SETIAP kumpulan muzik diwujudkan dengan niat. Yang pasti, ingin berjaya dan dikenali. Sampingannya mungkin mahu bawa benda baharu seperti “isi”, “sound” dan sebagainya.
Menubuhkan kumpulan muzik tidak mudah, apatah lagi mahu jadi seperti The Rolling Stones yang masih bertahan dan relevan sehingga enam dekad. Di Malaysia, kita ada Blues Gang yang terus menyala selepas 50 tahun. Mereka terus hidup dengan peminat seusia, malah meraih peminat baharu yang masih belajar di kolej dan universiti. Itu kisah bikin kumpulan muzik.
Ini pula kisah kumpulan muzik bernama Rastari. Sebuah kugiran yang datang dan pergi tanpa disedari.
Telefon di hari raya
Kugiran ini, senang cerita, kugiran personal Allahyarham Loloq. Siapa tak kenal Loloq? Penulis lirik yang sangat dikenali dengan tulisan di luar lazim, membawa anjakan baharu pada zamannya.
Kisahnya bermula pada satu hari di hari raya. Berlaku sekitar 1988, ketika saya balik beraya di Pulau Pinang. Ketika itu, telefon rumah keluarga saya berdering, panggilan dari M. Nasir (kini Dato’).
Saya terkejut, M. Nasir telefon rumah keluarga saya di Pulau Pinang. Dari mana dia dapat nombor dan apa tujuannya? Waktu itu belum ada handphone.

Saya dah kenal M. Nasir sebelum ini, ketika sama-sama terlibat dalam filem Rozana Cinta 87 arahan Nasir Jani. Dia Penolong Pengarah 2 serta pencipta runut bunyi dan lagu-lagu untuk filem itu. Penolong Pengarah 1 ialah Omar Zahran.
“Hello Joe, ini aku M. Nasir. Ada kawan-kawan dari Singapura yang akan buat satu band, aku rasa kau antara yang paling sesuai join dia orang,” begitu mukadimah M. Nasir. “Nanti kau balik KL aku kenalkan dengan dia orang,” sambungnya.
Saya yang masih belum jelas terus bertanyakan nama kugiran tersebut. M. Nasir kata, Rapscallion. “Nanti carilah nama lain, nama Melayu,” dia tambah. “Okay Nasir, balik KL kita jumpa,” saya kata. Perbualan habis di situ.
Rapscallion…saya tak tahu apa maksudnya tapi bunyinya macam kugiran hard rock. Waktu itu internet belum meluas, nak google pun tak pandai.
Dalam fikiran saya, kenapa M. Nasir rasa saya antara yang paling sesuai sertai mereka? Budak Singapura pula. Budak Singapura ada karakternya sendiri, saya fikir. Saya mula rasa sangat teringin berjumpa mereka. Mungkin genre muzik yang mereka dengar dan cara fikir hampir sama. Buku kegemaran, filem kesukaan dan falsafah hidup, mungkin itu yang dilihat M. Nasir.
Dipendekkan cerita, selepas balik ke KL, satu pertemuan diatur oleh Omar Zahran untuk saya dan Ajeed (Rohaizid Saad) yang berasal dari Pulau Pinang bertemu Wan (Ridzwan Hashim) dan Loloq (Rosli Khamis), dua ‘budak’ Singapura yang M. Nasir maksudkan.
Kami berjumpa pada satu malam di Sentul, di sebuah studio rakaman bernama FGM Studio. Ketika itu ada kumpulan Ariwatan, penyanyinya Aris Ariwatan sedang proses memasukkan vokal. Waktu sudah lewat malam dan saya lihat Ilham, anak M. Nasir tidur lena atas sofa dalam studio dengan bunyi yang sangat bingit. Biasalah, rakaman sedang berlangsung.
Ilham (yang kini menggerakkan kugiran Pitahati) tidur pengsan. Dia berusia dalam 4 atau 5 tahun agaknya masa itu. Kami lepak di sebuah warung depan studio ketika M. Nasir masih bekerja dalam studio. “Kau orang minum-minum dulu. Nanti aku datang, kita sambung cerita,” katanya.
Kimia kepala ahli Rastari
Ketika kami hendak merokok, semua keluar jenama sama, iaitu Camel Filter. Saya terkesima, ada persamaan. Camel Filter berharga RM2.40 sekotak waktu itu.
Berjumpa Loloq dan Wan pertama kali waktu itu memberi saya definisi baharu tentang pemain/penggemar muzik yang sama generasi. Loloq sangat banyak bercerita, Wan juga banyak menambah di sana sini. Kami tidak begitu menyentuh hal teknikal atau bunyi, lebih kepada konsep dan hala tuju. Untuk perjumpaan pertama kali, banyak hal yang betul di mata saya. Kumpulan ini tiada guitar hero, yang mengikat kami ialah bentuk dan pemikiran yang akan dibawa.
