TIADA yang lebih menyegarkan berbanding menghasilkan karya yang dekat dengan semesta diri seseorang pengkarya. Ia akan mengalir jujur, tidak terlalu disuguh-suguh dan tidak pula terlalu didaktik.
Setidak-tidaknya itulah renungan saya setelah menonton tiga filem pendek Indonesia yang sangat berakar kepada jati diri setiap pembikinnya.
Tiga filem pendek itu ialah Basri dan Salma dalam Komedi yang Terus Berputar (2023), Where the Wild Frangipanis Grow (2023) dan Sawo Matang (2023).
Ketiga-tiga filem ini saya tonton sewaktu menghadiri Festival Penulis dan Pembaca Ubud (UWRF) 2024 pada penghujung Oktober tahun lalu, di Ubud, Bali, Indonesia.
Dua kali sebenarnya saya berkesempatan menonton filem-filem pendek ini.

Pertama menerusi program tayangan filem dalam festival itu sendiri, dan kedua, menerusi satu program layar tancap (wayang pacak) di luar kawasan festival, atau setepatnya di Bumi Kinar, salah sebuah resort popular di Ubud, pada hari yang berbeza.
Kedua-dua sesi menayangkan ketiga-tiga filem ini secara berangkai dan diikuti dengan sesi diskusi santai bersama pada pembikin filem masing-masing.
Setiap filem yang ditayangkan, selain sangat dekat dengan peribadi para sutradaranya, juga sangat berakar kepada kebudayaan tanah kelahiran masing-masing.
Basri dan Salma dalam Komedi yang Terus Berputar (2023)
Sutradara dan lakon layar: Khozy Rizal
Durasi: 15 minit

Basri dan Salma dalam Komedi yang Terus Berputar atau judul antarabangsanya, Basri and Salma in a Never-ending Comedy (Basri dan Salma bagi sebutan berikutnya) bercerita tentang Basri (lakonan Arham Rizki Saputra) dan Salma (Rezky Chiki), pasangan suami isteri di Makassar yang sudah lima tahun berkahwin namun belum dikurniakan cahaya mata.
Ironinya, Basri dan Salma mengusahakan perniagaan odong-odong iaitu sejenis permainan arked di pesta ria (fun fair), bagi melayani kanak-kanak di sana. Ketiadaan cahaya mata dalam kehidupan pasangan ini mengundang banyak pertanyaan, malah penghinaan dan sindiran daripada ahli keluarga, termasuk ibu Basri sendiri.
Dalam satu adegan di meja makan rumah ibu Basri misalnya, perbualan tentang “bila mahu ada anak?” bersama ahli keluarganya akhirnya menyentuh kepada persoalan-persoalan yang sangat peribadi kepada Basri dan Salma seperti soal kesuburan, kemampuan seksual malah secara visual mengajuk posisi ketika berjimak untuk menyindir pasangan tersebut sehingga berakhir dengan pergaduhan dan kekasaran.
Ini sudah tentu hal yang mengejutkan bagi sebuah pemandangan dalam filem yang berlatarkan masyarakat desa di Makassar, Sulawesi Selatan. Namun menurut sutradaranya sendiri, Khozy Rizal, “Saya tidak pasti dalam keluarga lain, tetapi dalam keluarga saya, itu sudah dianggap perkara biasa.”
Perihal anak ini juga kedengaran sangat lazim bagi masyarakat kita di Malaysia—barangkali perbincangan tentang zuriat, jodoh dan seumpamanya memang sejak sekian lama memang dipertanyakan dalam masyarakat Timur (Asia Tenggara terutamanya) dan sering memberi tekanan kepada mereka yang belum dikurniakan rezeki yang sedemikian.
Ini bertepatan pula dengan isu yang melingkari masyarakat moden berkenaan pendirian hidup berkelamin tanpa anak (childlessness), yang sempat mencetuskan polemik dalam negara kita menerusi media sosial baru-baru ini.
Dalam Basri dan Salma, Khozy Rizal mengutarakan jangkaan-jangkaan dan tekanan daripada masyarakat berkenaan rumah tangga dan cahaya mata yang sering dilihat sebagai satu bentuk pencapaian dan kebanggaan, justeru mereka yang tidak dikurniai dengan rezeki sedemikian sering dianggap lemah, tidak sempurna dan serba kekurangan.
