembangan Surealisme di Malaysia
Pengenalan aliran surealisme dikenal pasti pada karya-karya oleh Zulkifli Dahlan, Patrik Ng Kah Onn, Anuar Rashid, S Amin Shahab dan Ng Hwee Chu.
Pengkarya Zulkifli Dahlan (1952-1977) adalah sebahagian ahli kumpulan seni ‘Anak Alam’. Beliau dilahirkan di Kuala Lumpur adalah figura penting dalam perkembangan seni moden Malaysia. Karya-karya ikonik beliau adalah Kedai-kedai (1973),
Realiti Berasingan: Satu Hari di Bumi Larangan (1975). Kedua-dua karya ini melihatkan imej sureal di mana figura manusia kelihatan lembik. Mereka ini menghuni alam tersebut serta kelihatan tidak berpakaian. Pada tahun 2017 pihak Balai Seni Negara telah mengadakan pameran bertajuk ‘Bumi Larangan Zulkifli Dahlan’ pada 2017. Ia menghimpunkan sebanyak 200 berbagai variasi karya berbentuk catan, cat air, lakaran dan cetakan bertempat di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.
Patrick Ng Kah Onn (1932–1989) dilahirkan di Kuala Lumpur dan merupakan salah seorang ahli kumpulan Wednesday Art Group yang diterajui oleh Peter Harris. Karya-karya beliau bertajuk ‘Spirit of The Earth, Sky and Water’ (1958) menekankan elemen penting yang wujud di rantau ini dengan pelbagai sensibilitinya.
Karya catan Patrick ini mengutarakan konsep mistikal. Ia membicarakan hal semangat alam dengan mengabungkan sistem kepercayaan yang kompleks yang ada di rantau ini. Unsur ini boleh diambil kira merujuk ciri-ciri yang ada pada kefahaman surealisme.
Anuar Rashid telah dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1958. Beliau mendapat pendidikan dalam jurusan seni halus di Institut Teknologi MARA (kini UiTM). Karya bertajuk ‘Kelahiran Inderaputera’ (1979) yang diinspirasikan dari kisah Hikayat Inderaputera.
Kelihatan ketakjuban pada karya ini dengan pecahan satah, lantunan garis cahaya yang membentuk reka geomatik dan warna yang bertenaga. Walaupun secara keseluruhan karya ini abstrak tetapi terdapat bentuk yang mendominasi ruang catan. Anuar dalam menginterpretasikan kisah tersebut tidak dapat dinafikan wujud ciri atau unsur sureal apabila berhadapan dengan karya ini.
S. Amin Shahab dilahirkan pada 1954 di Batu Pahat, Johor dan adalah graduan Nanyang Academy of Fine Arts di Singapura. Beliau adalah seorang pelukis yang pernah menghasilkan lukisan sepanjang 1 km dan juga seorang penulis lirik prolifik dengan menghasilkan satu ribu buah lirik.
Catan bertajuk ‘Generasiku’ (1983) dan ‘Perjuangan’ (1983) adalah sampel karya kuat pegangannya pada aliran surealisme. Karya tersebut memaparkan imej gaya naturalis yang digarap secara bertentangan yang membangkitkan paparan bawah sedar seperti di alam mimpi.
Ini adalah bukti karya surealisme yang terbaik pernah dihasilkan oleh seorang seniman di Malaysia. Jika diamati tulisan lirik beliau juga memiliki vision surealisme namun disulam dengan unsur sufisme.
Ng Hwee Chu dilahirkan di Johor pada 1967 dan mendapat Pendidikan di, Malaysian Institute of Art (MIA). Badan kerja yang dikenali ‘Black Moon Series’ (1989-91) oleh Hwee Chu. Dikenal pasti wujud unsur surealisme dan realisme magis pada catan berskala besar yang beliau hasilkan. Turut dikesan adalah pengaruh karya Firda Khalo yang kuat pada karya Hwee Chu.
Persoalan identiti, lokaliti, keterasingan, konflik peribadi dan hal kekeluargaan sering diutarakan dalam karyanya. Figura dengan warna terang sering memdominasi catan lukisan dan bergabung dengan imej-imej bawah sedar.
Generasi baharu dan lanjutan Surealisme tanahair
Umumnya diketahui ciri atau unsur dikesan pada karya Zulkifli Dahlan, Patrik Ng Kah Onn, dan Anuar Rashid. Manakala pegangan dan karektoristik aliran surealisme terbukti khasnya dalam paparan karya-karya oleh S Amin Shahab dan Ng Hwee Chu.
Perkembangan surealisme di Malaysia dimajukan oleh pengkarya muda seperti Khairul Azmir Shoib, Syafiq Fawwaz dan Haslin Ismail. Intipati surealisme dikembangkan oleh mereka dalam bentuk karya yang cenderung kepada genre fantasi, kepelikan dan seram.
