JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat (A.S) telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan semula lebih daripada $100 juta aset, termasuk karya seni oleh Andy Warhol dan Claude Monet, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jabatan Kehakiman A.S mengumumkan pelucuthakan pada hari Rabu, selepas Hakim Daerah negara itu, Dale Fischer di Los Angeles meluluskan perjanjian persetujuan dengan Low dan keluarganya pada hari Isnin.
“Perjanjian itu menyelesaikan tindakan rampasan sivil terhadap sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni yang terletak di Switzerland oleh Andy Warhol dan Claude Monet, yang dibeli Low dengan jumlah keseluruhan kira-kira AS$35 juta (RM165 juta).
“Selain itu, pihak-pihak itu juga bersetuju untuk memulangkan kepada Malaysia hartanah dan wang tunai dalam akaun bank bernilai kira-kira AS$67 juta (RM315.7 juta) yang terletak di Hong Kong, Switzerland dan Singapura,” kata Jabatan Kehakiman AS.
Aset itu akan menambah kira-kira AS$1.4 bilion (RM4.7 bilion) yang telah dikembalikan dengan bantuan AS, kata Jabatan Kehakiman.
Jho Low yang dikehendaki masih bebas dan tidak dapat dipastikan lokasi dia berada.
