ORANG politik yang selesa di kerusi penguasa memang selalu terlupa. Mereka lupa bahawa kerja memperkasakan bahasa itu bererti mengangkat martabat ekonomi, sosial dan kesenian bangsanya.
Entah mengapa walau dengan bahasa itulah mereka kehulu-kehilir menjual diri dari satu rumah ke satu rumah demi kuasa. Bagai nak gila mereka keluar masuk kampung dari selatan hingga ke utara carutkan lawan, perlekehkan kebenaran dan memperbodohkan intelektual rakyat hingga menang dan berkuasa.
Tapi tetap juga yang terpaling tak diendahkan orang-orang politik ini adalah seni, sastera dan budaya yang ditunjangi oleh bahasa yang dituturkan dalam kempen-kempen politik mereka.
Boleh jadi bagi kebanyakan orang politik, seni, sastera dan budaya itu hanyalah tetek-bengek yang tak berkeperluan sampai nak di ‘kementeriankan.’
Memang barangkali kepentingan bahasa buat orang-orang politik itu hanyalah berupa survival kerjaya politik mereka saja. Hanya semata-mata penonjolan diri sebagai seorang jaguh orator parti politik yang terpaling berpengaruh bertaraf seorang ‘influencer’.
Maka tidaklah menghairankan kalau parti-parti politik era ini turut terjebak sama dalam fenomena jahanam yang melanda industri kreatif negara.
Penggila viral saja semuanya. Sampaikan radio, tivi dan filem seluruh negara ini tercandu sampai terhegeh-hegeh mengejar ‘instafamous’, ‘tik-toker’ dan ‘youtuber’ untuk menjual produk dan kerja seni mereka.
Sebetulnya menjual karya tidak seharusnya dengan idea. Akan tetapi mestilah melalui imaginasi manusia.
Perlu diperjelaskan dalam tulisan ini juga bahawa idea hanyalah suatu konsep yang penuh dengan sifat kekonseptualan yang serba terhad dan terbatas.
Idea adalah gabungan bahasa ilmu dan bahasa pengetahuan berkenaan konseptual dalam upaya merumuskan kerja seni yang berkemungkinan ada yang sofistikated dan juga komplikated sifatnya.
Secara mudah idea adalah suatu kerja merumuskan sesuatu yang konkrit menjadi suatu perbandingan yang abstrak untuk difahami manusia.

Berbeza dengan idea, kekuatan imaginasi sebetulnya lebih kukuh kerana ia terbina dari pencampuran bahasa-bahasa seni, sastera dan budaya yang berlaku secara organik dari pengalaman para pengamatnya.
Jauh dan terlindung berbanding idea yang serba terkurung dari segala macam sifat kekonseptualan, imaginasi akan lebih mengakrabkan hubungan karya seperti penulisan dengan pengamatnya terhadap apresiasi yang terkandung intelek, pemikiran dan pengalaman manusia.
Imaginasi adalah bahasa kritikal yang tujuannya adalah untuk menghidupkan idea.
Ia adalah suatu kerja keras menampil dan menzahirkan apa yang terlihat dari zahir dan batin seni, sastera dan budaya untuk berdiri menjadi suatu objek yang dekat dengan manusia.
Dengan kata lain, imaginasi adalah rumusan sesuatu yang abstrak agar ternampak jelas menjadi suatu yang konkrit lalu hadir dan difahami dengan cara berbeza-beza menurut bahasa pengalaman dan bahasa intelektual pengamatnya.
Politik yang seharusnya kaya idea itu hari ini sudah kehilangan imaginasinya.
Politik negara ini sudah tidak lagi dapat menggambarkan keindahan dan kebahagian dalam mengertikan makna sebuah kemerdekaan.
Ia kini hanya dipenuhi dengan idea-idea polisi dan dasar yang kering, berulang dan bosan. Pada hujungnya kita sendiri tahu bahawa apa yang mereka jelaskan belum tentu akan mereka lakukan.
Tulisan-tulisan dan ulasan-ulasan politik pun demikian. Bukan sahaja gagal memberikan idea-idea bernas lagi bijaksana, malah keupayannya menggambarkan imaginasi pun gagal dibayangkan buat rakyat sandarkan harapan.
Dek kerana itulah kita memerlukan lebih banyak tulisan-tulisan kritikan seni seperti filem. Kritikan-kritikan filem kritis, kaya imaginasi dan bukannya ulasan-ulasan yang bergagaskan idea.
Penulisan kritikan sering disalah ertikan sebagai hasutan. Ayat-ayatnya selalu dituduh menyebar kebencian. Sementara kata-katanya pula acap kali dianggap kecaman.
Sehingga ada dari kita yang terpedaya sampai tergamak mengatakan penulisan kritikan itu ada yang membina dan ada yang meruntuhkan.

