“INI lah kali pertama saya mendengar apa itu BMS,” kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi. Dia berkata demikian ketika berucap diatas pentas, dan didengar oleh ratusan jika tidak ribuan orang. Kebanyakannya adalah seniman dan mereka yang terlibat dalam dunia yang satu itu.
Ini bukan kali pertama orang politik menendang mulut sendiri.
Lama dulu, juga ketika sedang berucap diatas pentas di Balai Seni Negara, menteri yang menjaga kesenian dalam kabinet kerajaan Malaysia yang tercinta ini mengatakan bahawa semasa disekolah, dia sentiasa mendapat tempat yang paling corot dalam mata pelajaran seni dan “sekarang saya jadi menteri seni”.
Entah dia berjenaka atau entah sedang berbangga.
Lagi lama dari itu semasa dalam satu pameran lukisan di sebuah negeri, exco keseniannya tidak dapat membezakan yang mana satu aliran dan apa pula yang dikatakan sebagai medium dalam seni rupa dan baru-baru ini dalam satu bual bicara tentang seni rupa seorang pensyarah seni memberitahu yang dia tidak pernah tahu tentang adanya apa yang disebut sebagai ‘penyataan karya’. Dia bertanya adakah pernyataan karya sama dengan apresiasi karya.
Pensyarah maktab perguruan ini kelihatan agak senior. Dia juga kelihatan benar-benar ikhlas tidak tahu.
Secara ringkasnya, apresiasi karya diberikan oleh orang yang melihat karya dan pernyataannya pula dibuat oleh orang yang menghasilkan karya tersebut. Sementara medium adalah bahan yang digunakan dan seni rupa itu mempunyai pelbagai aliran. Google dan anda yang budiman akan tahu mengenainya.
Untuk makluman, BMS adalah singkatan kepada Bakat Muda Sezaman iaitu satu pencarian seniman muda yang berbakat luar biasa oleh Balai Seni Negara. Acara ini bermula sejak tahun 1974 dan telah melahirkan ramai seniman yang mengharumkan nama negara. Ianya diadakan setiap dua tahun dan pemenangnya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 disamping hadiah lain. Jumlah yang akan diterima oleh pemenang hadiah Seniman Negara yang akan diumumkan pada tahun ini juga RM30,000.
Begitulah negara yang sangat kita cintai ini, seniman muda dan seniman negara nampaknya berada diaras yang sama di mata kita.
Setelah 50 tahun, timbalan perdana menteri kita baru saja kelmarin tahu mengenai BMS. Dipihak seniman tentu saja kita boleh menyalahkan diri sendiri kerana gagal memperkenalkan pencarian itu kepada dia serta orang ramai dan kepada orang yang berada disekeliling Ahmad Zahid pula, mereka telah gagal untuk memberitahu dia mengenai apa acara yang akan dihadirinya sehingga ianya menampakkan betapa tidak prihatinnya dia kepada seni dan seniman dalam negara ini.
Ahmad Zahid sendiri pula bersalah apabila lebih mementingkan untuk dilihat diapa acara sekalipun tanpa mengambil tahu apa yang sedang berlaku.
Ini tentu saja tidak akan memenangkan sebarang undi dari seniman kepada dia di masa akan datang sedangkan menang undi adalah satu-satunya maksud hidup semua ahli politik.
Berfikir secara kreatif tidak bermaksud kamu harus menjadi seniman. Begitu juga jika kamu ke sekolah seni halus. Menjadi seniman bukan wajib setelah kamu lulus pengajian. Kadangkala,berpikir secara kreatif menjadikan seseorang itu lebih waras.
Terbaru, Timbalan Menteri pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan bertanya;
“Berapa markah abang boleh bagi untuk karya ni?”
Dia bertanya kepada pensyarah seni halus Dr Jalaini Abu Hassan tentang karya agung seniman Latiff Mohidin yang amat terkenal itu yang berjudul ‘Pago-Pago’ dalam satu majlis yang diadakan di Balai Seni Negara.
Sebagai orang yang bertanggungjawab kepada hal seni dan budaya dan tidak tahu apa itu Pago-Pago adalah sesuatu yang malang. Malang kepada dia sendiri dan tentu saja malang juga untuk mereka yang bergantung harap kepada agensi yang diwakilinya.
Tentu saja pertanyaan begitu tidak sepatutnya datang, walau pun sekadar seloroh, dari dia di Balai Seni Negara, tempat yang sepatutnya dia tahu menyimpan perbendaharaan visual negara yang termegah itu.
Kata sesetengah orang seni adalah milik kaum elit dan mereka tidak salah jika apa yang mereka maksudkan adalah hak dalam berjual beli karya seni rupa. Jual beli karya memang diketahui sebagai mainan mereka yang berada di papan atas dalam masyarakat.
Namun apabila elitis politik sendiri mempamerkan betapa benaknya mereka dalam menghargai karya-karya seni, maka pendidikan awal dalam tahu cara menghargai seni secara menyeluruh adalah diperlukan.
Anak-anak seawal disekolah rendah sudah sepatutnya didedahkan bagaimana untuk menghargai apa juga bentuk kesenian. Dengan yang demikian mereka bila jadi menteri nanti tahu apa itu Pago-Pago, Ayahku Dan Angkawasan, Gunung Ledang dan sekian banyak lagi karya agung seniman tempatan.
Sains, teknologi atau kejuruteraan melahirkan mereka yang akan memajukan negara sementara seni pula menjadikan mereka itu manusia.
