Kembali ke MAEPS Serdang untuk edisi kali ini, Tempatan Fest 2026 kini memperluas spektrumnya dengan menghimpunkan dunia muzik, fesyen, sukan ekstrem, automotif dan drif dalam sebuah festival yang meraikan kepelbagaian budaya komuniti kreatif.
Budaya seni kreatif selalunya berkembang bersama, fesyen bertemu muzik, automotif dan sukan ekstrem menjadi gaya hidup generasi muda dan kopi menjadi titik pertemuan diantaranya.
Persilangan seni dan budaya kreatif menjadi landasan Tempatan Fest 2026, yang bakal berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dari 7 dan 8 November 2026 nanti.
Kembali dengan konsep baharu, edisi tahun ini memperluas skop festival dengan melangkaui pasaran produk tempatan, merangkumi pelbagai budaya seni kreatif disamping automotif dan juga sukan ekstrem.

Kerjasama dengan dua nama dalam industri acara automotif, International Automodified (IAM) dan Malaysia Auto Xpo (MAX), bersama beberapa komuniti drift, menjadi antara perkembangan terbaru festival tersebut.
Festival ini menghimpunkan komuniti yang lazimnya bergerak dalam lingkungan masing-masing, daripada pameran modifikasi kereta dan drif antarabangsa kepada fesyen, produk wangian, kopi serta persembahan muzik secara langsung, fesival ini menawarkan ruang pertemuan antara pelbagai minat dan bentuk ekspresi budaya.
Daripada Streetwear kepada Ekosistem Kreatif
Ditubuhkan pada 2013, Tempatan Fest bermula sebagai pertemuan jenama streetwear tempatan, platform ini kemudiannya berkembang melalui penganjuran acara di seluruh negara dengan menghubungkan pereka, usahawan dan jenama tempatan dengan khalayak yang lebih luas.

Perkembangannya mencerminkan perubahan dalam landskap perniagaan kreatif Malaysia, khususnya kemunculan platform yang menggabungkan aktiviti komersial dengan pembentukan komuniti.
Festival ini juga bukan sekadar ruang untuk mempamerkan dan menjual produk, tetapi turut berfungsi sebagai tempat membina jaringan, memperkenalkan identiti jenama dan mempertemukan khalayak dengan budaya yang membentuk kehidupan seharian mereka.
Bagi edisi 2026, peluasan kepada budaya automotif dan sukan ekstrem membawa dimensi baharu kepada pendekatan tersebut.
Pengubahsuaian kereta, misalnya, bukan hanya berkaitan prestasi dan kejuruteraan, tetapi turut melibatkan estetika, ekspresi peribadi serta komuniti yang berkongsi minat terhadap reka bentuk automotif.
Kehadiran IAM dan MAX membuka ruang untuk budaya ini bertemu dengan ekosistem fesyen, muzik dan gaya hidup yang telah menjadi sebahagian daripada identiti Tempatan Fest.
Aktiviti drift dan pertandingan sukan ekstrem pula dijangka memberikan pengalaman lebih dinamik kepada pengunjung sepanjang dua hari penganjuran.

Jenama Bebas dan Budaya Gaya Hidup
Antara komponen utama festival ialah penyertaan jenama tempatan dan antarabangsa dalam bidang fesyen, aksesori, wangian, kopi serta peralatan muzik.
Jenama fesyen dan aksesori yang bakal mengambil bahagian termasuk Eversince, The Keeks, Beachnicity dan Svggest, selain Pukul Rata dari Indonesia.
Penyertaan jenama serantau ini memperlihatkan potensi festival sebagai ruang pertemuan yang melangkaui pasaran tempatan, sekali gus membuka peluang kepada pengunjung untuk mengenali pendekatan berbeza dalam reka bentuk dan budaya pengguna.
Segmen wangian menampilkan jenama tempatan seperti FragLab dan Opai, manakala peminat kopi pula dapat meneroka tawaran daripada The Matcha Lab, Orca Coffee dan Whitebrew.
Pesta Kopi, sebuah jenama acara yang diasaskan oleh pasukan Tempatan Fest pada 2021, akan bertindak sebagai rakan penyediaan F&B.
Perkembangan Pesta Kopi daripada ekosistem Tempatan Fest sendiri memperlihatkan bagaimana sesebuah platform komuniti boleh melahirkan inisiatif baharu dengan identiti tersendiri.
Budaya kopi khusus bukan sekadar berkaitan minuman, tetapi turut menjadi ruang untuk membina hubungan, berkongsi minat dan memperkenalkan jenama tempatan.
Muzik Langsung dan Budaya Jalanan
Penyertaan ZFX Industries dan Music Bliss melalui pameran serta jualan peralatan muzik meluaskan lagi skop festival. Gabungan ini mempertemukan produk, persembahan dan komuniti kreatif dalam persekitaran yang tidak terhad kepada satu disiplin.
Muzik menjadi antara tarikan utama melalui sebuah pentas khusus yang akan menampilkan Republic of Brickfields dan Naratu sebagai headliner bersama DJ Selekta, Zafri Romai, Pok Pang, Aib, Raksar, After Mdnight dan lain lain.

Pertandingan skateboard turut dimasukkan dalam program, melengkapkan rangkaian aktiviti sukan ekstrem serta mengukuhkan hubungan festival dengan budaya jalanan.
Seperti streetwear dan muzik, skateborad juga berkembang melalui komuniti yang membentuk identiti bersama di luar struktur hiburan arus perdana.
Gabungan elemen ini menjadikan Tempatan Fest lebih daripada sebuah acara jualan atau pameran produk. Festival ini menyediakan ruang pertemuan antara amalan kreatif, minat dan bentuk bentuk ekspresi yang berkembang daripada komuniti.
Persilangan tersebut juga membuka kemungkinan kerjasama antara jenama, penggiat seni dan pengusaha dalam sektor yang berbeza.

Memperkukuh Jaringan Kreatif Tempatan
Tempatan Fest 2026 meneruskan usaha membina platform yang menghubungkan perniagaan kreatif dengan komuniti yang menyokongnya.
Daripada akar streetwear pada 2013 kepada gabungan automotif, muzik, kopi dan sukan ekstrem hari ini, perkembangannya memperlihatkan bagaimana sebuah acara boleh menyesuaikan diri dengan perubahan budaya gaya hidup.
Peluang penyertaan masih dibuka kepada jenama dan pempamer dalam bidang fesyen, gaya hidup, wangian, kopi, makanan dan minuman, seni, muzik serta automotif.

Tempata Fest mengalu-alukan perniagaan dan penggiat kreatif tempatan dan antarabangsa untuk memperkenalkan produk mereka kepada khalayak baharu.
Persoalannya bukan sekadar bagaimana pelbagai komuniti kreatif dapat dihimpunkan dalam satu acara, tetapi bagaimana pertemuan tersebut dapat menghasilkan jaringan, kolaborasi dan peluang yang berterusan untuk ekosistem budaya kreatif tempatan.
Tempatan Fest 2026 berlangsung pada 7 dan 8 November 2026 di MAEPS, Serdang, Selangor.
Tiket boleh didapati melalui tempatanfest.com
Untuk pertanyaan mengenai penyertaan pempamer, sila hubungi:
+6016-397 3447 atau Emel: tempatanfest@gmail.com
