Daripada punk rock dan funk metal kepada deathgrind dan rapcore, empat kumpulan bakal berkongsi pentas dalam sebuah konsert yang bakal menghubungkan sejarah muzik alternatif Malaysia dengan pendengar hari ini.
Sejarah muzik alternatif Malaysia terbentuk bukan sahaja melalui rakaman album dan penerbitan zine, tetapi juga melalui gig berskala kecil yang mempertemukan pemuzik, penganjur dan komuniti dengan kecenderungan muzik berbeza.
Di luar struktur industri hiburan arus perdana, ruang persembahan ini menjadi tempat subbudaya membina identiti, arah serta jaringan tersendiri.
Semangat pertemuan tersebut menjadi latar kepada Revenge of the Rats 2026, yang dijadualkan berlangsung di Bentley Music Auditorium pada 12 Disember ini.
Dianjurkan oleh Livewire Event bersama Lampuneon, acara tersebut menghimpunkan Carburetor DUNG ’95, Naked Butterfly, Mutilation dan Projekt A.K., mewakili empat jalur muzik: punk rock, funk metal, deathgrind dan rapcore.

Barisan ini mempertemukan nama-nama yang mempunyai latar tersendiri dalam muzik alternatif tempatan, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian bunyi yang membentuk lingkungan muzik ‘underground’ Malaysia.
Mengimbas perjalanan sebuah gig
Revenge of the Rats asalnya merujuk kepada sebuah gig yang pernah berlangsung di Life Centre, Kuala Lumpur pada 1993, menampilkan beberapa nama seperti Subculture, The Pilgrims, Chronic Mass, Lovely Ugly Carnival dan The Splatters.
Pertemuan kumpulan-kumpulan ini memperlihatkan bagaimana gig berfungsi sebagai ruang perkongsian pentas antara pemuzik dengan pendekatan berbeza.
Dalam lingkungan muzik alternatif tempatan, hubungan antara kumpulan dan penonton tidak semestinya bergantung pada keseragaman genre, sebaliknya turut terbina melalui jaringan komuniti dan minat terhadap muzik di luar arus perdana.
Penggunaan semula nama tersebut pada 2026 menghubungkan acara konsert semasa dengan satu episod dalam sejarah muzik alternatif tempatan.
Namun, kepentingannya bukan sekadar mengulang ingatan terhadap era 1990-an, tetapi turut membuka ruang untuk meneliti bagaimana sejarah sesebuah gerakan muzik disampaikan kepada generasi seterusnya.

‘Reunion’ DUNG ’95
Antara tumpuan edisi kali ini ialah DUNG ’95, formasi yang menghubungkan konsert tersebut dengan perjalanan Carburetor Dung, menampilkan Lee, Joe Kidd, Fendi dan Ollie, yang dikhabarkan kembali berkongsi pentas selepas hampir 27 tahun tidak beraksi bersama dalam formasi berkenaan.

Kepelbagaian bunyi dalam satu ruang
Turut bersama untuk konsert kali ini adalah Naked Butterfly, sebuah kumpulan pemuzik berbakat yang dikenali menerusi keunikan album Dreamwalk (1995) dengan pendekatan funk metal mereka. Gabungan unsur funk dan metal meletakkan kumpulan tersebut dalam jalur muzik alternatif yang berbeza daripada punk rock yang dibawa Carburetor Dung.

Sementara itu, Mutilation mewakili deathgrind, gabungan ciri death metal dan grindcore, manakala Projekt A.K. membawa rapcore, yang mempertemukan gabungan elemen rap dan hardcore punk.


Kepelbagaian ini memperlihatkan bahawa muzik alternatif Malaysia tidak berkembang melalui satu bunyi atau kecenderungan sahaja.
Setiap genre mempunyai pendekatan muzik dan komuniti pendengar tersendiri, tetapi perkongsian ruang persembahan membolehkan perbezaan tersebut wujud dalam lingkungan yang sama.
Dalam hubungan ini, Revenge of the Rats 2026 menawarkan gambaran tentang keluasan landskap muzik alternatif tempatan.
Pemilihan empat kumpulan tersebut juga mengingatkan bahawa sejarah muzik underground tidak boleh distereotaipkan melalui satu genre atau generasi semata-mata. Sebaliknya, ia terbentuk daripada pelbagai jalur muzik yang berkembang secara berasingan, bertemu dan saling melengkapi.
Mendokumentasi perjalanan muzik alternatif tempatan
Jika perkembangan muzik arus perdana lazimnya direkodkan melalui jualan album, carta populariti, liputan media serta bahan bacaan yang dicatatkan, sejarah muzik underground tempatan banyak bergantung pada tinggalan risalah dan poster gig, zine, rakaman gambar dan persembahan, koleksi peribadi dan juga ingatan individu.
Bahan-bahan ini membantu menjelaskan bagaimana komuniti muzik terbentuk dan berkembang di luar saluran industri dominan. Namun, apabila sejarah disampaikan melalui nostalgia semata-mata, pengalaman yang kompleks berisiko diringkaskan menjadi gambaran romantik tentang masa lalu.

Satu cabaran dalam menelusuri sejarah muzik underground tempatan ialah sifat kajian dan dokumentasinya yang masih belum menyeluruh dan tersusun untuk diekses melalui penerbitan seperti bahan bacaan yang mencatatnya secara lengkap.
Dokumentasi dan penelitian terhadap konteks asal penting untuk memastikan sejarah tersebut terus dapat difahami dan bukan sekadar dikenang, penganjuran persembahan secara langsung seperti ini boleh menjadi salah satu cara untuk memperkenalkan gerakan aliran muzik ini kepada khalayak baharu.

Bagi pendengar yang mengikuti gerakan alternatif sejak 1990-an, acara ini menyediakan ruang untuk kembali berhubung dengan kumpulan yang pernah menjadi sebahagian daripada landskap muzik mereka.
Bagi generasi muda pula, ia menawarkan peluang untuk mengenali kepelbagaian genre dan sejarah yang membentuk sebahagian daripada budaya muzik tempatan.
Lebih daripada pertemuan semula beberapa nama lama, Revenge of the Rats 2026 menghimpunkan empat pendekatan muzik dalam satu ruang persembahan.
Nilainya terletak pada peluang untuk mendengar kembali karya-karya tersebut serta meneliti bagaimana jaringan pemuzik dan komuniti telah menyumbang kepada perkembangan muzik alternatif di Malaysia.
Konsert – Revenge of The Rats! 2026
Tarikh: Sabtu – 12 Disember 2026
Masa: 5 petang
Tempat: Bentley Music Auditorium
Tiket boleh didapati menerusi MyTicket Empire.