Apa kata Mansor Puteh di dalam bukunya yang berjudul Kritikan Filem Mansor Bin Puteh yang diterbitkan pada tahun 1995.
Katanya; “Bidang kritikan filem lebih susah dari bidang pembikinan filem!.
Seseorang itu memerlukan lebih banyak ilmu dalam bidang perfileman sebelum dia boleh menulis ulasan-ulasan.
Tetapi sebaliknya, seorang yang mempunyai kewangan itu boleh jadi seorang penulis skrip dan pengarah walau tiada latarbelakang yang mendalam dalam bidang pembikinan filem.
Dan di Amerika Syarikat kita dapat melihat bahawa hampir kesemua pengkritik filem itu tidak mengeluarkan apa-apa filem, panjang maupun pendek. Dan mereka terus menulis kritikan filem dan menerima sanjungan dari masyarakat.”
Buku sederhana yang mengumpulkan tiga puluh tiga buah esei kritikan filem berkaverkan sosok Mansor Puteh yang berumur entah tujuh atau lapan tahun itu dengan yakin menyatakan keimanannya.
Kenyataan yang ditulis Mansor pada sekitar lebih dua puluh lapan tahun dulu itu barangkali benar dan terpakai hanya pada zaman ia dituliskan saja, kerana pada zaman itu media sosial dan ‘influencer’ belum pun ada. Peniaga nasi ayam gepuk di Gombak dan penjual teh cincau balang di Sentul belum reti gunakan khidmad ‘food influencer’ untuk mengulas dan promosikan produk mereka.
Tak terlintas langsung di kepala Mansor kala itu agaknya bahawa satu hari nanti fungsi dan peranan kritikan filem akan diambil alih sepenuhnya oleh ‘film influencer.’
Tak perlu lagi tulisan-tulisan kritikan yang berjela, cukup dengan hanya berbual santaikan pendapat dan idea dalam video-video mereka.
Tulis Mansor lagi; “Bidang kritikan filem tempatan secara serius sememangnya bukan sesuatu yang telah lama wujud dalam pengalaman kita. Ianya hanya boleh dikatakan bermula sejak awal tahun 1980an sahaja. Terdapat beberapa pengkritik filem yang giat menulis kritikan-kritikan mereka yang mana telah mendapat perhatian ramai. Diantaranya termasuk Nasir Jani, Hannafiah Samad, Zakariah Ariffin, Johan Jaaffar dan beberapa orang lagi. Kesemua mereka telah berjaya mengemukakan pendapat mengenai filem-filem yang diulasnya secara berilmu.”
Tambah Mansor lagi; “Ini berbeza dengan tulisan-tulisan kritikan filem yang terdapat sebelum ini. Dan saya menyertai mereka itu sejak pertengahan tahun 1982 untuk meneruskan tradisi penulisan kritikan filem tempatan dan sama-sama berusaha untuk meletakkannya ke suatu tahap yang boleh disegani. Walaupun kita tidak mempunyai filem-filem yang boleh dianggap sebagai bermutu,”
Kata-kata Mansor Puteh itu penting untuk disorot dan diperhatikan kerana dia menyebut bahawa bidang yang telah diasas dan diteroka oleh beberapa orang tokoh pada 1980 itu mengemukakan kritikan-kritikan filem yang diulasnya dengan ilmu.

Keimanannya itu malah dinyatakan dengan penuh percaya bahawa seorang pengkritik filem itu memerlukan lebih banyak ilmu dalam bidang perfileman sebelum berupaya melaksanakan tugasnya menjadi penulisan kritikan filem yang bermanafaat untuk bangsanya.
Hari ini Mansor terpaksa mengakui bahawa dengan ilmu perfileman yang banyak dan tinggi saja tidak akan cukup untuk sesiapa mahu meletakkan namanya sebagai pengkritik filem seperti Johan Jaaffar, Hassan Muthalib dan Zakaria Ariffin.
Kekurang kritikan seni seperti filem mungkin disebabkan oleh dua faktor utama. Iaitu apabila berlakunya komersialisasi yang ekstream terhadap seni serta pemencilan ruangan kritikan seni yang mana termasuklah kekurangan melampau media seni seperti portal Seni Malaya ini yang bersedia menyediakan ruang yang lebih banyak.
Tulisan ini sudah tidak percaya lagi bahawa ilmu itu penting dan menjadi syarat utama dalam menghasilkan karya-karya kritikan seni, sastera dan budaya seperti filem.
Malah penulisan-penulisan ulasan dan kritikan politik juga tak memerlukan ilmu dan pengetahuan sains politik kerana idea juga sudah luput, ketinggalan dan tak lagi dapat memberikan makna.
Cuma satu sahaja yang masih dapat membuatkan suatu penulisan kritikan seni seperti filem itu bernafas dan bernyawa. Iaitu dengan cara menuliskan kritikan itu dengan imaginasi. Justeru tinggalkan menulis kritikan itu dengan ilmu dan idea.
Mulalah menulis karya-karya penulisan kritikan dengan imaginasi semata.