Basri dan Salma disuntik dengan elemen komedi dan muzikal yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyinggung pemahaman yang berakar dalam sistem masyarakat patriarki dan diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain.
Tidak hairanlah filem pendek ini dipilih bagi pemilihan rasmi di Festival Filem Cannes bagi kategori filem pendek pada tahun 2023.
Where The Wild Frangipanis Grow (2023)
Sutradara dan lakon layar: Nirartha Bas Diwangkara
Durasi: 15 minit

Kalau Basri dan Salma berakar kepada budaya setempat di Makassar, Where The Wild Frangipanis Grow sangat membumi kepada budaya dan ragam beragama di Bali. Filem pendek ketiga bikinan Nirartha ini bercerita tentang Aditya, (Agus Wiratama), seorang pembantu peribadi di sebuah ashram Hindu yang terkenal di Bali kerana banyak mengambil rekrut bakal pendeta dalam kalangan pemuda yang kurang berkemampuan.
Ketika menjalani pengajian di ashram tersebut, Aditya berdepan dilema untuk memilih antara perasaannya terhadap Chandra (Bryan Ferguson), seorang rekrut baharu yang jujur dan polos, atau kesetiaannya kepada Guruji Bagus (Donny Damara), pemimpin spiritual yang berpengaruh dan berkarisma, tetapi tercemar moralnya.
Guruji Bagus yang dilihat sebagai figura yang dihormati di ashram tersebut, menyalahgunakan kuasanya sebagai pendeta dengan menjebakkan Aditya dan Chandra dalam permainan nafsu yang mengelirukan dan memerangkap anak-anak didiknya.
Pada permukaannya, filem ini terlihat seperti bauran subgenre queer atau layar LGBTQ yang dimadukan dengan elemen-elemen kebudayaan dan Hindusime di Bali. Namun pada lapis-lapis di bawahnya, penonton akan menyedari bahawa filem ini disusun dengan persoalan besar berkenaan isu perlecehan seksual yang selalu berleluasa dalam institusi agama.
Keizinan seksual (sexual consent) ialah isu yang sudah tersedia kompleks, apatah lagi melibatkan jantina yang sama dan dinamika kuasa yang berselirat. Filem ini cekatan mengingatkan saya kepada isu amang seksual yang turut dilaporkan di institusi keagamaan tempatan. Perlecehan seksual dalam kalangan ustaz di pusat tahfiz dan selebriti agama yang heboh diperkatakan di tanah air begitu senada dengan Where The Wild Frangipanis Grow.
Dalam sesi perkongsian, sutradaranya, Nirartha kelihatan sebak apabila dipertanyakan oleh berkenaan inspirasi filem ini. Jelas Nirartha, kes perlecehan seksual dalam filem ini terinspirasi daripada kejadian sebenar yang dialami rakan terdekatnya, dan pelakunya, masih belum dikenakan apa-apa tindakan malah menjadi tokoh agama yang diraikan di Bali sehingga kini.
Dari sudut gambarnya, saya sukakan permainan warna merah dan putih yang ketara sepanjang filem ini. Permainan warna merah pada selendang dalam adegan pertapaan di jeram air terjun misalnya, mengisyaratkan tarik tali kuasa-nafsu-perhatian yang berlaku dalam lingkaran tiga segi Aditya-Chandra-Guruji Bagus.
Menonton filem pendek yang menjadikan budaya keagamaan dharma Bali sebagai latar, di Bali, dengan pelukan haruman bunga kemboja di sekeliling Bumi Kinar, menjadikan tontonan filem ini begitu puitis sekali dan pengalaman peribadi yang tidak akan saya lupakan.
Sawo Matang (2023)
Sutradara dan lakon layar: Andrea Nirmala Widjajanto
Durasi: 21 minit

Sawo Matang menawarkan naratif alternatif Indonesia pasca-Orde Baru di mana penduduknya dibahagikan kepada dua kaum utama; Peribumi dan Bukan Peribumi. Tiga minit terawal, Sawo Matang dibuka dengan adegan masyarakat peribumi disangkarkan dan dipertontonkan kepada masyarakat umum termasuk kepada bule kolonial yang berbahasa Belanda, persis di zoo, hanya sahaja yang dipertontonkan bukanlah binatang, sebaliknya manusia yang berkulit sawo matang. Pasti sahaja babak sebegini memancing intrig dan keingintahuan penonton.
