Program Young Art Entrepreneurs (YAE!) perlu terus berjaya dan diberi nilai tambah baharu agar sentiasa relevan dengan peredaran zaman, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Berucap merasmikan pameran akhir YAE! kohort ke-9 baru-baru ini, Mohd Yusri berkata nilai tambah baharu diperlukan untuk program ini agar ianya bersesuaian dengan model perniagaan inklusif Madani iaitu strategi untuk menyediakan peluang mata pencarian secara komersial melalui aktiviti perniagaan bersama sektor korporat.
“Saya amat berharap kepada mana-mana pihak sama ada korporat atau awam yang berminat dengan produk dan model perniagaan peserta YAE! ini dapat turut sama menggembleng tenaga dan melabur serta bekerjasama untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) Shaik Rizal Sulaiman, Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad dan Pengurus Besar GMBB Kuala Lumpur Lim Ying Hui.
YAE! merupakan program anjuran Balai Seni Negara sejak 2017 dan telah melahirkan seramai 138 usahawan seni melalui program ini.
Bertemakan ‘Embracing A New Chapter’, program YAE! kohort ke-9 berjaya menarik penyertaan 15 peserta terpilih untuk menjalani sesi pembelajaran ilmu keusahawanan secara intensif selama empat bulan di Art Depot, Balai Seni Negara.
YAE! bertujuan untuk memberi persediaan kepada penggiat seni muda dalam melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ciri keusahawanan dalam bidang seni yang maju serta berdaya saing.
Dalam satu kenyataan, Balai Seni Negara memaklumkan, sepanjang pelaksanaannya, peserta didedahkan dengan asas keusahawanan, kaedah pengurusan projek, teknik promosi dan pemasaran serta kaedah membina ‘Business Model Canvas’ yang betul.
“Mereka turut berpeluang menyertai pasaran seni di program kesenian dengan sokongan Balai Seni Negara dan berkongsi pandangan melalui penganjuran bengkel seni,” kata Balai Seni Negara.
Balai Seni Negara juga menjemput orang ramai untuk ke pameran akhir ‘YAE!: Embracing A New Chapter‘ di pusat membeli-belah GMBB Kuala Lumpur yang akan berakhir pada 8 Julai ini.
