NAMA Pink Floyd melambangkan muzik yang sangat spesifik dan mendalam. Sepanjang dekad 1970-an, kuartet ini menghasilkan beberapa karya muzik paling unggul, bermakna, dan berpengaruh sepanjang zaman, dengan The Dark Side of the Moon dan Wish You Were Here sebagai dua mercu tanda utama dalam sejarah mereka. Album-album ini bukan sahaja memiliki kualiti yang melangkaui masa tetapi juga terus dihargai oleh generasi demi generasi hingga ke hari ini.
Namun, perjalanan kumpulan ini untuk mencapai tahap kecemerlangan tersebut tidaklah mudah. Mereka berdepan pelbagai cabaran, termasuk kehilangan salah seorang pengasas utama mereka, Syd Barrett. Barrett, yang merupakan penyanyi utama, pemain gitar, dan pengarah kreatif asal, meninggalkan Pink Floyd pada tahun 1968 semasa rakaman album kedua mereka, A Saucerful of Secrets, akibat kemerosotan kesihatan mental yang teruk. Kehadiran David Gilmour sebagai pemain gitar baharu memaksa mereka menyiapkan album tersebut tanpa Barrett, sekaligus mendorong mereka memasuki fasa eksperimen yang aneh tetapi membuahkan hasil. Dari eksperimen inilah lahirnya bunyi unik Pink Floyd, yang kemudiannya membawa mereka menjadi legenda dengan pelancaran The Dark Side of the Moon pada tahun 1973.
Sebelum pengunduran Barrett lagi, perjalanan awal Pink Floyd dipenuhi dengan pelbagai sejarah perubahan—dari segi nama, ahli, dan gaya muzik—sejak penubuhannya pada tahun 1965. Ketika itu, kumpulan ini memulakan langkah sebagai kumpulan yang dipengaruhi irama R&B, sama seperti kebanyakan kumpulan sezaman mereka. Namun, usaha untuk mencari identiti sonik yang unik akhirnya membezakan mereka daripada yang lain.
Dalam dokumentari The Pink Floyd & Syd Barrett Story (2001), Bob Klose, pemain gitar asal Pink Floyd, berkongsi bagaimana bunyi unik kumpulan itu mula berkembang daripada minat Barrett terhadap pelopor R&B, Bo Diddley.
“Orang ramai fikir saya agak bagus, tetapi mungkin tidak sebenarnya. Maksud saya, saya boleh bermain gitar klasik sedikit, jadi saya boleh menggerakkan jari saya dengan agak tersusun, dan saya mendengar banyak muzik blues, jadi saya ada sedikit idea tentang itu. Dan Syd pula mendengar Bo Diddley dan mendapatkan rentaknya, jadi itulah yang kami lakukan,” kata Klose. “Syd mula menulis lagu, dan di situlah semuanya menjadi menarik. Kami bermula dengan menyanyikan semula lagu-lagu R&B, tetapi secara beransur-ansur, ia berubah menjadi sesuatu seperti Bo Diddley kosmik versi Syd,” kata Klose.
Tekanan luaran menyebabkan Klose meninggalkan Pink Floyd pada pertengahan tahun 1965. Walaupun keputusan itu sukar, ia menjadi titik perubahan penting bagi Pink Floyd. Pengunduran Klose membuka jalan untuk Barrett mengambil alih peranan sebagai pemain gitar utama, sekaligus mengembangkan muzik psikedeliknya yang unik. Muzik ini, perlahan-lahan, menjauhkan mereka daripada pengaruh R&B, menghasilkan bunyi segar yang dapat didengari dalam album sulung mereka, The Piper at the Gates of Dawn (1967), yang dianggap ‘asas’ penting dalam genre space rock.
Menurut pemain dram Nick Mason, lagu Arnold Layne, single sulung mereka, merupakan kunci penting yang “mengalihkan” fokus kugiran itu daripada R&B ke laluan yang lebih unik. Dalam wawancaranya bersama Rolling Stone pada tahun 2019, Mason berkata, “Ini adalah lagu yang sangat luar biasa. Ia muncul dalam gelombang akhir 1960-an di mana lagu-lagu mula melampaui sekadar ‘I’m gonna get you, babe.’ Pada waktu itu, kami fikir kami mahu menjadi sebuah kumpulan R&B, tetapi entah bagaimana kami terleka sepenuhnya dengan menulis lagu seperti ini, Bike, dan The Gnome, yang berkaitan dengan keseluruhan gaya hidup Inggeris yang aneh itu.”
Tanpa Arnold Layne dan lagu-lagu lain pada era awal mereka, Pink Floyd mungkin tidak akan menghasilkan album sulung mereka, dan tanpa itu, seluruh perjalanan luar biasa mereka—baik kejayaan mahupun cabaran—mungkin tidak pernah berlaku. Sesungguhnya, peluang dan kebetulan adalah sesuatu yang aneh.
– Diterjemahkan oleh: Ahmad Kamal Abu Bakar