Minit-minit berikutnya ialah imbas kembali dalam susur cerita watak utamanya, Nala (Anne Yasmine), seorang gadis peribumi yang jatuh cinta kepada teman baik yang juga rakan sepengajian di sekolah, Kai (Yesaya Mishael), seorang jejaka Cina yang tampan.
Demi menyeimbangkan ekonomi tempatan, masyarakat peribumi Indonesia pada era realiti alternatif ini dibenarkan menjalani ritual ilmu hitam yang dipanggil babi ngepet, di mana pengamalnya akan menjadi kaya dengan menjadi babi siluman untuk seberapa waktu melalui amalan pesugihan.
Kai, yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara meminta pertolongan Nala untuk mendapatkan wang melalui babi ngepet yang akhirnya menyebabkan Nala tertangkap oleh pihak berkuasa (hanya Nala, Kai tidak tertangkap, meskipun kedua-duanya melakukan upacara tersebut di tempat yang sama).
Ada hal yang sedikit longgar di sini. Saya tidak begitu jelas mengapa Nala tertangkap melakukan pesugihan, walhal amalan tersebut dibenarkan oleh perundangan kepada warga peribumi. Teori saya, barangkali pesugihan babi ngepet ini hanya dibenarkan kepada diri sendiri atau bangsa sendiri sahaja, bukan untuk orang lain, apatah lagi kepada warga bukan peribumi.
Ada beberapa hal yang menarik di sini. Pertama, bagaimana sutradaranya, Nirmala, menggunakan elemen budaya seperti babi ngepet untuk menyinggung segregasi kaum yang terjadi dalam masyarakat Indonesia. Meskipun dunia dalam Sawo Matang bukan dunia nyata, tetapi isunya tentu sahaja terjadi dalam landskap sosioekonomi dan politik sebenar Indonesia.
Kedua, saya secara peribadi sukakan latar distopia yang direkayasa Nirmala dalam filem ini tanpa terlalu mencuba untuk menampilkan worldbuilding yang terlalu jauh daripada realiti semasa. Pendek kata, tidak terlalu futuristik atau membina semesta yang absurd. Ia lebih menghampiri realisme magis, setepatnya.
Menjawab persoalan saya berkenaan inspirasi di sebalik Sawo Matang, Nirmala secara berjenaka memberitahu, “Ini inspirasi daripada mantan kekasih saya sebenarnya. Saya dahulu bercinta dengan jejaka Cina tetapi tidak direstui keluarganya. Malah ibu mantan kekasih saya pernah menyebut, tak mahu ada cucu babi hitam’. Maka dengan itu saya menampilkan ritual babi ngepet dalam filem pendek ini.”
Penampilan watak lelaki asing dari Belanda menziarahi zoo manusia peribumi pada awal filem ini, menurut Nirmala, menjelaskan bahawa bekas penjajah merupakan musuh di sebalik segregasi kaum yang terjadi di Indonesia, ia bukanlah tentang kaum peribumi vs bukan peribumi.
Filem pendek ini mengingatkan saya kepada filem Pendatang (2023) terbitan Kuman Pictures yang turut menyinggung isu segregasi kaum di Malaysia melalui rekayasa semesta ala distopia atau naratif alternatif.
Apa yang jelas, ketiga-tiga filem pendek ini lahir daripada cetusan pengalaman peribadi sutradara/penulisnya, dan berkongsi premis yang serupa: menyinggung kes-kes sosial yang terjadi dalam lingkungan sosioeknomi dan politik mereka, yang sebenarnya tidaklah begitu jauh dengan apa yang terjadi di tanah air kita sendiri. Karya-karya sebegini akan sentiasa segar dan akan diingati para sinefilia.
– SHAMSUL AMIN merupakan penulis, penyunting dan pereka sepenuh masa. Beliau merupakan pengasas agensi kreatif Studio Tanda Bacha dan penerima Anugerah Penulis Muda ASEAN 2015.