Khairul Azmir Shoib adalah graduan UiTM yang banyak menghasilkan karya berdasarkan filem bergenre fantasi, fiksi dan seram seperti ‘Star Wars’, ‘Alien’ dan ‘Lord of The Rings’. Namun diakui filem ‘Edward Scissorhands’ dan ‘Nightmare Before Christmas’ oleh pengarah Amerika iaitu Tim Burton kuat mempengaruhi pengkaryaannya. Beliau banyak menyalin dan tebus semula idea dan ilustrasi pengarah tersebut.
Kemudian beliau dikembangkan dalam bentuk lukisan, catan dan arca. Selain itu, karya-karya surealisme H.R. Giger juga kuat mempengaruhi kerja-kerja yang dihasilkan beliau. Khairul berbeza dengan generasi awal surealisme yang lebih bersandarkan kepada unsur fantasi dan imaginasi Barat yang dipaparkan dalam karyanya yang cenderung ke arah ilustrasi.
Syafiq Fawwaz adalah graduan sarjana dari UiTM yang telah berjaya menjayakan dua buah pameran perseorangan. Syafiq adalah pengkarya tegar dengan aliran surealisme yang menjelmakan imej seram, jelmaan hantu mengerunkan, suram dan psikotik yang ditonjolkan dalam siri karya yang beliau dihasilkan. Kecenderungan surealisme juga mendorong Syafiq meningkatkan ilmu bersama pengkarya surealis Khairul Azmir Shoib.
Selain itu, beliau juga mendalami ilmu surealis dengan menjalankan temubual secara intensif bersama pengkarya senior S. Amin Shahab. Malah Syafiq juga banyak menerbitkan artikel berkaitan subjek surealisme iaitu ‘Berkenalan Dengan Catan Surealisme’ (No.3, 2019), ‘Pengaruh Teori Freudian dalam Surealisme’ (No.2, 2020), ‘Surealissufi S. Amin Shahab’ (No.6, 2021) semuanya dimuatkan dalam majalah Dewan Budaya terbitan Dewan Budaya dan Pustaka. Beliau kelihatan sangat serius mengembangkan aliran surealisme berjaya menerbitkan koleksi catatan, lukisan dan audio bertajuk ‘Metaphysical: A Compendium of Surreal Images and Words’ (2022).
Haslin Ismail pengkarya muda yang hadir memeriahkan seni rupa Malaysia (Serum). Haslin adalah graduan dari UiTM yang juga pernah menjadi pelatih kepada Khairul Azmir Shoib. Imej-imej yang dibangkitkan dalam karya beliau cenderung kepada alam bawah sedar dan fantasi yang sangat digemari beliau.
Haslin banyak menyadur kerja-kerja fantasi dan illustrasi dari komik dan filem Barat yang diilustrasikan semula. Haslin adalah lebih dekat dengan seorang draftsman dalam kecekapan teknikal beliau dalam menyalin gaya ilustrasi pada karya secara terus. Kegairahan dan kecenderungan ilustrasi beliau tidak terikat dengan gaya berbeza dengan pengkarya surealisme S Amin Shahab dan Ng Hwee Chu. Produksi karya Haslin dalam bentuk ilustrasi yang condong lebih feminin dalam berbentuk catan, lukisan dan cetakan banyak dihasilkan dalam merakam idea surealisme, fantasi dan seram.
Kesimpulan
Dalam merumuskan pekembangan surealisme diketahui surealisme memiliki keupayaan untuk membangkitkan kreativiti. Ini terbukti dengan kelahiran karya-karya hebat di Barat malah surealisme mempengaruhi aliran ‘Pop Art’, seterusnya dikembangkan dalam bentuk ‘Neo-Surrealism’ dan estetik surealisme dipaparkan dalam filem, video muzik dan periklanan.
Namun surealisme tidak dapat dimajukan potensinya di negara ini kerana ketekunan mendalami kefahaman psikoanalitik tidak berjaya dikupas atau ditafsir dalam pengkaryaan tempatan.
Akan tetapi karya-karya oleh S Amin Shahab dan Ng Hwee Chu adalah templete atau skema surealisme yang baik dengan suntikan elemen tempatan.
Agumentasi menjelaskan bahawa pengkarya generasi baharu seperti Khairul Azmir Shoib, Syafiq Fawwaz dan Haslin Ismail adalah cenderung kepada bentuk fantasi dan sci-fi. Malah mereka banyak menyadurkan idea dan masih terperangkap dengan persona seniman Barat yang mereka minati.
Walau begitu, kita harus positif dengan lanjutan perkembang ini. Sehubungan itu, lebih banyak lagi penerokaan yang harus difikir dan dikerjakan oleh para pengkarya melalui aliran surealisme di negara ini.

