Dalam dunia seni, tidak seperti iman, bakat kadangkala dapat diwarisi; cuma ia datang bersama baris klausa terikat: “ia tidak menjanjikan kejayaan”.
Kita sering melihat anak-anak artis hebat mewarisi bakat ibu bapa mereka; sesetengah berjaya keluar dari bayangan ‘orang tua’, sesetengahnya pula hilang kerana tidak dapat mencari identiti sendiri.
Istilah “Nepo Baby” terlihat mudah, namun ia bukanlah tiket untuk segalanya.
Kita melihat Nancy, Natalie, Miley dan Jeff bergerak tanpa beban dan bayangan Frank Sinatra, Nat King Cole, Billy Ray Cyrus dan Tim Buckley. Kita juga melihat Sean, Julian dan Lisa Marie yang tercari-cari aura John Lennon dan Elvis Presley.
Kita didatangi Jakob yang kemudian menghilang lebih awal daripada Bob Dylan sendiri. Kita mendengar Enrique mewarisi kelunakan suara turunan Iglesias seperti jelmaan Julio sewaktu mudanya.
Kita menyaksikan Ziggy bersaudara masih gigih mengibar panji reggae warisan ‘Marley’ hingga ke hari ini. Begitu juga dengan Rufus dan Martha yang memelihara akar umbi tradisi folk Loudon Wainwright III dan Kate McGarrigle, walaupun mengembangkan identiti artistik dengan cara berbeza.
Kita juga melihat Stella dan Nicole hanya sekadar menjadi anak tanpa menyambung apa-apa legasi muzik warisan Paul McCartney dan Lionel Richie. Hakikatnya, menekuni legasi keluarga sambil cuba menempa laluan sendiri dalam dunia muzik adalah satu tugasan yang tidak mudah.
Dan kemudian kita dihadirkan dengan Anoushka yang datang bersama disiplin raga dan aura ‘Shankar’-nya. ‘Anoushka’ (Sanskrit: Sinar Cahaya/Yang Dirahmati) membawa pelbagai warna dan wajah; pada awal abad ini, dia antara personaliti muzik yang berjaya merapatkan jurang benua dan genre berbeza bersama keanggunan serta daya tarikan sedemikian rupa. Dia menyambung obor daripada bapanya, ‘Pandit’ Ravi Shankar, tetapi dengan jalan yang agak berlainan serta lebih kompleks; sesulit menghuraikan pertalian saudara antara dia dan adiknya, Norah Jones.
Tahun ini, penggemar aliran‘World Music’ bakal disajikan pengalaman luar biasa apabila virtuoso sitar tersebut kembali mengunjungi Kuala Lumpur selepas empat belas tahun untuk sebuah konsert eksklusif ‘Anoushka Shankar Live in Kuala Lumpur’ pada Ahad, 4 Oktober 2026, jam 8 malam. Persembahan yang bakal berlangsung di Plenary Hall, KLCC ini bukan sahaja menandakan kunjungan semula yang dinantikan, malah dijangka menjadi antara acara seni dan budaya paling berprestij di Malaysia tahun ini.

Konsert anjuran Shiraz Projects, yang terkenal dengan produksi berani dan berkualiti dengan berpengalaman melebihi satu dekad dalam mengendalikan pelbagai skala produksi dan juga acara. Konsert ini menjanjikan pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyeluruh dan berkesan. Penganjuran konsert Anoushka Shankar ini dilihat sebagai satu lagi usaha penting Shiraz Projects memperkukuh landskap seni persembahan antarabangsa di Malaysia.
Anoushka Shankar merupakan seorang sitaris dan komposer yang luar biasa, dengan perjalanan seni yang merangkumi pelbagai dimensi. Membaca senarai pencapaiannya seolah-olah menelusuri banyak kisah dalam satu naratif: artis rakaman prolifik dengan 11 album studio dan lain-lain kolaborasi berserta 13 pencalonan Grammy Awards, veteran konsert jelajah, komposer runut bunyi filem, kurator artistik, penulis, duta jenama Rolex dan juga seorang aktivis yang komited.

Di awal usia muda, Anoushka telah mencipta sejarah. Pada usia lapan belas tahun, dia menjadi wanita termuda dan pertama menerima Anugerah ‘British House of Commons Shield’. Malah, dia juga mencatatkan sejarah sebagai pemuzik India pertama yang membuat persembahan secara langsung di pentas Grammy Awards.
Bapanya, Adiguru sitar ‘Pandit’ Ravi Shankar, diasuh mendalami instrumen sitar, surbahar, tradisi vokal, dan instrumental klasik oleh legenda muzik India, Ustad Allauddin Khan. Namanya mula meledak di Barat sekitar 60-an: Monterey Pop Festival (1967), Woodstock Music & Art Fair (1969), The Concert for Bangladesh (1971), dengan menghubungkan raga klasik India bersama muzik Barat melalui kolaborasi awal bersama Yehudi Menuhin dan George Harrison.