Muzik dan lagu mengiringi pemikiran dan falsafah dalam liriknya. Itu yang dibawa generasi hippies dan Woodstock – Bob Dylan, Country Joe and The Fish, CSNY, Joan Baez, Richie Havens dan sebagainya.

Ajeed boleh bermain dram dan saya boleh bermain bass, pelengkap untuk Loloq sebagai penyanyi dan pemain gitar serta Wan sebagai gitaris utama dan penyanyi.
Kami berempat peminat sebenar The Beatles, terutama pengasasnya John Lennon. Kami juga peminat kumpulan muzik era hippies seperti The Rolling Stones, Bob Dylan, Jimi Hendrix, CCR, The Doors, Janis Joplin, Fleetwood Mac, Cream dan lain-lain. Kami juga berkongsi minat terhadap lagu-lagu rock klasik nyanyian Led Zeppelin, Bad Company, Deep Purple, Black Sabbath, Pink Floyd, AC/DC dan lain-lain.
Semuanya juga penggemar buku, dari sastera Melayu hingga genre fiksyen dan biografi. Loloq yang saya ingat juga pembaca buku tentang matematik, selain mempunyai koleksi kamus yang banyak. Dia juga suka membaca fiksyen sains dan novel yang pelik-pelik.
Saya dan Ajeed pula peminat seni lukis. Pelukis kegemaran seperti Mohd Hossein Enas, Latiff Mohidin, Syed Ahmad Jamal, Siti Zainon Ismail dan lain-lain sering menjadi topik perbualan. Saya dan Ajeed juga sama-sama menjadi penata seni untuk filem dan drama tempatan waktu itu.
Elemen-elemen ini sangat penting untuk sebuah kumpulan muzik, kata M. Nasir. Satu kepala dan satu mazhab dalam seni.
Baru ingat, saya selalu bersembang topik-topik seni, terutamanya tentang muzik dengan M. Nasir sepanjang penggambaran filem Rozana Cinta 87. Dia sudah nampak dari situ. Satu lagi, kami semua tentunya peminat kumpulan Kembara tetapi M. Nasir sedar, Rastari bukan Kembara.
Rumah No. 2 Taman Cuepacs
Kemudian, ditakdirkan kami duduk serumah di Taman Cuepacs, Cheras pada 1989. Rumah teres setingkat tiga bilik, alamatnya di No. 2, Jalan Coop Cuepacs 5B, Cheras, 43000 Kajang, Selangor. Rumah corner lot. Sewanya RM250 sebulan. Inilah alamat kepala surat pertama Luncai Emas sebelum ada alamat pejabat yang tetap. Halamannya luas, selalunya lalang meninggi sebab tak mampu upah orang potong rumput.
Pada satu pagi di rumah bujang itu, Loloq kata dia ada satu nama baharu untuk kugiran kami, iaitu Rastari. Saya tanya, maksudnya apa? Kata Loloq, “ras” bermaksud bangsa atau keturunan dan “tari” ialah gerak badan. Jadi, apabila digabungkan, ia bermaksud bangsa atau keturunan yang menari.
Memang orang Melayu pandai dan suka menari. Rastari juga hampir seperti sebutan Rastafari, pembawa gelombang lagu-lagu reggae dari Jamaica yang dipelopori Bob Marley.
Kami tidak ada masalah dengan nama itu. Nama yang bermakna, berirama dan ada groove, fikir saya. Ia lebih baik daripada Rapscallion yang kedengaran keras.
Akhirnya saya tahu nama Rapscallion yang Loloq bawa dari Singapura itu bermaksud “a person who causes trouble, rascal or villain”. Maksudnya, lebih kurang, orang yang membawa masalah, bajingan dan lawan kepada hero. Pemberontakan fikiran memang ada dalam setiap pemuzik/penulis/seniman di mana-mana. Anti kepada sistem yang poyo.
Rastari memang dah ada 10 lagu untuk dirakam. Kebanyakannya buah tangan Loloq, termasuk Revolusi Mental, Wak Jono, Langit Masih Biru, Malang Si Nangka, D-Major Blues Dalam Hujan, Mahameru dan Senandung Suralaya.
Lagu-lagu dari Rastari ketika itu tak ada lagu jiwang atau elemen rock kapak yang sedang memuncak di pasaran. Tiada ‘killer song’ macam yang wartawan hiburan suka sebut. Entah nak kill apa pun saya kurang faham. Tak ada lagu cinta melulu memuji wanita. Kalau ada pun, maksudnya lebih halus dan berlapis.

