“Di dalam kerja filem saya, saya sentiasa mahu bikin orang membaca filem saya secara mendalam.”
Agnes Varda
KERJA saya menulis. Selepas berhari mendiamkan diri, saya mendapat kekuatan. Saya terpaksa mengaku, dalam setahun ini, saya agak kecewa. Cerita dan kertas cadangan yang ditulis masih tidak berjawab. Apa projeknya jadi, atau adakah idea itu menarik? Ia terus misteri. Bosanlah macam ini. Asalnya bukan saya yang meminta-minta. Pihak sebelah yang memanggil kami. Mahu membuat anjakan katanya. Kemudian berdegar-degar mahu menjawab keterlanjuran pihak yang satu lagi. Tapi cuma sekejap. Sekarang semangat yang berdegar-degar itu pun senyap. Sepi. Lalu tutup buku. Saya tidak berharap dan mahu berfikir perkara itu lagi. Biarkan dia misteri.
Terlalu lama perfileman dalam negara malap kerana spesis seperti ini. Spesis yang ketagih berjanji. Barangkali, ia janji mulut manis paling diabetik di dunia. Saya sudah bosan dengan semua sembang dan angan-angan tak berjenis ini. Sembang, kemudian berlalu begitu sahaja. Ghaib, hilang. Lesap tanpa semangat, arah dan cita-cita. Boleh jadilah saya sudah salah mengatur langkah. Sepatutnya dari awal saya jangan percaya. Perkara ini bukan baru berlaku sehari dua ini.
Maaflah kalau saya membuat anda terpaksa membaca kelemahan saya. Tapi ini luahan jujur saya. Saya tidak mahu berbohong lagi — asyik kelepet saja. Terutama pada diri sendiri. Maka itulah saya menulis elegi ini. Saya fikir, hari ini baru saya setuju berkata, bahawa saya juga seorang penulis. Bagi saya inilah tulisan saya yang pertama dan baru lahir. Saya harus mengaku bahawa selama ini saya masih belum mampu untuk berlaku adil dan jujur. Sekali lagi, terutama pada diri sendiri. Saya banyak bereksperimen. Malangnya semua berakhir dengan kesimpulan yang belum jelas dan bulat. Saya harus malu telah melakukan banyak kerosakan di bumi ini. Apabila telah sedar. Maka izinkanlah saya berbicara.
Beberapa tahun dan dekad berlalu, saya pernah menemui diri ketika pertama kali menonton Cinema Paradiso (1988), Autumn Sonata (1978) dan Fanny and Alexander (1982). Mengkagumi Giuseppe Tornatore dan merasa terlalu banyak persamaan dengan Ingmar Bergman. Senarai pendek ini barangkali pengaruh-pengaruh pertama saya terhadap dunia perfileman, ketika mula membentuk tasawwur atau “world view” dalam pemikiran dan persoalan sinema saya. Saya sangat mentah ketika mula meneroka diri sendiri menerusi mediam ini; iaitu sinema.
Seingat saya, saya mula memupuk kecenderungan untuk menjadi pencerita sejak masih kanak-kanak. Ia disedari ketika saya menonton filem. Membesar di kampung emak di utara negeri Perak, saya bersama keluarga dan saudara yang hampir sebaya akan menonton filem di televisyen menerusi slot Tayangan Gambar Melayu yang pada masa itu sangat popular. Saya acapkali merasa yang saya mempunyai cerita saya sendiri atau paling tidak mempunyai versi cerita saya pula setelah menonton filem-filem tersebut. Inilah pengalaman paling istimewa sebenarnya, yang saya sedari hari ini sebagai lokomotif atau penggerak yang membentuk saya membuat pilihan untuk menjadi pembikin filem kemudian hari.
Seperti Rotterdam dan Locarno sebagai pintu masuk pembikin filem baharu kepada dunia filem antarabangsa (kerana festival filem antarabangsa di kedua bandaraya itu akan mendedahkan mereka kepada festival filem antarabangsa yang lebih besar,sohor dan prestij seperti di Venice, Cannes dan Berlin), di kampung itu adalah pintu masuk saya kepada dunia kecil yang saya mula teroka dan jatuh cinta terutama setelah menemui filem-filem yang saya sebutkan di awal tadi. Setiap kali saya balik kampung, saya sering berjanji kepada adik sepupu yang rajin membawa saya meronda dengan Honda Cup ayahnya, menyusur jalan kampung untuk melihat keindahan bendang ketika padi di ambang musim menuai. Saya amat teruja untuk mengucapkan salam saya kepada dunia menerusi ambisi saya yang mahu menjadikan kecantikan ini sebagai jendelanya. Saya masih perlu tunaikan janji saya kepada adik sepupu saya itu.
Alfredo dan pencinta ruang gelap
Alfredo bukan pencinta filem seperti kebanyakan siniast. Sebaliknya, tokoh fictional yang dijadikan sosok yang memberi inspirasi kepada pencinta ruang gelap; yang kemudian ‘comolot’ dengan dunia sinema melalui perannya sebagai sang pengendali projektor (projectionist) di panggung wayang. Ia berlaku sebelum pengalaman hitam menimpanya di dalam kebakaran dan kecacatan buta. Asbab yang membuka jalan kepada Salvatore (Toto) mengambil alih perannya di Paradiso apabila panggung wayang baharu kembali dibina di pekan atau kampung Giancaldo di Sicily. Vice versa ini kisah jatuh bangun dunia filem yang masyhur di Italy sebagai salah satu negara di mana filem atau sinema bermula (asal usul).