Anoushka mula mempelajari instrumen sitar dan muzik klasik India di bawah bimbingan intensif bapanya serta Gaurav Mazumdar sekitar usia lapan tahun. Daripada didikan tersebut, dia bukan sahaja mewarisi tradisi muzik klasik yang penuh warna, tetapi juga semangat kebebasan improvisasi yang menjadi identiti khas gaya bapanya.
Kini, selepas tiga dekad menjelajah dunia bermula dari penampilan sulung pada usia tiga belas tahun, Anoushka terus memperluaskan horizon muziknya. Kecintaannya terhadap kebebasan kreatif telah membawanya bekerjasama dengan pelbagai tokoh ternama seperti Ustad Zakir Hussain, Herbie Hancock, Jeff Beck, Thievery Corporation, Nitin Sawhney, Yehudi Menuhin, Charlotte Gainsbourg, Arijit Singh, Joshua Bell, Jean-Pierre Rampal, Philip Glass, Sting, Norah Jones, Gorillaz, Manu Delago & Metropole Orkest, Zubin Mehta, Karsh Kale serta barisan panjang yang lain.
Sepanjang lebih tiga dekad kerjayanya, Anoushka membina reputasi sebagai salah seorang pemuzik berpengaruh dalam evolusi muzik global. Persembahannya sering disifatkan sebagai pengalaman mendalam yang sarat emosi, menghubungkan penonton dengan dimensi spiritual dan artistik yang jarang ditemukan. Dia bukan sahaja tampil di pentas tetapi turut menceburi bidang lakonan (Dance Like a Man – 2004), menggubah runut bunyi filem, serta mengkurasi festival (Brighton Festival 2025), sekali gus memperlihatkan kepelbagaian bakatnya dalam dunia seni di samping bergerak aktif sebagai aktivis yang tidak kenal lelah, bersama organisasi seperti UNHCR dan Choose Love, yang kini menjadikannya sebagai duta rasmi.
Untuk konsert di Kuala Lumpur nanti, penonton boleh menjangkakan satu perjalanan muzik yang mengasyikkan dan penuh nuansa. Antara yang bakal dipersembahkan termasuk pilihan karya daripada album terbaharunya Chapter III: We Return to Light, (bahagian terakhir dalam trilogi album mininya) di samping interpretasi semula karya-karya daripada repertoirnya yang luas. Persembahan ini dijangka menampilkan keseimbangan antara alunan sitar yang meditatif dan eksplorasi ritma yang lebih bertenaga, sekali gus mencerminkan evolusi seni beliau yang sentiasa berkembang meneroka dunia muzik tanpa sempadan, menghubungkan dunia baharu merentasi benua, dengan komitmen yang tidak terbatas dalam menjalin hubungan, harapan, dan kedamaian melalui muzik.

Lebih daripada sekadar hiburan, konsert ini juga membawa makna yang lebih besar dalam konteks hubungan budaya. Kepulangan Anoushka ke Kuala Lumpur selepas 14 tahun bukan sahaja mengimbau kenangan, tetapi turut memperkukuh hubungan antara tradisi muzik India dengan khalayak global, khususnya di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya. Ia menjadi simbol bagaimana seni mampu merentasi sempadan dan budaya serta menyatukan manusia melalui pengalaman estetik yang mendalam melalui muzik.
Dengan reputasi antarabangsa yang kukuh serta permintaan dari peminat, konsert ini dijangka menerima sambutan memberangsangkan. Penganjur turut menjangkakan tiket akan terjual dalam tempoh singkat, memandangkan ini merupakan peluang yang jarang untuk menyaksikan persembahan langsung seorang ikon muzik dunia di pentas tempatan.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sebuah konsert bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja memukau, malah menyentuh jiwa melalui keindahan muzik merentasi zaman dan budaya, gabungan progresif dan emotif antara tradisi sitar klasik India dengan pelbagai genre, sebagaimana dalam trilogi muziknya yang penuh harapan dan tenaga, seolah sebuah landskap perjalanan sonik dari kegelapan menuju cahaya yang mengugah perasaan.
Tiket-tiket boleh didapati melalui platform: ticket2u.com
