DALAM esei bertajuk “Kisahnya Sekuntum Bunga” yang diterbitkan dalam katalog Pameran Solonya berjudul MALAI (Impian Art Gallery, Disember 2024: 9), pelukis dan pensyarah seni Dr. Jamil Mat Isa menjelaskan bahawa kajian dan penyelidikan studionya “menyambut saranan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, Seminar Akar-akar Kesenian Peribumi dan Perkembangan Kini 1979 dan juga yang terkini DAKEN 2021 (Dasar Kebudayaan Negara).”
Memang agak jarang pada masa kini untuk kita mendengar pelukis-pelukis kontemporari generasi muda yang mempunyai pegangan aliran yang serupa seperti Jamil dalam proses pengkaryaan mereka, kebanyakannya merayakan sifat asas seni kontemporari atau gaya global bagi mencari pembaharuan dan inovasi dalam pengucapan seni mereka. Hal ini tentunya ada kaitan dengan latar belakang pendidikan yang mereka lalui dan faktor-faktor kontekstual atau persekitaran yang mempengaruhi penghasilan karya mereka.
Pameran solo Jamil bertajuk MALAI berlangsung di Galeri Impian, Alam Impian, Shah Alam daripada 10 hingga 31 Disember 2024. Jamil merupakan seorang pensyarah dan pelukis yang bertugas di Jabatan Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memiliki Ijazah Kedoktoran PhD in Art and Design, UiTM (2017), MA Fine Arts, Birmingham City University, UK (1997), Post-Graduate Diploma (Fine Arts), Birmingham City University, UK (1996), dan Diploma in Art and Design (Fine Art), Institut Teknologi MARA (ITM) (1992).

Sebagai lulusan Seni Halus ITM pada tahun 1992, Jamil sebenarnya merupakan produk AD (Kajian Seni Lukis dan Seni Reka) yang melalui kurikulum pendidikan seni ketika itu yang menekankan kepada nilai-nilai warisan dan budaya tradisi. Hal ini bertitik-tolak daripada kecenderungan pelukis era itu dan dasar pendidikan yang mementingkan pencarian identiti nasional sebagaimana disarankan dalam Dasar-dasar Kebudayaan Kebangsaan serta pengukuhan jati diri melalui keprihatinan terhadap nilai-nilai Islam. Justeru itu, falsafah yang berteraskan keindahan dan nilai-nilai tradisi itu menjadi dasar kebanyakan pelukis yang dilahirkan AD ketika itu, termasuklah Jamil Mat Isa.
Pernyataan Jamil bahawa dia menyambut saranan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Seminar Akar-akar Kesenian Peribumi dan Dasar Kebudayaan Negara dalam kajian dan penyelidikan studionya untuk menghasilkan siri MALAI menunjukkan peri pentingnya sesuatu konsep atau dasar seni dan budaya, bukan hanya dalam pembangunan seni dan budaya sesebuah negara, malahan bagi seseorang seniman secara umumnya.
Jamil secara konsisten menjadikan alam semula jadi, khususnya subjek flora yang ada kaitan dengan seni warisan dan nilai-nilai budaya yang murni sebagai asas penghasilan karya-karyanya. Pada pameran solonya yang pertama “Yang Hitam Manis” di Art Case Galleries milik Raja Azhar Idris di City Square, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada tahun 2000, dia menjadikan “Manggis” sebagai subjeknya, menyatukan atau memanifestasikan rupa, irama dan sastera dalam karya-karyanya, menerusi satu subjek yang kaya dengan makna dan sering kali muncul dalam karya-karya kesusasteraan seperti pantun, simpulan bahasa, peribahasa dan lagu.
Justeru itu disebut, karya-karyanya itu menggabungkan rupa dan jiwa, dengan irama dan sastera, seperti dalam bait-bait kata: “Hitam hitam setampuk manggis, biarpun hitam dalamnya manis; Hitam manis, si hitam manis, yang hitam manis pandang tak jemu; Hitam-hitam setampuk manggis, walaupun hitam dipandang manis.”
Dalam pameran kali ini, Jamil masih setia dengan subjek yang dipetik daripada alam, iaitu bunga, khususnya dalam konteks ini, bunga malai. Jamil menjelaskan, malai dipetik dari bahasa Sanskrit yang membawa maksud “sebarang benda dirajut, diikat bersama.” Bunga malai adalah karangan bunga yang dirajut dan dipakaikan seakan kalung pada kepala atau leher seseorang (Katalog Pameran MALAI, 2024: 6). Menurut Kamus Dewan, malai adalah “untaian bunga daripada emas atau intan dan lain-lain yang dipakai untuk menghiasi kepala” (prpm.dbp.gov.my).

