GALERI Puteh tidak pernah diam tanpa sebarang pameran sejak ia mula dibuka hujung tahun lalu. Setiap bulan pasti aka nada pameran seni dianjurkan.
Kali ini, dengan bangganya Galeri Puteh mempersembahkan pameran berkumpulan yang menggambarkan karya seni daripada 41 seniman dan rakan dari komuniti seni Ara Damansara.
Pameran ini mewakili beberapa seniman kontemporari yang bekerja dari studio-studio mereka di Ara Damansara, Selangor.
Dinamakan sebagai “ADA Kawan-Kawan,” pameran ini mencerminkan keakraban dalam kalangan komuniti seniman yang telah terbina melalui persahabatan di UiTM dan di luar universiti itu.
Pameran ini adalah satu perkembangan daripada pameran “ADA Show” pada tahun 2015 yang menampilkan karya daripada 17 seniman.
“ADA Kawan-Kawan” menandakan evolusi dan pertumbuhan tempat seni ini – dari segi lokasinya yang strategik dan aksesibilitinya yang menarik generasi baru seniman untuk menetap dan mencipta seni di sini.

Dalam pameran ini, kita dapat menyaksikan kepelbagaian seniman muda dan veteran dalam mencipta seni dan mengejar hasrat kreatif mereka.
Karya-karya mereka merangkumi lukisan, seni ukiran, patung, dan instalasi.
Walaupun berbeza dalam pendekatan seni, semua seniman Ara Damansara berkongsi tema kemajuan dalam usaha seni mereka.
Banyak diantara mereka bermula sebagai pembantu seniman sebelum berjaya menjadi seniman profesional. Ada juga yang menjalankan pekerjaan harian dalam bidang pentadbiran seni, fotografi, reka bentuk grafik, dan perdagangan seni.
“ADA Kawan-Kawan” adalah satu pameran yang merayakan semangat kebersamaan dalam kalangan seniman di Ara Damansara dan menunjukkan bahawa seni adalah titik pertemuan antara kepelbagaian dan ketekunan.
Galeri Puteh dengan bangganya menjadi platform untuk meneroka dunia seni yang sentiasa berkembang di kawasan ini, dan pameran ini adalah penanda aras kejayaan dan aspirasi seniman-seniman ini yang berbakat.
Pameran ini tidak hanya memaparkan karya seni yang mengagumkan, tetapi juga meraikan semangat kesatuan dalam komuniti seni yang semakin berkembang di Ara Damansara.

