Dalam tempoh (1989-1991), saya akan mendengar lagu-lagu yang disiarkan juruhebah Ainol Jamal. Secara kebetulan, DJ ini sering memutarkan lagu-lagu rock yang bercorak kerohanian. Dari info yang diberikannya, saya mengetahui bahawa kebanyakan lagu yang disiarkan adalah hasil penulisannya. Kata “rock suci” pernah digunakan oleh Ainol Jamal untuk satu slot yang disiarkan setiap hari dari jam 3 hingga 5 petang di radio Shah Alam.
Saya mengenali tema-tema rock suci dari lirik-lirik yang ditulis oleh Ainol Jamal. Ketika itu saya tidak begitu tahu mengenai M. Nasir, Loloq dan S. Amin Shahab. Saya tidak mengambil berat nama penulis lirik. Tumpuan diberikan kepada nama penyanyi saja. Secara kebetulan pula, teman-teman yang meminjamkan kaset mereka tidak mahu memberikan kertas lirik.
Saya membantu beberapa teman OKU penglihatan dengan membacakan buku-buku tulisan celik. Saya membacakan buku-buku nota pelajaran kepada mereka bagi tujuan disalin semula dalam tulisan Braille.
Saya pernah membacakan buku nota sastera STPM (1987) kepada Hamidi Mohamed. Dalam buku tersebut dicatatkan perdebatan antara Hamzah Fansuri dengan Nur al-Din al-Raniri. Gambaran polemik antara konsep Wahdat al-Wujud vs Wahdat al-Syuhud.
Dari pembacaan tadi, fikiran menjadi bingung. Saya tertanya-tanya sendiri; bukankah mereka berdua beraliran Sunni? Mereka berdua ulama? Mengapa saling menyesatkan? Sejak dari peristiwa tersebut, saya mula mencari-cari maklumat mengenai dua konsep ini.
Kegelisahan ini mendorong saya meneruskan pembacaan lanjutan. Saya mula membaca karya-karya Hamka seperti Falsafah Hidup, Tasawuf Moden, Tasawuf Dari Abad Ke Abad, Lembaga Budi dan Lembaga Hidup. Dalam tempoh ini (1988), saya membeli dua buku terjemahan DBP, Sejarah Falsafah Islam (Majid Fakhry) dan Tahafut al-Falasifah karya al-Ghazali.
Secara tidak disedari, lirik-lirik lagu rock suci yang disiarkan radio telah membantu kefahaman terhadap doktrin sufisme. Saya menggabungkan kefahaman pembacaan buku-buku tasawuf dengan corak lirik-lirik yang berlegar di radio. Segala istilah atau konsep yang ditelaah dalam buku tadi dicairkan bagi memudahkan kefahaman.
Setelah tamat persekolahan, saya memendam harapan. Saya bercita-cita mahu menulis kefahaman mengenai sufisme yang diperolehi dari lirik-lirik lagu. Namun ketika itu, kebanyakan kaset dan buku lirik lagu yang ditulis telah hilang. Saya cuma bergantung kepada ingatan semata-mata. Memori kepada beberapa buah lagu yang pernah didengar. Namun, memasuki zaman youtube, harapan ini semakin membesar. Saya mencari semula lagu-lagu yang pernah dilayan suatu masa lalu. Saya mencatatkan beberapa nota untuk simpanan sendiri.
Dalam pembentangan Lepak Maqasid (2014), saya menyampaikan topik bertajuk Tuhan dan Muzik, Analisa Terhadap Lirik Lagu Rock. Saya menulis beberapa catatan ringkas di Facebook. Ketika itu, garapan saya mengenai perihal ini tidak begitu tersusun. Ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
Apabila dijemput oleh Simposium Muzik Ipoh (2020), saya mengambil keputusan untuk menulis semula nota terdahulu menjadi makalah yang lebih tersusun. Selama berbulan-bulan saya berusaha dengan gigih menulis. Makalah ini berjaya dibentangkan dalam simposium dan ia sudah diterbitkan. Apa yang ada dalam buku itu hanyalah sebahagian kecil dari makalah yang telah disiapkan.