Dalam katalog pameran ini, Jamil menerusi eseinya “Kisahnya Sekuntum Bunga” telah menghuraikan dengan panjang lebar hubungan bunga atau subjeknya itu dari sudut budaya dan peradaban Melayu. Sebagai contoh, dia memerihalkan kekayaan simbol dan makna setiap bunga yang dirujuknya, seperti melur, mawar, melati, dan anggerik, bukan hanya kerana keharumannya, malahan menjadi nama-nama yang baik dan molek untuk wanita Melayu.
Menyifatkan bunga sebagai suatu ciptaan Tuhan yang menakjubkan, Jamil tertarik dengan hakikat bunga-bunga tertentu diangkat sebagai perlambangan atau metafora dalam karya-karya visual, kebudayaan dan linguistik. Sebagai contoh, dalam seni pantun, bunga menjadi kiasan bagi menyampaikan maksud secara halus dan tersirat. Dia memetik pantun:
Bunga melur mekar setangkai,
Sungguh wangi bunga melati,
Biar buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.
Amat menarik apabila Jamil memulakan eseinya dalam katalog pameran itu dengan memetik sebuah hadis yang berbunyi: “Sesungguhnya Allah itu indah, Dia mencintai keindahan” (Hadis Riwayat Muslim: 91 dalam Katalog Pameran Malai, 2024: 4). Hal ini sebenarnya merumuskan perihal falsafah dan teras pengkaryaan Jamil, iaitu menjadikan keindahan atau beauty sebagai dasar atau teras karya-karyanya.
Hal ini pada dasarnya sama dengan pegangan Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal, yang menyebut “bahawa catan mestilah indah, meskipun ia menggambarkan hal-hal yang tidak menyenangkan” ataupun pegangan Zakaria Ali yang menyebut bahawa “keindahan atau beauty itu menjadi teras atau falsafah kesenian” (Bicara Tokoh: Seminar Pemikiran Zakaria Ali, Universiti Putra Malaysia, Rabu, 18 Disember 2024).
Justeru itu, apabila kita menghayati karya-karya Jamil dalam pamertan MALAI atau dalam pameran-pameran sebelumnya, kita sebenarnya menghayati “keindahan” yang terjelma dalam “objek estetik.” Sebagaimana kata sejarawan seni Herbert Read, “seni adalah penjelmaan rasa estetika” (A Concise History of Modern Painting. New York: Frederick A. Praeger, 1959: 16).
Ketika melangkah masuk ke ruang Galeri Impian ini, saya teringat kepada percutian saya di Paris bulan Jun lalu ketika berkunjung ke Rumah dan Taman Monet di Giverny yang indah dan kaya dengan pelbagai jenis bunga. Pelukis tersohor Impresionisme Perancis itu pun menjadikan bunga sebagai subjeknya. Dia menjaga bunga-bunga di tamannya dengan penuh kasih sayang dan ketelitian.

