“Seniman harus memerhati, mencatat, mencetus dan sekiranya perlu, menyeru saranan tentang perlakuan dan pergolakan masyarakat sekeliling alam, benua dan sejagat.”
– (Ismail Zain (1930-1991), pelukis dan pemikir seni rupa negara)
Pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik yang sedang rancak berlaku di bumi Palestin, di Gaza dan Tebing Barat, bukanlah sesuatu yang boleh diperkemaskan masuk dalam kotak pemikiran ketika santapan pagi. Tiada yang menarik tentang Palestin selain rasa sakit, derita, dan kematian.
Sesudah lebih daripada 10,000 nyawa melayang barulah semua dan segala pemimpin politik dan badan kebajikan sibuk berbicara serta bersimposium membincang atur cara untuk menamatkan tragedi Gaza, serta isu kenegaraan Palestin.
Begitu juga reaksi para seniman dan penggiat seni di seluruh dunia. Genosid Gaza diibaratkan besi berani yang menarik — dan juga menolak — berbagai respons daripada masyarakat seni di merata-rata tempat. Memberangsangkan ialah kata pendek yang sesuai sebagai merakamkan tindak balas sedemikian.
Tragedi ini juga, secara tidak langsung, telah membuktikan bahawa Seni Rupa Halus (VisualFine Arts) ialah anak tiri Kapitalisme.
Pasti ada dalam kalangan peminat dan pemantau pergerakan ekosistem pasaran seni rupa terbaca tentang betapa cepat dan ganasnya beberapa kolektor dan institusi bertindak memulau serta menarik sokongan terhadap para seniman yang bersimpati pada perjuangan Palestin.
Sedangkan di Malaysia, isu Palestin yang pembingkaiannya dianggap lebih condong kepada sudut ‘keagamaan dan kebencian Yahudi’ berbanding ‘kemanusiaan sejagat’, menimbulkan beberapa persoalan untuk diperhatikan oleh seniman.
Nampaknya, dalam konteks Malaysia, isu-isu Palestin dibingkai secara lebih mendalam menggunakan lensa ‘Agama dan Anti Semitisme’ dan bukan ‘Kolonialisme dan Pendudukan’. Kepedulian yang sejagat terhadap kemanusiaan, yang menjadi intipati penting dan merentas batas kaum dan agama, nampaknya tercicir di baris belakang ketika rakyat Malaysia sibuk berbahas tentang Palestin.
Tidak keterlaluan atau melulu sekiranya gerakan berpameran karya seni sebagai respons tindak balas berkaitan isu Palestin tidak disambut ataupun mendapat sambutan suam kalaupun tidak dingin daripada seniman Malaysia yang bukan beragama Islam.
Reaksi sedemikian bukanlah terbendung dalam bidang seni rupa sahaja.

Sayang sekali; ini tentunya pengamatan pukul rata yang luas. Namun, itulah hakikatnya. Setiap orang berhak atas setiap pandangan, fahaman dan tindakan mereka sendiri. Isu Palestin selama ini dibingkaikan dengan penekanan yang lebih memusat pada Islam atau Islam-sentrisme. Kesannya, kita harus menanggung akibat daripada perpecahan dalam dunia seni.
Jarak dan Penjarakan (Separation and Reach) adalah hal utama atau intisari yang memerlukan perhatian dan penelitian seniman sewaktu berkarya di gelanggang seni rupa yang melibatkan pengamatan sosiopolitik dan masyarakat.
Seniman harus peka secara tulus setakat mana tahap serta had empati — merasa sesuatu yang dirasai oleh pihak lain, dan memancarkan gerak hati melalui karya dan pengkaryaan.
Inilah inti asas — atau elemental core — para seniman yang bergiat di lapangan seni yang bergelut kemasyarakatan.
Bumi Palestin letaknya 7,000 km dari tanah air Malaysia. Apakah jarak yang sebegini jauh tidak mencabar pengamatan dan pemikiran seniman, atau tidak menjentik jantung dan keputusan estetika mereka? Dapatkah seniman merasakan masin dan masam keringat anak kecil Palestin yang ketakutan, yang mencari perlindungan di lantai ruang bawah tanah?
Pertanyaan sebegini, walaupun satu keperluan, sememangnya payah dijawab secara terang dan tulus.
Lebih baik kita berterima kasih kepada Internet dan stesen berita Al-Jazeera kerana Berjaya merapatkan jarak antara situasi, protagonis, pelaku dan seniman.
Bagaimanapun kita mesti merapatkan jejari kesyukuran terhadap kedudukan geografi Semenanjung Malaysia yang strategik dibuai angin Timur dan Barat sehingga begitu sesuai sebagai destinasi pelarian politik dan kekejaman, migran ekonomi dan pencari rezeki menapakkan diri untuk mengubah hidup mereka. Negara sesuai. Rakyatnya sopan dan berhati baik.
Tetapi kita juga harus bertanya kenapa empati terhadap warga Rohingya, Uighur, Kachin, Bengali, Syria, Somali, Yemen dan beberapa etnik lain yang ada di sekitar Lembah Kelang tidak setaraf berbanding dengan apa yang dilimpahkan terhadap warga Gaza?
Padahal mereka ini ada bersama-sama kita, berdepan mata, bersua muka dan berbicara mesra sekali sekala. Malah tidak perlu imaginasi hebat untuk menakrifkan masamnya keringat warga kerja Rohingya di Pasar Borong Selayang. Mereka ini ibaratnya boleh dicapai sebelah tangan. Seolah tidak ada ruang penjarakan. Tetapi mereka dipinggirkan dan jelas sekali, warga tempatan seolah-olah digalakkan untuk meminggirkan mereka secara bawah sedar.
Kenapa sehingga begini sekali?

Seolah-olah batasan empati adalah kedekatan jarak, sedangkan boleh saja kita menawarkan bantuan berupa barangan dan khidmat, atau bahkan dukungan ketenteraan. Selagi masalah masih ada dan berada ‘di sana’, embargo tidak berlaku di laman sendiri. Bantuan pula diberi dari jarak jauh.
Seringkali tragedi seperti yang berlaku di Gaza akan merapatkan saf dan hubungan antara warga yang berfikiran sesama ataupun tidak terlampau bergelumang percanggahan. Ini sifat warga manusia yang baik.
Fenomena yang murni ini kadangkala dicerobohi oleh mereka yang mengambil kesempatan, sama ada untuk tujuan yang tulus ataupun untuk membesar ego mencari publisiti murah.
Menunggang acara awam dan kesedaran masyarakat bukanlah sesuatu yang jarang berlaku atau keganjilan agung. Ini perkara biasa di mana-mana jua, di serata dunia. Ini tabiat manusia.
Kita berdoa dengan harapan bahawa pameran-pameran seni rupa di Malaysia yang bertema isu-isu bersangkutan Palestin tidak akan dicerobohi oleh petualang sebegitu. Semoga ‘artwashing’, atau penggunaan karya seni untuk membersihkan sesuatu yang negatif, yang dipelopori oleh syarikat pembangunan yang lazimnya mahu menyembunyikan tindakan gentrifikasi yang seterusnya melebarkan jarak kehidupan tidak merebak ke daerah dan ruang agitasi protes Gaza dan Palestin.
Walaupun kuda tunggangan bernama Gaza ini mantap sebagai peralatan promosi diri, kita tidak perlukan Gaza-washing!’
Jaafar Ismail
