Pertama kali saya dengar muzik buatan AI (kecerdasan buatan) ialah pada beberapa bulan lalu di saluran YouTube iaitu lagu Seroja yang digubah semula (AI Cover) oleh Idu Gahwa, (Pemuzik Digital & Artis Maya) dari Indonesia.
Ia diterbitkan pada 15 Disember 2025 dan tular di Tik Tok. Di YouTube, ia meraih 1.6 juta tontonan dengan 15,000 tanda suka.
Walaupun di Malaysia, lagu ini pernah dinyanyikan oleh Sharifah Aini, Jamal Abdillah dan Mawi semasa persembahan akhirnya di Akademi Fantasia tetapi pertama kali saya mendengar lagu Seroja ialah dari penyanyi asalnya, Said Effendi dari Indonesia.
Saya mendengar melalui Radio Singapura pada tahun 1970, ketika itu saya dalam berada darjah lima. Rakaman pertama lagu ini adalah pada tahun 1959.
Saya membesar di Batu Pahat dan pada awal tahun 1970-an, adalah suatu perkara biasa bagi penduduk Johor untuk lebih banyak mendengar Radio Singapura terutama dalam hal hiburan. Ini kerana pilihan lagu-lagunya dirasakan lebih baik berbanding Radio Malaysia.
Ini kerana Radio Singapura adalah Radio Malaya yang asal ditubuhkan pada tahun 1946 dan mempunyai koleksi piring hitam lebih banyak berbanding Radio Malaya yang dipindahkan ke Kuala Lumpur pada tahun 1959.
Lagu asal Seroja dicipta oleh komposer Indonesia, Hussein Bawafie sekitar tahun 1950an.
Iramanya ialah Melayu Deli. Gaya irama ini berasal dari istana Kesultanan Deli yang terletak di Sumatera Utara, sekitar kota Medan.
Kesultanan Deli Darul Maimun diasaskan oleh seorang panglima Aceh, Tuanku Panglima Gocah Pahlawan yang menakluk kerajaan Aru. Untuk beberapa ketika ia terletak di bawah Kesultanan Aceh.
Irama Melayu Deli memiliki rentak inang dan joget dengan menggunakan violin, akordion dan gendang.
Genre ini menggaulkan citra Melayu tempatan, India, Timur Tengah (Arab, Farsi dan Turki) dan Barat (Portugis, Belanda dan Inggeris).
Pertama kali ia didendangkan oleh S. Effendi ialah pada tahun 1959 dan menjadi popular di seluruh Malaya dan Singapura. Perlu diingat bahawa ruang lingkup muzik Melayu ketika itu tidak mengenal sempadan dan ia dianggap khazanah budaya bersama di kalangan penduduk Indonesia, Singapura dan Malaya.
Lagu-lagu nyanyian S. Effendi lain yang terkenal ialah Bahtera Laju, Timang-timang, dan Fatwa Pujangga yang dicipta sendiri. Beliau juga menyanyikan lagu Semalam di Malaysia (1965) karya Saiful Bahri (Semalam Di Malaya – Tuty Daulay – 1961) dan Di Ambang Sore ciptaan Ismail Marzuki.
Selepas tahun 1974, lagu-lagu beliau dan penyanyi seangkatannya sudah jarang didengar dari Radio Malaysia. Mereka dianggap sebagai penyanyi lagu lama. Tumpuan Radio Malaysia adalah pada lagu-lagu baharu sebagai negara yang memandang ke depan dan meninggalkan lagu-lagu nostalgia.
Walaupun Radio Malaysia masih menyiarkan lagu-lagu Indonesia tetapi ia merupakan lagu-lagu baharu era Orde Baru, iaitu pemerintahan Presiden Suharto. Antara lagu-lagu itu adalah nyanyian Bob Tutupoly, Emilia Contessa, Broery Marantika dan kumpulan D’Lloyd dan Favourite Group. Nyanyian S. Effendi dan Sam Saimun dianggap lagu era Orde Lama, iaitu pemerintahan Presiden Sukarno.

Perlu disebut bahawa dari segi fahaman politik, pemerintahan Suharto adalah selaras dengan Tun Razak Hussein yang menjadi Perdana Menteri ketika itu. Sukarno adalah dari kalangan golongan berfahaman kiri yang mesra Soviet Union berbanding Suharto berhaluan kanan dan cenderung pada Barat.
Hanya apabila RTM memperkenalkan Radio Irama Melayu Asli (RIMA) pada tahun 1998, lagu nyanyian S. Effendi dan Sam Saimun dapat didengar semula. Pada masa itu Menteri Penerangan adalah Mohamad Rahmat yang pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan mempunyai hubungan istimewa dengan negara itu.
