BAGI banyak ahli profesional dan institusi, kayu pengukur untuk menilai kecemerlangan selalunya dikaitkan dengan aspek pengantarabangsaan, iaitu setakat mana individu, kelompok, pergerakan atau institusi itu dikenali di peringkat global. Dalam dunia akademik misalnya, semua universiti dan kolej juga berlumba-lumba untuk menduduki ranking atau pemeringkatan yang tinggi dalam persaingan global.
Malahan, di universiti-universiti awam, sudah diwujudkan unit atau jabatan hubungan antarabangsa dan juga jawatan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan untuk meneliti dan memacu hal sedemikian. Tidak dinafikan, kedudukan tinggi di pentas antarabangsa itu merupakan suatu pengiktirafan dan selalunya akan membawa banyak kebaikan.
Hal ini sama juga dengan dunia seni lukis kontemporari, jika tidak, mana mungkin Balai Seni Negara dan malahan galeri-galeri swasta juga menjadikan pengantarabangsaan itu sebagai salah satu agenda dan hala tuju yang utama. Perkara ini dihuraikan sendiri oleh En. Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara dalam program Bicara Seni “Oita Asian Sculpture Competition: Satu Landasan untuk Pengarca Malaysia Memperkenalkan Arca Tempatan ke Peringkat Antarabangsa” pada 30 Oktober 2024 (Rabu) lalu di Auditorium Balai Seni Negara.

Dimudahcara oleh Pengarah Bahagian Konservasi Balai, Intan Rafiza Abu Bakar, selain daripada Amerrudin, program Bicara Seni itu turut menampilkan ahli-ahli panel lain yang terdiri daripada pengarca Profesor Madya Ramlan Abdullah, Dr. Rosli Zakaria dan Muhammad Idrus Rani, finalis 17th Oita Asian Sculpture Exhibition 2024.
Bicara Seni itu dimulai dengan penjelasan Ketua Pengarah Balai mengenai hala tuju dan pendekatan pengantarabangsaan institusi seni awam itu. Amerrudin memulakan bicaranya dengan mengimbau perkhidmatan panjangnya dengan Balai yang sudah menjangkau 27 tahun ketika institusi seni itu bertapak di Hotel Majestic lama bertentangan dengan Stesen KTM.
Pada tahun 1998, beliau telah diberi peluang untuk menghadiri program Pertandingan Seni Arca Oita bersama-sama dengan Redza Piyadasa, yang ketika itu merupakan salah seorang juri pertandingan dan penasihat kuratorial Muzium Fukuoka. Justeru itu, dia merasa begitu dekat dengan pertandingan itu dan malahan merasakan amat perlu dihidupkan kerjasama dengan Oita, contohnya melalui keterlibatan Malaysia sama ada dalam aspek perjurian ataupun apa-apa sumbangan seperti pertukaran kemahiran dalam seni arca awam.
Hal ini baginya adalah sebahagian daripada aspek pengantarabangsaan yang menjadi agenda penting Balai, di samping terlibat aktif dalam keahlian badan profesional International Council of Museums (ICOM), khususnya dengan fokus kepada seni moden dan kontemporari. Di samping itu, tumpuan kepada persoalan seni negara juga amat kritikal dan menjadi keutamaan, dengan pendekatan desentralisasi ke seluruh negara melalui program seni di lokasi dapat dimanfaatkan khalayak dari segenap lapisan kehidupan. Meskipun demikian, keperluan asas sebuah muzium seni seperti pameran tidak akan diabaikan.
Di antara strategi pengantarabangsaan yang disebut Amerrudin termasuklah membawa seni Malaysia ke luar negara dan meneliti persepsi antarabangsa terhadap kita, baik dari segi penulisan, kritikan dan laporan tentang apa yang kita lakukan bagi mengatur stratregi susulan. Penilaian juga perlu dilakukan perihal pengumpulan karya seni pelukis tempatan oleh muzium ataupun kolektor seni luar negara.
BACA JUGA: Bagaimana Putrajaya sepatutnya membelanjakan RM30 juta untuk Belia Kreatif MADANI
BACA JUGA: Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia MADANI: Kepentingan penerbitan buku bacaan kanak-kanak
BACA JUGA: Pyanhabib di mata mereka
Namun begitu, aspek pengkomersialan bukanlah menjadi fokus Balai kerana ini mungkin menimbulkan “conflict of interest,” sebaliknya tumpuan adalah kepada strategi pemeliharaan dan pemupukan ilmu pengetahuan, artifak, dan manuskrip. Justeru itu, antara perancangan program yang telah diatur termasuklah pameran koleksi tetap yang baharu, kajian Asia Tenggara, program residensi dan seni di lokasi.