Setelah lima tahun berlalu, saya masih merasakan ada banyak lagi perkara yang tidak dirakamkan. Ada banyak lirik lagu yang tidak dimuatkan. Saya mengalami kesukaran untuk mencari data-data penggubah lagu dan penulis lirik bagi beberapa buah lagu. Saya cuba mencarinya di mana-mana arkib online. Namun, ada lirik yang tidak diketahui dengan tepat nama penulisnya.
“Berapa jumlah lagu-lagu rock yang angkat tema ketuhanan?” Osman bertanya. Dia peminat Iklim, sebuah kumpulan muzik dari Terengganu.
“Entahlah! Aku tak pasti. Kalau Google, Youtube, banyak juga. Masalahnya tidak ada orang kumpulkan secara tersusun,” saya memberikan penjelasan.
Cabaran awal berakar dari pengumpulan arkib muzik. Selain mengenai penulis lagu dan lirik, data terbuka tidak tersedia. Kita tidak tahu tarikh satu-satu album muzik diterbitkan, nama penerbit dan syarikat rakaman yang menerbitkannya.
Berapa banyak kumpulan muzik rock di Malaysia?
Berapa pula lirik-lirik yang bertemakan ‘rock suci’?
Siapakah penulis lirik tema-tema seumpama ini?
Di tengah-tengah populariti beberapa buah lagu bertemakan ‘rock suci’ seperti Sufi – Damasutra, Sesat Dalam Rindu – Damasutra, Pengertian Cinta – Skala, Setitis Hujan Di Lautan – Spring, Sinar Abadi – Spring dan Jernih – Amuk, terdapat lirik-lirik ketuhanan yang ditemukan dalam lagu seperti Pulang – Cinema, Hanya Tinggal Bekas dan Nama – Struggle, Rindu Petunjuk-Mu – Misteri, Peringatan Dari Yang Satu – Mpire, Dia – Viper, Mencari Permata Hati – DIA, Kasih Yang Satu – Hevea dan Baju Hina – Oblivion.
“Tapi macam mana kita tahu dengan pasti bahawa lagu itu bercorak ketuhanan? Ada anggapan bahawa Taman Rashidah Utama – Wings itu lagu keagamaan,” tanya Fauzi, seorang teman di Tiktok.
Saya fikir persoalan ini sangat penting untuk diterokai secara mendalam. Setiap orang mempunyai perspektif, definisi dan kategorisasi yang rencam. Masing-masing khalayak akan memilih pendekatan yang beragam. Hal ini dapat diterangkan secara objektif dan subjektif.
oh Insan tuntutlah
hanya tinggal bekas dan nama
syariat jalannya
tarikat tujuannya
hakikat tempatnya
makrifat kediamannya
wajib haruslah tahu
awal permulaannya
akhir kesudahan
tiada lagi yang ada
diri akan kembali
ke tempat Rabb Izzati
pulang takkan kembali lagi
Hanya Tinggal Bekas dan Nama: Struggle
Contoh lirik di atas secara jelas menggambarkan perihal kerohanian. Pemilihan istilah yang digunakan dalam lirik ini tidak memerlukan kefahaman tambahan. Pemilihan kata jelas merujuk perbincangan lazim dalam pengajian tasawuf.
Mungkin saja itu sekadar hipotesis yang sengaja mengaitkan lirik dengan sufisme?
Kita harus menerima keengganan pengarang lirik-lirik kerohanian yang tidak mahu menghuraikan makna penulisannya. Teks tadi adalah pengalaman subjektif peribadinya. Di satu sisi, pengarang mahu khalayak menemukan sendiri lapisan makna yang terkumpulkan.