Bagaimanapun RIMA dijenamakan semula menjadi Klasik FM pada tahun 2005 di bawah Menteri Penerangan baharu, Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Ternyata beliau mahu menjadikan Klasik FM bertaraf antarabangsa seperti Classic FM milik BBC yang menyiarkan muzik klasik dunia. Usaha beliau ini dapat bantahan dari masyarakat Melayu.
Pada tahun 2006, Menteri Penerangan baharu, Zainudin Maidin yang merupakan peminat lagu-lagu lama telah menjadikan radio ini kembali menyiarkan lagu-lagu nostalgia Nusantara termasuk nyanyian S. Effendi dan Sam Saimun.
Beliau juga meluaskan pancaran dan siaran Klasik FM ke seluruh negara dan menamakannya Klasik Nasional. Sebelum itu rangkaian ini hanya dapat didengar di Lembah Klang.
Pada masa inilah ketika saya mengunjungi menteri itu di Angkasapuri, saya diberi CD mengandungi nyanyian S. Effendi dan Sam Saimun.
Pada tahun 2011, Rais Yatim kembali menjadi Menteri Penerangan dan menukar namanya kepada Radio Klasik. Kini ia menyiarkan lagu-lagu Melayu sebelum tahun 2000.
Sekitar tahun 2006 seorang yang memanggil dirinya “mrcupan” telah menyertai YouTube. Beliau ada memiliki laman web Muzik Nusantara. Pada tahun 2011, beliau telah menaikmuatkan lagu-lagu nyanyian S.Effendi termasuk Seroja ke dalam YouTube. Menurutnya, beliau rakam semula lagu itu dari Radio Klasik Nasional. Sejak itu, banyaklah versi lagu Seroja dinaikmuatkan ke dalam YouTube dari pelbagai sumber, Malaysia dan Indonesia.
Pemilik akaun Youtube ‘Idu Gahwa’ (Pemuzik Digital & Artis Maya) yang menggubah lagu Seroja dengan menggunakan AI adalah seorang pemuzik digital, penulis lirik dan pencipta kandungan dalam Bahasa Indonesia dan Banjar. Malah gubahan semula lagu Seroja yang pertama digunakannya ialah bahasa Banjar. Suku kaum Banjar tinggal di wilayah Kalimantan Selatan (Kalsel) dengan kotanya ialah Banjarmasin.
Teknik yang beliau gunakan bernama “AI-enhanced cloning” atau pengklonan yang ditingkatkan oleh AI”. Gaya eksperimental ini menggunakan teknik klon suara asal yang digabungkan dengan penceritaan visual digital.
Lagu Seroja ini dikategorikan sebagai lagu Melayu di Indonesia. Lagu Melayu merujuk pada lagu-lagu yang berasal pada irama muzik kaum Melayu yang tinggal di Sumatera.
Tetapi penciptanya, Hussein Bawafie lahir pada tahun 1919 dan membesar dalam komuniti Arab Betawi yang tegar di Gang (lorong) Lontar, Tanah Abang, Jakarta.
Betawi muncul sebagai satu suku Indonesia yang betsifat multietnik iaitu asal-usulnya bercampur antara orang Melayu dari Sumatera, Arab Yaman, Cina, Jawa, Sunda, Belanda dan Portugis. Ia terbentuk dari suku kaum-kaum yang berhijrah ke Betawi sejak kurun ke-17 apabila Belanda menguasai tempat itu dan menamakannya Batavia. Ia menjadi ibu kota Hindia Timur Belanda. Apabila merdeka, Hindia Timur Belanda menjadi Indonesia dan Batavia menjadi Jakarta.
Nama Jakarta diambil daripada nama kota itu sebelum datangnya Belanda iaitu Jayakarta yang bermaksud Kota Jaya. Tetapi sebelum Jayakarta, ia bernama Sunda Kelapa.
Nama Betawi adalah sebutan penduduk tempatan terhadap perkataan Batavia. Sementara Batavia adalah dari perkataan Batavi yang bermaksud tanah indah debgan merujuk pada tanah leluhur bangsa Belanda yang kini terletak dalam negara Jerman.
Bahasa suku Betawi adalah bahasa Melayu. Oleh kerana Betawi adalah ibu kota Hindia Timur Belanda, maka akhirnya bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca bagi keseluruhan wilayah tanah jajahannya.
Belanda mengenal pasti bahasa Melayu Pasar (Laag-Maleis) yang digunakan penduduk tempatan dan bahasa Melayu Tinggi (Hoog-Maeis) yang digunakan dalam persuratan dan urusan rasmi.
