Malang dan tuah bergilir menemui Norfatihah Yusof dalam tempoh empat hari.
6 Mei lalu, pada hari kedua penjurian Bakat Muda Sezaman ke-29 (BMS29) di Pulau Tuba, Langkawi, Norfatihah ditimpa kemalangan motosikal yang menyebabkan tulang rahangnya patah, mulut terkoyak dan beberapa kecederaan serius lain.
Dia dalam perjalanan untuk meletakkan sentuhan akhir pada karyanya itu, sekadar memperkemas apa yang patut sebelum dinilai juri.
Disebabkan kemalangan itu, dia tak dapat hadir ketika juri menilai karyanya. Dia di hospital, bertarung dengan bermacam rasa sakit. Namun, penyertaannya tetap diterima dengan bantuan ahli jawatankuasa.
Empat hari kemudian, dalam Majlis Penganugerahan BMS29 di Balai Seni Negara Langkawi, Norfatihah hadir berkerusi roda dan bertampal mulut.
Dan dia menerima Anugerah Utama, meletakkannya di puncak dalam kalangan peserta-peserta lain.
Sebuah kemenangan yang dramatik, sesungguhnya.

Karya instalasinya yang bertajuk Unharvested Futures: Voices of The Field diangkat sebagai yang terbaik dalam BMS29, mendahului 16 karya lain yang berkarya dipamerkan dalam pertandingan itu.
Untuk karya tersebut, Norfatihah melaksanakan bengkel melukis bersama 80 kanak-kanak di Pulau Tuba, lalu karya kanak-kanak itu dipamer menggunakan kanvas berbentuk trapezium, dipacak di bendang padi terbiar mengikut logik susunan penanaman padi.
Instalasi tersebut menggunakan amalan seni penciptaan bersama (co-creation) yang melibatkan orang awam, yakni penduduk asal kampung di Pulau Tuba.

Menurut Norfatihah, dia menjalankan kajian di Pulau Tuba berkenaan penanaman padi yang sudah terhenti pulau tersebut.
Melalui kajiannya, dia melihat kewujudan jurang generasi antara penduduk tua dan kanak-kanak di situ.
“Sebelum ini, penanaman padi di Pulau Tuba boleh dikatakan menjadi budaya. Keunikan penanaman padi di Pulau Tuba adalah kerana ia bergantung pada air hujan, menyebabkan mereka boleh menanam hanya setahun sekali.
“Untuk bekas pesawah, mereka terlibat dengan penanaman padi sejak kecil tapi kanak-kanak di Pulau Tuba sekarang tak ada pengalaman langsung dengan penanaman padi.
“Saya nampak ada jurang generasi dan kepupusan pengetahuan (loss of knowledge) tentang penanaman padi (di Pulau Tuba),” katanya.
Norfatihah mengambil inisiatif mengajak kanak-kanak di Pulau Tuba untuk membayangkan penanaman padi pada masa hadapan dan membiarkan kanak-kanak tersebut berimaginasi semahu mereka.
Bagi pensyarah Institut Teknologi Bandung, Jawa Barat, Indonesia, Dr. Agung Hujatnikajennong yang merupakan salah seorang juri BMS29, kekuatan karya Norfatihah adalah kerana kemampuannya memberikan suara kepada kanak-kanak tentang masa depan tempat tinggal mereka.
“Karya Norfatihah ada kekuatan dalam memunculkan upaya untuk melibatkan kanak-kanak.
“Saya kira, dalam konteks Pulau Tuba, ia penting kerana masyarakat pertanian di sana ada cita-cita, ada bayangan tentang kesenian yang mungkin mereka harapkan pada masa depan,” jelasnya.

Seorang lagi juri, Dr. Mohamad Faizuan Mat yang merupakan Timbalan Pengarah di Institut Seni Kreatif dan Teknologi (iCreaTe) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berpandangan, Norfatihah melaksanakan penglibatan komuniti yang baik di Pulau Tuba dan ia boleh dianggap sebagai satu pelaburan jangka masa panjang yang menarik.
“Pada pandangan saya, anak-anak yang dilibatkan seramai 80 orang itu, pada satu hari nanti, tidak mustahil, mungkin tiga atau empat daripada mereka akan menjadi artis kerana pengalaman yang telah dikongsikan Norfatihah,” katanya.
Norfatihah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM40,000 melalui kemenangan tersebut.
Selain Anugerah Utama, turut disampaikan Anugerah Juri kepada empat pemenang, iaitu Aiman Yusri Mohamad Yusoff (karya Dagang: Monolog Pulau), Khairul Ehsani Sapari (karya Tanda), Muhammad Ismail Rahim (karya Nafas Tanah) serta Lim Xiao Mun dan Helmi Azam Tajul Urus (karya Gema Dalam Debu).
Keempat-empat pemenang menerima hadiah wang tunai RM15,000.
Sementara itu, sembilan peserta lain turut menerima Anugerah Harapan dengan hadiah wang tunai RM1,000 sebagai pengiktirafan terhadap potensi dan kualiti karya yang dipamerkan. Senarai pemenang Anugerah Harapan seperti di bawah:
– Liu Shi Tian dan Muhammad Faizal Ab. Wahab (karya Limbus)
– Muhammad Amir Mansor (karya Tinggal Series)
– Thanesh Kumar A/L Letchumanan (karya Lumrah)
– Roger Godfrey (karya Sidaian)
– Hanisah Nordin (karya Segenggam Digunungkan)
– Hafizudin Abd. Jaidin (karya Breathing Waves)
– Amera Akbar (karya Sayap yang Patah)
– Gogularaajan Rajendran (karya Dodoi lah Dodoi)
– Muhammad Haziq Jasreen Jaslin S (karya Kapitalis Pe(Mangsa))
BMS29 mengambil pendekatan Lokasi Spesifik dengan Langkawi dipilih sebagai latar utama pengkaryaan.
Sebanyak 21 penyertaan akhir diterima dengan 16 karya berjaya dipamerkan di tapak lokasi. Kesemua karya menampilkan pelbagai pendekatan seni kontemporari melalui penerokaan idea, medium dan naratif yang berbeza.
Lokasi-lokasi yang terlibat termasuk Pasar Awam Kuah, Pantai Taman Lagenda, Jeti Pulau Tuba, bangunan terbiar bersebelahan tapak Bazar Ramadan Kuah, Hospital Lama Kuah, Bendang Padi Pulau Tuba, Kedai Perkhidmatan Dobi Pulau Tuba, Taman Rekreasi Tasik Teluk Kedak, Dataran Lang dan Jetty Point.