Rentetan daripada idea seni di lokasi, penglibatan Dr. Rosli Zakaria dalam Bicara Seni ini amat bermakna berdasarkan pengalamannya sebagai pendidik dan pengarca yang telah menganjurkan beberapa program seni dalam komuniti dan ruangan podcast “Borak Arca” yang diikuti ramai sejak dimulakannya empat tahun lalu ketika dunia menghadapi pandemik Covid-19.
Pengalaman penyelidikannya mengenai topik seni arca awam juga amat membantu lebih-lebih lagi dalam konteks membicarakan pertandingan seni arca di Oita ini. Justeru itu, kunjungannya bersama Amerrudin dan Idrus ke Oita, Jepun baru-baru ini, bukan sekadar menghadiri majlis penganugerahan pertandingan, tetapi juga bagi meneliti kondisi karya-karya Malaysia di sana dan mengatur stratergi bagi kerja-kerja restorasi dan memperkasakan arca awam di negara ini serta penglibatan karyawan negara dalam edisi Oita akan datang.
Dalam sesi ini, Rosli telah memberikan gambaran selayang pandang perkembangan arca awam di Malaysia sejak zaman sebelum merdeka lagi, misalnya merujuk arca Stamford Raffles di Singapura (1887) sebagai salah satu contoh awal, kemudiannya diikuti contoh-contoh lain termasuklah Tugu Negara, serta karya-karya seniman lain seperti Ariffin Ismail, Zakaria Awang, Ramlan Abdullah dan lain-lain.
Sambil menegaskan bahawa arca awam itu lebih terbuka dan mudah dihayati, berbanding arca di galeri yang perlu dikunjungi untuk ditatapi, Rosli menyifatkan Ramlan Abdullah sebagai “Duta Oita” atas kejayaannya memenangi anugerah itu pada tahun 1995 dan menjadi suri teladan bagi pelajar-pelajarnya dan pengarca-pengarca muda. Disiplin, pendekatan dan kaedah Ramlan bekerja sewaktu menyiapkan arcanya di Oita itu telah memberi gambaran dan imej yang baik mengenai kegiatan pengarca di tanah air.
Ramlan Abdullah dalam sesi Bicara Seni itu berkongsi pengalaman panjangnya terlibat dalam seni yang sudah menjangkau sekitar 34 tahun dan menceritakan proses kreatif dan cabaran-cabaran dilaluinya dalam penghasilan arca berjudul “Growth” yang memenangi anugerah Oita pada tahun 1995.
Proses itu bemula apabila dia bersama dua orang pengarca tempatan lain ditemubual oleh tiga orang kurator dari Oita pada tahun 1994. Hasil temubual itu, Ramlah telah terpilih dan dijemput untuk menghantar penyertaan yang kemudiannya berjaya ke peringkat akhir. Dengan peruntukan sebanyak RM50,000.00 yang diberikan kepadanya sebagai peserta finalis untuk keseluruhan proses termasuk bahan, bantuan teknikal dan pengangkutan, dia dikehendaki menyiapkan arca tersebut untuk dibangunkan di Oita kelak.
Kerja-kerja pembinaan arcanya itu telah dilakukan di Studio Seni Halus di Institut Teknologi MARA (ITM) tempat dia bertugas dan mendapat sokongan kuat daripada Dekan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka (KSSR) ketika itu, Dr. Muhammad Tamyes Bajuri. Menurut Ramlan, Tamyes juga percaya bahawa pemilihan Ramlan dalam pertandingan itu merupakan suatu peluang yang baik untuk proses pengantarabangsaan buat Ramlan, dan malahan untuk KSSR dan ITM juga. Bagi Ramlan sendiri, pertandingan Arca Oita itu merupakan suatu platform antarabangsa yang penting dan telah berperanan dalam membina kerjaya kreatifnya.
Penyertaan Malaysia di peringkat akhir Pertandingan Arca Oita tahun ini diwakili oleh pengarca muda Muhammad Idrus Rani. Seperti Ramlan, Idrus juga menegaskan bahawa persediaan untuk penyertaan acara ini perlu dilakukan dengan penuh cermat dan teliti, terutamanya bermula dengan benar-benar memahami syarat-syarat ketat yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur: jelasnya, tiada ruang untuk membuat kesilapan, hatta daripada sekecil-kecil hal mengisi borang hinggalah perihal teknikal karya seperti ukuran dan penggunaan bahan. Kesemuanya wajib mematuhi syarat!