Bahasa Melayu Tinggi inilah yang dijadikan Bahasa Indonesia oleh para nasionalis.
Jadi muzik Melayu menjadi muzik orang Betawi. Bawafie menggubah watak lagu-lagu ini menjadi lebih dinamis dengan struktur lirik yang bebas, tidak seperti lagu Melayu Asli yang mempunyai pantun.
Dari lagu Melayu Betawi ini, ia menjadi lagu Indonesia, termasuk irama dangdut yang dipengaruhi oleh muzik Hindustan. Muzik Indonesia mempengaruhi muzik Malaya yang ketika itu berpusat di Singapura.
Bawafie adalah pemimpin Orkes Melayu Chandralela yang melahirkan penyanyi-penyanyi terkenal seperti Eliya Khadam dan Elvy Sukaesih.
Bawafie mencipta lebih 200 lagu. Beliau Pendidikan awalnya ialah di Sekolah Al-Irsjad Al-Islamiyyah, sekolah yang didirikan oleh gerakan reformis Syekh Achmad Surkati yang berasal dari Udfu, Sudan dan pengasas kepada pertubuhan Al-Irsyad
Bawafie meninggal dunia pada tahun 2000 di usia 82 tahun. Beliau bukan saja dapat mendengar lagu Seroja nyanyian S. Effendi yang meninggal dunia pada tahun 1983 tetapi juga nyanyian Ratin Purwasih pada tahun 1979, Rama Aiphama, Eddy Silitonga, Jamal Mirdad dan akhir ialah Iis Dahlia pada tahun 1990.
Perkataan Seroja pada nama lagu itu datang dari Sanskrit yang merupakan bahasa yang mesra dengan jiwa rumpun Melayu.
Ia berasal dari perkataan Saroja yang merujuk pada teratai tasik, yang dalam bahasa Inggeris disebut “Lotus” (Nelumbo Nucifera).
Lagu Seroja walaupun mendayu-dayu tetapi liriknya mengandung seruan kebangkitan. Ia menyeru para remaja supaya tidak banyak termenung dan mengelamun dilambung ombak asmara. Anak-anak muda diseru bangkit untuk membuat sesuatu yang berfaedah dengan perlambangan menyusun bunga seroja. Mereka diajak bangkit menggubah keindahan.
Ketika lagu ini dicipta iaitu pada tahun 1959 Malaya mengadakan pilihan raya umum pertama sebagai negara merdeka. Walaupun Darurat menentang komunis belum berakhir, rakyat mempunyai harapan besar terhadap negara baharu Malaya ini. Darurat diisytihar berakhir pada tahun berikutnya.
Tetapi Indonesia pula menghadapi keadaan kritikal. Presiden Sukarno memansuhkan sistem demokrasi berparlimen dan digantikan dengan gagasan Demokrasi Terpimpin yang merupakan pemerintahan berpusat dengan kuasa pada presiden.
Ketika itu pula, sedang berlaku Perang Dingin yang hangat dengan Amerika Syarikat melalui CIA sedang berusaha menumbangkan kerajaan Sukarno dengan membantu pemisah-pemisah dan tentera yang memberontak di pelbagai tempat, dari Sumatera hingga ke Papua.
Ekoran itu, Sukarno melaksanakan Doktrin Djuanda yang menetapkan wilayah pulau dan laut Indonesia yang perlu dipertahankan supaya Indonesia tetap bersatu.
Sementara itu, ekonomi Indonesia berada dalam tekanan besar. Syarikat-syarikat Belanda masih menguasai ekonomi Indonesia dengan pekerja-pekerja mereka masih berada di situ. Sementara pihak buruh Indonesia pula melakukan tindakan-tindakan menentang kehadiran pekerja-pekerja Belanda.
Bagaimanapun apabila Sukarno telah memilik negarakan kilang-kilang itu dan menghalau pekerja-pekerja Belanda itu, menambahkan lagi kesusahan Indonesia kilang-kilang itu tidak dapat beroperasi dengan pekerja-pekerja tempatan juga hilang pekerjaan.
Suasana politik di Indonesia ketika lagu itu berkumandang adalah dalam suasana gelisah dengan perasaan sayu di mana rakyat semakin hilang harapan untuk menikmati hasil kemerdekaan.

Sedap sangat lagu ini, yg original lagilah sedap dan cukup bermakna apatah lagi dalam konteks sejarah kesatuan bahasa dan budaya yg akhir dipecah akibat sempadan kolonialisma dan kelemahan pemikiran anak watan sendiri.