SETELAH dinamakan sebagai Kota Seni oleh Kerajaan Selangor, bandaraya Petaling Jaya bakal menjadi tuan rumah bagi sebuah acara bertaraf antarabangsa.
1st Asia Pacific Youth Folklore Festival 2023 merupakan sebuah acara berprestij yang menggabungkan pelbagai sajian kesenian, kebudayaan dan warisan dari pelbagai peserta dari negara-negara di Asia Pasifik.
Bakal berlangsung di Pusat Bandar Seksyen 52, Petaling Jaya, bermula pada 21 hingga 26 September 2023. Festival ini juga mensasarkan kehadiran lebih dari 20,000 peserta dan pengunjung.
Pengumuman ini dibuat oleh Datuk Bandar Petaling Jaya di majlis pra-pelancaran festival tersebut di Sheraton Hotel, Petaling Jaya.
Majlis pra-pelancaran yang disertai dengan pertunjukkan warna warni sekaligus memberikan bayangan betapa meriahnya festival yang akan berlangsung di sebuah bandaraya yang sememangnya terkenal bukan sahaja di Selangor, malah di seluruh Malaysia.
Berucap di majlis pra pelancaran tersebut, Tuan Mohamad Azhan bin Md Amir berkata, acara yang pertama kali dianjurkan ini mempunyai keunikannya tersendiri berbanding dengan acara-acara kesenian dan kebudayaan yang pernah dianjurkan di Petaling Jaya kerana ianya menumpukan lebih kepada golongan belia untuk meluahkan bakat seni mereka di peringkat antarabngsa disamping memberikan pendedahan yang lebih meluas.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama International Of Organizations Of Folklore Festival and Folk Arts (CIOFF) adalah dua tonggak utama dalam penganjuran ini yang menjangkakan penyertaan dari 26 buah negara dari serata Asia Pasifik dan setakat ini telah menerima 19 penyertaan dari 13 buah negara. Pihak MBPJ dan CIOFF akan terus mempromosikan acara ini untuk mencapai sasaran tersebut.
Sehingga kini, China, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Iran, Filipina, Uzbekistan, Sri Lanka, Singapura, Brunei dan Qatar telah pun mengesahkan penyertaan mereka.

Bertemakan “Menghayati Budaya dan Warisan”, matlamat utama penganjuran festival kali ini adalah memupuk semangat kecintaan dan saling memahami keunikan antara budaya, seni dan warisan pada tahap usia muda lagi seterusnya melestarikan kepelbagaian budaya dan seterusnya menzahirkan keharmonian dan perpaduan masyarakat global.
Terdapat lapan acara diaturkan sepanjang penganjuran festival ini, antaranya, persembahan kebudayaan antarabangsa, “Pocket Show” yang akan diadakan di sekolah – sekolah terpilih sekitar Petaling Jaya, pameran, jualan dan demonstrasi pembuatan produk – produk seni, kraftangan dan makanan tradisional, “PJ International Art Conference 2023”, seminar kerjaya seni, “Mayor and City Managers: Round Table Discussion”, pertandingan “PJ Best Tari”.
Acara kemuncak festival ini adalah majlis perasmian dan konsert ceritera rakyat oleh artis – artis popular tanah air dan diakhiri dengan pertunjukkan bunga api.
Festival ini boleh disaksikan oleh para pengunjung secara percuma untuk semua aktiviti – aktiviti yang akan dijalankan nanti.
Untuk info, MBPJ yang telah menjayakan “PJ International Folklore Festival” sejak tahun 2013 lagi dimana ianya berjaya mempromosikan Petaling Jaya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa berteraskan keharmonian dan kelestarian seni dan budaya sejagat.
Antara barisan artis yang akan menjayakan Konsert Ceritera Rakyat di malam kemuncak festival ini ialah, Dato Hattan, Dato Awie, Ziana Zain dan Ella.
