Menjelang konsert orkestra pada 8 November ini, Noh Salleh melihat kolaborasi bersama Aubrey Suwito sebagai satu pengiktirafan terhadap perjalanan muzik, sekali gus membuka peluang meluaskan penerokaan artistik tanpa mengorbankan identiti dirinya.
Selepas hampir dua dekad membina kedudukan dalam gelanggang muzik alternatif tempatan, Noh Salleh bakal menelusuri satu lagi ruang persembahan secara langsung menerusi Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra, yang bakal berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur, pada 8 November ini.
Cadenza dalam terma muzik klasik membawa maksud; petikan solo dalam sesebuah karya muzik apabila penyanyi atau pemuzik memainkan alat muzik atau menyanyi secara bersendirian untuk menonjolkan kemahiran teknikal mereka.
Bagi penyanyi, penulis lagu dan juga komposer ini, konsert berkenaan bukan sekadar pertemuan antara muzik popular dan susunan muzik secara orkestra, tetapi juga satu bentuk pengiktirafan terhadap perjalanan seninya.
Noh menyifatkan pelawaan pengarah muzik Aubrey Suwito sebagai satu penghormatan besar buat dirinya, khususnya kerana idea tersebut datang daripada seorang pemuzik, arranger dan juga produser yang disegani dalam industri muzik tanahair.
Namun, di sebalik skala produksi yang lebih besar, persoalan utama bagi Noh ialah bagaimana muziknya dapat berkembang dalam susunan orkestra tanpa kehilangan karakter yang telah membentuk identitinya.
“Aubrey datang kepada saya dan memberi tahu yang dia tidak mahu kehilangan sentuhan seperti konsert saya sebelum ini, dia masih mahukan Noh Salleh yang mempunyai elemen ‘French pop’, tetapi dengan orkestra yang tidak mengganggu identiti saya,” katanya ketika ditemui menjelang konsert itu.
Kenyataan tersebut memberi gambaran tentang pendekatan yang mendasari kolaborasi berkenaan.
Orkestra di sini bukan sekadar kepelbagaian instrumentasi untuk membesarkan bunyi atau meningkatkan skala persembahan, sebaliknya, tantangan tersebut terletak pada bagaimana susunan muzik baharu dapat memperkayakan lagi lagu-lagu Noh sambil mengekalkan ciri yang menjadikannya tersendiri.
Pengaruh French pop yang diungkap Noh juga menjadi petunjuk penting kepada hala tuju muzik tersebut, dalam konotasi ini, susunan muzik orkestra tersebut perlu berfungsi sebagai lapisan tambahan kepada komposisi asal, bukannya mengambil alih keseluruhan ekspresi muzik.
Keutamaan itu juga memperlihatkan kesedaran Noh terhadap hubungan antara identiti seorang pemuzik dengan cara karyanya dipersembahkan.
Bagi seorang artis yang dikenali melalui pendekatan muzik tersendiri, perubahan format persembahan membawa kemungkinan dan tuntutan serentak.
Bunyi yang lebih besar membuka ruang untuk meneroka tekstur dan dinamika baharu, tetapi turut memerlukan pertimbangan terhadap unsur yang wajar dikekalkan.

Orkestra sebagai ruang penerokaan
Cadenza of the Soul merupakan konsert solo orkestra kedua Noh selepas penampilannya bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu.
Kembalinya kepada format ini menunjukkan minatnya untuk meneroka persembahan berskala besar di luar pendekatan akustik bersama kumpulan muzik yang lazim dikaitkan dengannya.
Noh mengakui bahawa persembahan biasanya lebih tertumpu pada susunan akustik bersama sebuah band, bagaimanapun, beliau melihat repertoir dan pendekatan muziknya mempunyai ruang untuk diterjemahkan melalui format yang lebih besar.
“Biasanya persembahan Noh Salleh lebih bersifat akustik dengan sebuah band, saya juga ada sisi muzik yang lebih besar dan berkelas, tetapi sebagai pemuzik, kita sentiasa bergelut untuk menunjukkan kita boleh menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya,”
Keinginan untuk memperluas format persembahan itu turut berkait dengan cita-cita Noh untuk menjadikan konsert berkenaan sebagai acara tahunan.
Beliau bagaimanapun sedar bahawa kesinambungan tersebut menuntut lebih daripada sekadar mengulangi formula yang sama. Baginya setiap edisi perlu mempunyai kelainan yang dapat membezakan pengalaman persembahan dari edisi sebelumnya.
Keinginan itu meletakkan persoalan tentang perkembangan artistik sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjangnya. Konsert tahunan bukan sahaja memerlukan repertoir yang sesuai, malah pendekatan yang membolehkan muzik terus berkembang tanpa bergantung sepenuhnya pada skala produksi.
Buat masa ini, Cadenza of the Soul menyediakan ruang untuk menguji kemungkinan tersebut. Dengan Aubrey menerajui susunan muzik, tumpuan terletak pada pertemuan dua pendekatan: kepekaan komposisi dan identiti muzik Noh, serta pengalaman Aubrey dalam membentuk persembahan orkestra.
Repertoir dan kemungkinan kolaborasi
Konsert itu dijangka menampilkan sekitar 21 lagu yang disusun semula bersama Aubrey.
Jumlah tersebut memberi ruang untuk Noh membawa repertoirnya ke dalam jelmaan orkestra, walaupun senarai lagu penuh dan perincian susunannya masih belum dimuktamadkan.
Aina Abdul turut dijadualkan beraksi dalam konsert tersebut, hubungan kolaboratif mereka menerusi lagu Sang Penikam menjadikan penampilan itu satu lagi unsur yang menghubungkan repertoir Noh dengan suara daripada lingkungan muzik popular tempatan yang berbeza.
Noh turut menyatakan hasrat untuk menjemput Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi undangan.
Keinginan itu, menurutnya, berakar daripada rasa hormat dan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan penyanyi tersebut kepadanya dalam beberapa kegiatan seni, termasuk penampilannya sebagai penyanyi undangan pada Konsert Legacy 30 Tahun Siti Nurhaliza pada Januari lalu.
“Saya sedar siapalah Noh Salleh mahu Siti Nurhaliza ikut serta di Cadenza of the Soul. Tapi itu memang impian kerana beliau tidak pernah melupakan saya dalam banyak kegiatan seni termasuk konsert besarnya,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kebebasan kepada Siti memilih sebarang lagu sekiranya penyanyi itu sudi menerima jemputannya.
Namun, hasrat tersebut masih berupa impian buat Noh dan masih tiada pengesahan bahawa Siti akan tampil dalam konsert berkenaan.
Dianjurkan bersama Altus Prohouse dan CK Star Entertainment, Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra dijadualkan berlangsung pada 8 November ini di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Lebih daripada sekadar pertukaran format persembahan, konsert ini membawa Noh kembali kepada persoalan yang terus relevan dalam perjalanan seorang pemuzik: sejauh mana sesebuah karya boleh berubah apabila diletakkan dalam lingkungan bunyi dan gema yang berbeza, tanpa memutuskan hubungannya dengan identiti asal?
Orkestra mungkin memperluas skala muziknya, tetapi inti persembahan itu tetap bergantung pada sejauh mana suara artistik dan identiti dirinya dapat dikekalkan.
Bagi Noh, jawapannya bermula dengan kepercayaan terhadap ruang kolaborasi serta kesediaan seorang artis meneroka kemungkinan baharu dalam perjalanan artistiknya.
Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra
Tarikh: Ahad – 8 November 2026
Lokasi: Idea Live Arena Kuala Lumpur
Tiket-tiket boleh didapati menerusi: Ticket2U & Fantopia