Begitu dalam cinta Alfredo kepada ruang gelap, sampai melangkaui cinta Toto kepada Elena (anak seorang empunya bank yang ada-ada). Mengenali kecerdasan Toto sebagai penyambung kepada tradisi sinema yang ingin diwariskannya, Alfredo enggan melihat Toto ditewaskan oleh tangisan ‘cinggey’ lalu menyimpan satu rahsia yang terbongkar hanya selepas hari kematiannya disempurnakan. Sebuah realiti yang pahit meskipun ketika sekembalinya Toto di Giancaldo, dia merupakan terajutama yang berjaya dan dikenali selepas menyepi banyak tahun sejak berhijrah ke Rome; kelihatan tidak menggembirakannya apabila mengetahui Elena telah lama berkeluarga. Beda dengan dirinya yang setia dan merajuk lalumembujang sampai tua.
Secara semiotik, Cinema Paradiso turut menyentuh isu yang sedang didepani industri filem di Italy sebagai salah satu rujukan besar perusahaan filem dunia adalah terhadap penapisan ugama dan “sexuality”, eksploitasi politik, pergelutan masyarakat sivil dan cengkaman kapitalisme yang parokial; dihidangkan secara terbuka dan berani. Ini termasuk juga mendepani cabaran baharu terutama selepas televisyen mengambil alih budaya menonton masyarakat. Menariknya ia lebih relevan dibicarakan sekarang. Tatkala ini budaya menonton mengalami transisi baharu di dalam era peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI) dengan budaya “streaming” dan OTT.
17 November tahun ini Cinema Paradiso genap 36 tahun sejak ia ditayangkan (release). Ia telah merentasi umur yang semakin dewasa seiring tema “Coming of Age” yang menjadi isu pokoknya. Mungkin benar pernyataan usia yang diraikan terlalu awal dan mendesak seperti ini jelas terbangkit kerana melihat kepada tradisi perfileman dunia yang semakin terhakis dan arah tuju yang kehilangan nevigasi. Timbul persoalan ke manakah sinema akan dikemudi ketika atau dalam mendepani cabaran yang semakin hari semakin rancu dan kecanggihan. Apa akan jadi dengan tradisi panggung wayang selepas ini, terutama dalam beberapa tahun mendatang?
Saya melontarkan budaya fikir ini menyedari sinema sebagai medium komunikasi tidak lagi berbicara dengan masyarakatnya. Ia tersisih ketika masyarakat mula terpesona dengan media baharu di internet kerana dekat dan bersifat santai, di mana telah menginggalkan tradisi menonton filem di panggung wayang secara perlahan-lahan. Ketika ini hanya filem tempatan bernuansa “fake Hollywood” mampu meraih kutipan tinggi. Selain itu, semua kecundang, apatahlagi hasil kerja filem yang alternatif; mereka yang cuba memberi perspektif berbeza daripada produk-produk komersial.
Di bumi bertuah ini, penonton filemnya sedang kehilangan sebuah pengalaman sinema (yang asli) — di mana filem wajib ditonton di panggung wayang — ketika pemodal TV dan OTT menjadi tauke-tauke baharu. Penonton dijangkiti penyakit malas; mengalami kesakitan budaya dan alergi kritikan filem kerana tidak dipupuk dengan apresiasi, sebaliknya terpengaruh dengan pengucapan dan komentar filem dari pempengaruh yang bukan ahli teori mahupun ktitik itu sendiri. Ini berat ni. Ia rancu kerana tanpa pengisian, merayakan pemikiran dan fikrah, budaya dan kritikan filem tidak menjadi amalan masyarakat dalam menakrif sinema. Salah faham mereka melibatkan kehilangan erti dik matlamat yang tersasar dari inklusiviti. Rujukan kepada kerancuan ini merupakan virus kepada persoalan sinema yang dibualkan sekarang.
Mengembalikan erti sinema dalam elegi budaya dan kritikan filem harus berbalik dengan menghayati aspek sejarah, menyedari watak dan peristiwa yang telah mengubah dunia melalui perjuangan kelompok dan peribadi. Saya memetik The Arch (1968) sebagai contoh. Sebuah filem yang telah merubah wajah Asia dengan mengambil jalan sukar merintis penghasilan filem seni di tengah-tengah kerancakan industri popular yang mengitari perusahaan filem pada masa itu di Hong Kong. Shu Shuen seorang wanita yang berani menggalas tanggungjawab sosialnya di sekeliling “limelight” pengarah-pengarah filem lain (malangnya mereka adalah lelaki) yang tandus kerana mengejar popular; mengenepikan persoalan sinema dan budaya fikir. Shu Shuen tidak perduli. Sikapnya yang mendahulukan aulawiyat itu berbaloi apabila usahanya dijawab menerusi pemilihan The Arch untuk ditayangkan ke Eropah. Sejak itulah sinema Hong Kong mula dikenali dan kemudian diterima berhabitat di dalam peta dunia perfileman. Naskhah yang dikesan merupakan gelombang sinema baharu itu mengupas isu kebudayaan dan “sexuality” secara simbolik, kuat beralegori, kaya dengan pengucapan sinema yang berelegi, menjadikan “misc en scene” sebagai “lingua franca”-nya. Sebuah pernyataan yang “stylistic”, sebagai identiti bagi sebuah perwatakan sinema yang aneh, rebel dan menarik. Cara yang sangat dekat dengan kehidupan kerana berbicara dengan hati.
