SEMPENA ulang tahun ke-100 syarikat perbankan terkemuka CIMB bersiap sedia untuk menghidupkan malam Kuala Lumpur dengan acara eksklusif.
Pada 24 November ini, Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, akan menyaksikan Konsert “Kita Bagi Jadi” persembahan muzikal yang bakal memukau para pelanggan dan rakyat Malaysia sebagai penghargaan atas sokongan mereka selama ini.
Konsert yang istimewa ini dibawakan oleh Orkestra Filharmonik Muda Malaysia (MPYO), diketuai konduktor tersohor, Ahmad Muriz Che Rose.
Selaras dengan matlamat untuk mengangkat bakat muda, MPYO akan mempamerkan persembahan yang menggabungkan bakat orkestra anak muda bersama penyanyi legenda tanah air.
Antara nama besar yang akan menggegarkan pentas termasuklah Datuk Zainal Abidin, Aina Abdul, Azlan & The Typewriter, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, dan Jaclyn Victor, dengan penampilan istimewa atlet kebanggaan negara, Datuk Azizulhasni Awang, serta pelakon Nadia Aqilah dan Tony Eusoff.
100 artis untuk 100 minit persembahan
Menurut Ketua Pegawai Penjenamaan dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman, konsert ini dirangka untuk memberikan pengalaman yang unik dan bermakna kepada pelanggan setia CIMB.
“Konsert Kita Bagi Jadi akan menyajikan sebuah muzikal berdurasi 100 minit yang menggabungkan 100 artis dari pelbagai latar seni,” kata Toni.

Konsep istimewa ini direka bukan sahaja sebagai hiburan, tetapi sebagai simbolik kepada dedikasi CIMB terhadap nilai keterangkuman, sokongan komuniti, dan pembangunan bakat tempatan.
“Ramai anak muda berbakat akan tampil mempersembahkan muzik dan seni di pentas ini.
“Dengan bimbingan Ahmad Muriz, kami bukan sahaja mengetengahkan penyanyi legenda tetapi turut memberikan ruang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat mereka di pentas yang mereka layak,” tambah Toni.
Pengalaman berbeza dan eksklusif buat pelanggan setia
Konsert ini tidak hanya sekadar persembahan muzik. Toni menekankan bahawa ia adalah satu bentuk penghargaan yang berharga kepada pelanggan setia CIMB, satu “pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang,” kata beliau.
Selain muzik, penonton juga berpeluang berinteraksi dalam sesi ramah mesra bersama artis, memberikan peluang lebih intim untuk menghargai figura seni tanah air.

Sambutan ulang tahun ini bukan sahaja menyasarkan hiburan tetapi juga menekankan semangat “Kita Bagi Jadi” yang menjadi slogan pergerakan sosial CIMB.
Gerakan ini bertujuan menyemai impak positif dalam masyarakat menerusi pemerkasaan ekonomi dan keterangkuman kewangan, memperkukuh sokongan CIMB terhadap keutuhan sosial di Malaysia.
Menginspirasikan generasi baharu
Toni turut menjelaskan bahawa konsert ini adalah satu manifestasi dedikasi CIMB untuk terus memperkukuh sokongan kepada generasi muda, sekaligus membuktikan bahawa usaha gigih akan menghasilkan kejayaan.
“Kami ingin melibatkan rakyat Malaysia secara langsung, memberi inspirasi untuk terus berusaha mencapai potensi terbaik, dan ini sangat sejajar dengan semangat CIMB sepanjang 100 tahun perjalanan kami,” tambah Toni.
Dengan gabungan persembahan yang meriah, bakat seni yang memukau, dan interaksi langsung dengan ikon-ikon negara, Konsert “Kita Bagi Jadi” dijangka akan menjadi malam penuh memori yang tidak dapat dilupakan, melambangkan kesinambungan semangat dan komitmen CIMB dalam melestarikan sokongan kepada masyarakat Malaysia.