Lirik Jerangkung Dalam Almari yang ditulis oleh Loloq menyebutkan secara jelas proses kepengarangannya dipengaruhi oleh Syair Perahu karya Syeikh Hamzah Fansuri, penyair sufi aceh.
maafkanlah kami
dalam generasi ini
tidak faham tak kenal
Syair Perahu tunjang pujangga Melayu
Jerangkung Dalam Almari: Wings
Secara umumnya, terdapat tiga pendekatan analisis lirik iaitu profil pengarang, tempoh masa dan keselarasan tematik. Setiap kaedah mempunyai kekuatan dan kelemahannya.
Lirik lagu yang bertemakan kerohanian dapat dibahagikan kepada tiga kategori umum. Ia bertujuan memudahkan lagi pemetaan. Perumusan ini berdasarkan himpunan tema-tema yang terdapat dalam lirik.
Tema lirik kategori pertama mengandungi pengalaman kerohanian yang biasa ditempuhi oleh semua manusia. Ia berkisar tentang dosa, pahala, sembahyang, azab kubur, hari pembalasan dan kiamat. Semua ini pengalaman kerohanian yang tidak memerlukan renungan mendalam. Lirik mengandungi unsur-unsur dakwah.
Tema-temanya berkisar persoalan-persoalan keagamaan yang lazim. Kita dapat melihatnya secara jelas dalam lirik-lirik seperti Maghrib – Bumiputra Rockers, Alam Dan Pencipta – Lefthanded, Janji Illahi – May, Rayuan Syaitan – Rockers, Mentari Merah di Ufuk Timur – Search, Godaan Syaitan – Sofea dan Alam Barzakh – Wings.
Kategori kedua ialah lirik yang mempunyai dua lapisan makna. Jika dilihat secara kasar ia sekadar gambaran hubungan percintaan antara seorang lelaki dengan perempuan. Namun, lirik lagu jenis ini dapat juga ditarik maknanya kearah cinta ketuhanan.
Lirik seperti ini bersifat komersial. Di satu sisi, ia sebagai daya tarik kepada khalayak pendengar. Hanya pendengar yang tekun saja dapat memahami apa yang sebenarnya mahu disampaikan.
Dalam kategori ketiga, lirik secara jelas menunjukkan tawaran pengalaman-pengalaman ketuhanan. Kita dapat mengenal jenis ini ketika melihat judul lirik lagu tersebut. Misalnya menggunakan perkataan sufi, cahaya atas cahaya, hijab atau keagungan-Mu. Pengalaman kerohanian akan diungkap secara terbuka dan tertutup. Lirik mempunyai lapisan-lapisan yang rencam dan memerlukan renungan yang mendalam.
Tema-tema asas kategori ketiga dapat dibahagikan kepada tiga subkategori. Setiap tema-tema umum ini pula akan dikategorikan kepada subkategori-subkategori yang lebih khusus.
Pertama, pembersihan jiwa, mengenal diri dan estetika cinta ketuhanan. Kedua, Tuhan, alam dan insan. Ketiga, proses dan pengalaman kerohanian.
Pembahagian ini akan memudahkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai tema-tema ketuhanan dalam lirik.
Cabaran pertama yang paling membingungkan adalah menyusun, membina tautan dan merumuskan keselarasan lirik-lirik denggan doktrin, konsep dan teori yang wujud secara baku dalam pustaka sufisme.
Hal ini tidak mudah dan amat merumitkan. Pertama, ia melibatkan kefahaman mendalam mengenai sufisme itu sendiri. Kedua, mengenal pasti lirik yang sesuai dengan konsep tertentu. Ketiga, memastikan keselarasan lirik dengan tema yang dikategorikan.
Dalam makalah yang sudah diterbitkan, saya mencadangkan satu kerangka pemetaan konsep bagi memudahkan kefahaman. Setelah membaca ulang penulisan terdahulu, segala pendekatan ini masih perlu diperhalusi lagi. Saya terus menulis dan menyusunnya.
– ROSLI IBRAHIM merupakan seorang penulis dan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU). Beliau telah menulis tiga buah buku iaitu, O.K.U. Bangkit, Gelap Mata: Percikan Renungan Seorang OKU dan Masyarakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU.