Bunga-bunga itulah yang telah memberi inspirasi kepadanya sehingga dia mampu menghasilkan karya-karya yang indah dan mencerminkan keindahan alam. Claude Monet menghasilkan sekitar 250 catan dalam siri “Water Lilies” antara akhir tahun 1890-an hingga kematiannya pada 1926.
Seperti Monet, Jamil juga menjadikan bunga sebagai subjeknya, tetapi bukan semata-mata berasaskan keindahan rupa bentuknya atau keharumannya, tetapi hubungannya dengan nilai-nilai budaya bangsa. Hal ini dapat dilihat dalam karya-karyanya seperti “Floating Melur White” (cetakan mono atas kanvas, 120cm x 120cm, 2020), “Floating Melur Yellow” (cetakan mono atas kanvas, 120cm x 120cm, 2020), “Tanam Tepi Batas” (cetakan mono atas kanvas, 90cm x 90cm, 2022), “Floating Blue” (cetakan mono atas kanvas, 91cm x 91cm, 2023/2024) dan lain-lain.
Secara umumnya, banyak orang sukakan bunga dan dapat menghubungkan diri mereka dengan bunga. Kolektor seni Nik M. Fahmee dalam bukunya Walking Back Home: Art and Stories (Blue Monkey Press, 2024: 86-87) ketika membicarakan tentang karya Jamil Mat Isa berjudul “Melur Series” (2023) dalam koleksinya menghubungkan kisah bunga melur itu kepada kenangan hidup dengan neneknya yang membuat bedak sejuk dengan aroma bunga melur segar yang dipetik dari halaman rumahnya.
Bedak itu kemudiannya disapu pada mukanya dan kakak-kakaknya setiap malam sebelum tidur. Jika masih ada bedak yang lebih, mukanya juga akan disapu dengan bedak itu oleh neneknya. Nik Fahmee masih ingat, keesokkan paginya bedak itu sudah menjadi kering dan rasa menarik kulit wajahnya. Serpihan bedak kering kemudiannya bertabur jatuh ke lantai. Kesemua itu hanya tinggal kenangan kerana hari ini tidak ada lagi orang membuat bedak sejuk dengan aroma bunga melur yang wangi seperti zaman kecilnya.

Semasa kecil, saya sendiri masih ingat bagaimana emak dan kakak, mencampurkan bunga kenanga dengan minyak kelapa untuk dijadikan minyak rambut. Waktu kehidupan yang penuh kesukaran pada tahun-tahun 1960-an, itulah minyak rambut kami. Menurut emak, menggunakan minyak itu akan membuatkan rambut cantik, kuat dan hitam berkilat serta berbau wangi.
Jika ditinjau dalam kesusasteraan tradisional Melayu, banyak peribahasa dan simpulan bahasa yang menggunakan bunga sebagai kiasan atau metafora. Contohnya seperti berikut: “bunga angin” bermaksud angin sepoi-sepoi bahasa yang mendahului ribut atau angin sebelum terjadinya ribut; “bunga bibir” merujuk kepada ucapan yang manis, misalnya perihal tingkah laku seseorang yang sopan dan baik menjadi bualan atau bunga bibir ramai orang; “bunga latar” pula bermaksud seorang perempuan yang jahat; “bunga raya kembang pagi” bermaksud merah padam muka seseorang kerana terlalu marah; “bunga rampai” menjadi penyeri majlis, sementara “bunga tahi” bermaksud titik permulaan suatu perkelahian” (Abdullah Hussain, Kamus Simpulan Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990: 58).

Pemilihan bunga sebagai subjek seni dan rujukan terhadap nilai-nilai murni yang tercermin dalam budaya dan kesusasteraan tradisional Melayu mencerminkan jiwa Jamil Mat Isa yang memainkan dua peranan dalam kerjayanya, iaitu sebagai pelukis dan pendidik.
Tanggungjawab dan kecenderungan jiwanya untuk mendidik itu pastinya tercermin dalam nilai-nilai didaktik yang tersirat dalam motif-motif bunga dalam karya-karyanya. Menerusi karya-karya ini, khalayak bukan sahaja menghayati keindahan rupa dan jiwa seni, malahan nilai-nilai keindahan dan keluhuran budi yang tersirat di dalamnya.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

