DALAM usaha mengangkat dan memartabatkan karya-karya agung tempatan dan antarabangsa, Balai Seni Negara menganjurkan program Graff for Nation bermula 25 hingga 29 Oktober lalu di Hospital Lama Kuah, Langkawi, Kedah.
Program ini menekankan konsep Inovasi (Innovation), Kolaborasi (Collaboration), Pembangunan Profesional (Professional Development), dan Kebolehsuaian (Adaptability) dalam kalangan penggiat seni.
Graff for Nation adalah sebuah interpretasi pameran seni kontemporari dengan tema “Lukisan Letter”, di mana para seniman graffiti menghasilkan karya seni berbentuk huruf yang menterjemahkan intipati karya agung Malaysia dan serantau.
“Lukisan Letter” yang dihasilkan dalam gaya liar (wildstyle), berwarna-warni, dan bersifat 3D menghiasi ruang bangunan Hospital Lama Kuah, sekaligus turut menyampaikan mesej yang mencerminkan kekuatan budaya, semangat perpaduan serta kepelbagaian.
Program ini bukan sahaja menarik perhatian penggemar seni, tetapi juga bertujuan untuk membawa seni klasik dan budaya ke khalayak muda melalui pendekatan seni graffiti yang segar dan kontemporari.
Di tengah arus modernisasi dan perubahan zaman, Balai Seni Negara melihat keperluan untuk memperkenalkan karya-karya agung tempatan dan antarabangsa kepada golongan muda. Konsep yang dibawa ini tidak hanya menyuntikkan nafas baru kepada seni grafiti, tetapi juga menghubungkannya dengan tradisi sastera dan seni visual yang telah lama wujud.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, menegaskan bahawa Graff for Nation bertujuan untuk memperkukuhkan budaya dengan memaparkan elemen-elemen kesusasteraan dan seni klasik, dalam bentuk yang lebih dekat dan mudah difahami oleh generasi kini.
“Program ini menyatukan seramai 42 seniman graffiti dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Singapura, China, Sepanyol, Jerman, Rusia, United Kingdom, Kanada, Belgium, Turkiye, dan India.
“Mereka bersama-sama menggabungkan bakat dan inspirasi dalam menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja menarik, tetapi juga sarat dengan mesej budaya dan warisan tempatan,” katanya.
Beliau turut berkata, program ini disusun seiring dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempromosikan penerokaan karya sastera agung dalam kalangan generasi muda.
Pemilihan Hospital Lama Kuah sebagai lokasi program bukanlah sesuatu yang kebetulan. Lokasi ini pernah berjaya dihidupkan kembali sebagai pusat seni kreatif melalui acara Kuah Graffiti Festival (KGF) X Meeting of Styles (MOS), dan kini, ia kembali menyaksikan lonjakan kreativiti dan kolaborasi melalui Graff for Nation. Dengan menggunakan ruang-ruang bersejarah seperti ini, Balai Seni Negara bukan sahaja mengangkat warisan tempatan tetapi juga memberi peluang kepada pelukis graffiti untuk merasai persekitaran yang unik dan bersejarah.
Selain itu, Graff for Nation menggabungkan seni graffiti dan elemen budaya jalanan seperti streetwear, seni custom toy, serta budaya kopi. Program ini juga memperkenalkan aktiviti sokongan iaitu Nat Graff, yang bertujuan untuk mendekatkan komuniti seni dengan ekosistem tempatan seperti pereka grafik, barista, serta pengusaha makanan dan minuman, menjadikannya lebih meriah serta berimpak tinggi.
“Graff for Nation” ini dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Profesor Madya Dr Jalaini Abu Hassan. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah LPSVN, Fauzan Omar, dan Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Mohd Syuhada Abd Razak.
Dr Jalaini dalam ucapannya menyatakan bahawa program ini melambangkan usaha bersepadu pihak kerajaan dalam memperkenalkan seni graffiti sebagai medium penyampaian mesej budaya dan sejarah kepada khalayak yang lebih luas.
Pada akhirnya, “Graff for Nation” bukan sahaja sekadar acara seni, tetapi merupakan usaha berterusan Balai Seni Negara dalam memastikan bahawa karya agung, sama ada tempatan mahupun antarabangsa, terus relevan dan dapat dihayati oleh generasi muda. Pendekatan ini bukan sahaja inovatif, tetapi juga menunjukkan komitmen dalam memperluaskan pemahaman dan penghargaan terhadap seni klasik melalui bentuk kontemporari yang dekat dengan jiwa generasi masa kini.
Dengan program seperti ini, Balai Seni Negara berjaya menjadikan seni graffiti sebagai medium penyatuan antara budaya moden dan tradisional. “Graff for Nation” mengangkat mesej bahawa seni tidak mengenal batas, malah mampu menjadi jambatan untuk generasi muda mendalami dan menghargai warisan seni dan budaya.