Bukan hanya syarat-syarat yang tersurat ini, hal yang tersirat juga harus difahami peserta. Misalnya, karya-karya untuk penyertaan mestilah karya khas untuk pertandingan itu dan tidak boleh menyertai mana-mana pameran atau pertandingan lain, malahan tidak juga diwar-warkan di media sosial. Ramlan menyebut, pernah berlaku lima karya dari Malaysia ditolak penganjur Oita kerana pernah dipamerkan sebelum ini di pameran lain.
Hasrat Idrus untuk menyertai pertandingan di Oita itu bermula sekitar tahun 2012 setelah menamatkan pengajian Seni Halus di UiTM dan ketika dia menjadi pembantu di studio Ramlan. Di situlah dia belajar dengan lebih lanjut etika kerja seorang pengarca sambil terinspirasi dengan karya-karya Ramlan, termasuklah arca “Growth” yang memenangi anugerah Oita.
Meskipun penyertaan Idrus kali ini tidak memenangi anugerah, karyanya tetap diperagakan di sana. Ini juga merupakan suatu pencapaian besar memandangkan hanya enam karya sahaja yang terpilih ke peringkat akhir daripada ratusan penyertaan. Idrus menekankan bahawa fokus perjurian pertandingan ini adalah dari sudut makna dan kekemasan teknikal karya.

Tambah Ramlan pula, sebagai peserta, kita perlu tahu dan fahami apakah yang dikehendaki oleh pihak penganjur. Pernah dia bertanya kepada juri, apakah yang mereka tekankan dan karya yang bagaimanakah yang mereka harapkan. Jawab mereka, “karya yang indah!”: indah kepada agama, budaya dan kepercayaan; indah dari segi teknik, kadar banding, pengolahan bahan dan orientasi kepakaran dan ketrampilan. Justeru itu menurut Ramlan, “sebagai seorang pengarca, kita perlu kreatif dan kuat dari segi fizikal.”
Kekuatan fizikal bukan hanya suatu keperluan bagi seorang pengarca, malahan menjadi kemestian bagi arca awam yang dihasilkannya. Justeru itu, ketahanan dan kesesuaian bahan pembikinan arca dengan persekitaran amat penting dan perlu diberi perhatian serius oleh setiap pengarca. Rentetan daripada itu, kerja-kerja penyelenggaraan berjadual perlu dilakukan pada arca awam bagi memelihara keindahan dan jangka hayatnya. Ini yang Rosli Zakaria sebutkan, kunjungannya ke Oita bersama Amerrudin dan Idrus baru-baru ini juga bagi menilai kondisi arca Malaysia di sana dan merancang tindakan-tindakan susulan berkaitan restorasi dan penyelenggaraan yang perlu dilakukan.
Program Bicara Seni Arca Oita ini memberi gambaran bahawa pertandingan itu merupakan antara pintu seni global buat karyawan tempatan, khususnya bagi para pengarca muda. Di samping itu, ia juga menekankan peri pentingnya pengiktirafan antarabangsa terhadap kerja kreatif pelukis dan institusi kesenian seperti muzium dan galeri. Lantaran itu, tidak hairanlah pihak Balai Seni Negara, sebagaimana jelas Ketua Pengarahnya Amerrudin Ahmad pada awal bual bicara menyebut bahawa pengantarabangsaan menjadi salah satu agenda penting institusi awam itu.
Antara peranan asas yang penting bagi muzium dan galeri seni awam adalah untuk membina koleksi awam, penganjuran pameran, penyelidikan mengenai koleksinya dan penerbitan. Kesemua ini berperanan meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan khalayak di samping memelihara budaya dan warisan kesenian.
Selain daripada program pengantarabangsaan yang memperkenalkan kerja seni karyawan tempatan dan meletakkan institusi seni negara di pentas global, adalah diharapkan agar pihak Kerajaan akan dapat memperuntukkan dana yang lebih besar bagi perolehan karya seniman tempatan bagi membina koleksi awam di Balai Seni Negara.
Hal ini kerana koleksi yang besar dan baik juga merupakan suatu pelaburan jangka panjang, kalau pun bukan dari sudut pengkomersialan, tetapi dari aspek ilmu, pendidikan, budaya dan ketamadunan.
Koleksi yang baik mencerminkan keindahan tamadun yang mampu diukur dari aspek kesenian dan sudah pasti ini juga mendukung usaha pengantarabangsaan yang hendak dilakukan, sebagaimana penglibatan dalam Pertandingan Seni Arca Oita itu menjadi salah satu pintu ke pentas seni global.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