Kerja Loloq yang awal ada dalam album Rastari. Liriknya terpelanting dari kebanyakan lagu yang biasa disusun indah dalam muzik tempatan ketika itu. Liriknya rabak dan koyak tetapi indah dan berjiwa. Itu yang saya rasakan.
Apabila bercerita tentang Rastari, ada satu sosok penting yang sebenarnya menemukan kami sejak awal, iaitu Omar Zahran – insan yang memacak Luncai Emas dari titik kosong hingga kini menjadi satu jenama besar dalam industri muzik tempatan.
Omar dikenali dengan imej berselipar Jepun dan beg karung hijau posmen. Dia sentiasa ke hulu ke hilir naik bas menguruskan Luncai Emas yang masih dalam proses penubuhan. Logo Luncai Emas pula dicipta Allahyarham Jalil Ngah (abang kepada komposer Manan Ngah) dengan persetujuan M. Nasir.
Rastari tinggal serumah dengan Omar, kemudian bertambah seorang lagi anggotanya – Jai (Zainal Abidin Mohamed), adik M. Nasir yang sangat berbakat. Suaranya ada nada M. Nasir, tak lari jauh. Jai merupakan gitaris yang bagus, malah pandai bermain gambus.
Tak Ada Tajuk Sesuai
Secara rasmi, Rastari dibentuk dengan line-up Loloq (vokal/gitar), Wan (vokal/gitar utama), Jai (vokal/gitar irama/gitar utama), Joe (bass) dan Ajeed (dram). Omar pula menguruskan kami dan kami berlatih di studio Sound Dimensions di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Ketika itu, Loloq dah mula menulis lirik untuk album baharu M. Nasir yang berjudul Saudagar Mimpi. Dia juga menulis lirik untuk kumpulan muzik lain yang lagunya dicipta atau albumnya diterbit M. Nasir. Saya dan Ajeed terus terlibat dengan penggambaran filem atau drama, jika ada job. Latihan dengan Rastari sentiasa berjalan, baik di rumah atau di studio.
Dalam setiap dua minggu sekali M. Nasir akan datang ke rumah bujang Rastari, selalunya untuk mengambil lirik dari Loloq atau berjumpa Omar tentang Luncai Emas. Album pertama M. Nasir yang bertajuk SOLO (1989) ada lirik pertama Loloq untuk M. Nasir, iaitu Seloka Jegela Melayu. Satu sentuhan lirik yang sangat menarik.
Rastari akhirnya merakam sebuah album di Form Studio, Singapura berisi 10 lagu. Ia diedarkan pada 1992.
Radio tidak berminat dengan lagu-lagu dalam album itu, Ia hilang begitu saja. Tapi sekarang ia muncul dalam persada maya, boleh cari di Youtube. Berikut senarai lagunya:
Muka A:
Wak Jono
Ku Lihat Pipimu
Wahai Sang Pendita
Malang Si Nangka
Senandung Suralaya
Muka B:
Mahameru
Tak Ada Tajuk Sesuai
Kapal Dalam Kaca
D-Major Blues Dalam Hujan
Langit Masih Biru
Album terbitan FMG Records. Susunan muzik oleh Eddie Marzuki dan M. Nasir sebagai penerbit.
Selepas album tersebut, Rastari pun hilang yang membawa cerita dan makna, tetapi terus hidup dengan peminatnya yang tersendiri.
Malar fikir dan rohnya
Tulisan ini ialah apa yang saya ingat seadanya. Dah lebih 30 tahun kisah dan kenangannya. Rastari terus hidup dalam jiwa dan ahli-ahlinya masih berhubung hingga ke saat ini, termasuk Wan, Ajeed, Jai dan Omar yang saya ingat selalu.
Pada 2024, saya hadir ke perkahwinan anak lelaki Wan di Slim River. Saya dan Omar saja hadir. Isteri arwah Loloq, Erry juga ada tetapi tidak bertemu kerana dia datang kemudian.
Loloq berjaya sebagai penulis lirik sampai akhir hayatnya. Ahli Rastari yang lain meneruskan hidup seperti biasa. Jai dah balik Singapura, Wan sangat sukses dengan perniagaannya dalam bidang equipment dan sound. Saya terus bikin dokumentari dan Ajeed dengan dunia penggambaran video korporat. Omar Zahran meneruskan hidup seperti selalu.
Kenangan hidup di rumah Cuepacs dengan Rastari menjadi ingatan abadi dalam hidup saya. Semoga roh arwah Loloq atau Rosli Khamis dirahmati dan dikasihi Allah. Wak Jono – itulah Loloq yang kami kenali. “Wajah masih tenang”.
Rastari – kugiran yang kini tiada lagi dalam radar. Ia hilang ditelan zaman bersama pemikiran dan roh muziknya.
“Langit masih biru. Dunia terus beredar. Fikiran terus berputar.”
Wallahualam.
