KALAU pengarca Rodin (1840-1917) itu Melayu dan seorang pencatan, maka dia adalah Arif Fauzan. Ini kerana karya-karya beliau berasal dari arca-arca figura (busts)yang disembunyikan di dalam kegelapan catan.
Saya jenuh mencari-cari punca satah di permukaan catan beliau di mana arca-arca ‘busts’ itu bertapak. Patung-patung kepala batu yang bisu dan sebu akhirnya muncul satu persatu di dalam catan-catan Arif Fauzan ketika saya tercegat di tengah-tengah ruang galeri Sareng memerhati gelagat-gelagat mereka.
Watak-watak kaku dan berkerutu seolah disumpah menjadi batu oleh gandingan hebat sang Kelembai dan puteri Medusa, ternyata menjadikan karya Arif Fauzan jauh berbeza.
Hampir kesemua watak-watak itu tercela tidak sempurna, dari struktur muka hingga ke seluruh anggota.
Ada figura yang tumbuh dari landskap ada pula yang gelap terperangkap diantara ruang mimpi dan misteri.
Namun setelah membaca tulisan Sarah Abu Bakar dalam katalog pameran, sememangnya terdapat pertembungan antara dua benua mistik barat dan timur yang menjadi penambat naratif karya.
Tetapi ini semua bukan hanya simbol mistik semata bisik hati saya sebaliknya ia seakan kejadian ‘fenomena’ yang pernah dibisikkan oleh Husserl dan kemudian disahut oleh Heidegger seketika dulu.
Fenomena catan menjadi ‘benda’ apabila ia ‘membiarkan mata yang melihat berbicara’.
Mata lantas menyakini saya bahawa sang pencatan datang menyentuh dan memasuki benda-benda (objects) ini tanpa perlu kemudiannya mengkatagorikan ia sebagai catan.

Aduhai, alangkah sesatnya arah bacaan saya pada mulanya. Lorong-lorong observasi saya semakin sempit dan akhirnya kabur antara satah dua dimensi dan tiga dimensi dalam meneliti karya-karya Arif Fauzan.
Kompas kiblat saya sebagai pencatan lantas berputar 360 darjah mencari-cari daerah damai antara subjek dan objek antara ilusi dan realiti.
Ternyata Arif Fauzan bukan saja seorang pencatan yang mampan malah saorang ‘illusionist’ yang mampu meredakan perbedaan antara pasti dan sangsi dalam muslihat melihat.
Dalam memintal jalinan-jalinan makna dalam karya, beliau tidak terikat dengan keasyikan melambang (symbolism) kerana memadai baginya menumpukan satu subjek (object) yang bersungguh sifatnya (details) kerana perlambangan dalam siri ini diangkat sumpahannya lalu membebaskan subjek dari segala makna-makna tersirat. (Pameran solo beliau bertajuk -Angkat Sumpah). Kalau ada pun hanya untuk menarik tumpuan penulis dan pengkritik (dan mungkin pembeli).
Tumpuan saya tentunya lebih kepada mengagumi Arif Fauzan sebagai pelukis yang berani mencabar keupayaan diri sebagai pencatan.
ala batu beliau keinginan meneroka, mencuba dan mencipta.
Beliau tidak pernah terperangkap dengan sumpahan gaya yang kerap menghantui pelukis.
Tahniah Arif Fauzan atas keberanian ini. Semoga anda terus berkarya dengan kelainan demi kelainan.
Terima kasih Galeri Sareng atas hidangan visual yang hebat.
Artikel dan gambar-gamabr disiarkan buat pertama kali di Facebook milik Dr Jalaini Abu Hassan. Kami telah memohon keizinan untuk menyiarkannya.

