AGAKNYA, kalau ada orang tanya apa kekesalan kami dalam hidup, kami akan jawab tiada apa-apa. Hidup kami selalu mudah. Semuanya Tuhan beri laluan senang.
Dari kecil, orang masakkan nasi, basuhkan baju, dan buatkan kopi. Semua disediakan. Sampai hari ini, kalau ada orang minta kami buatkan kopi, basuh baju atau masak nasi, kami tempeleng.
Harapannya, perjalanan di akhirat nanti pun senang juga, walaupun kami banyak dosa.
Tapi kalau orang mendesak dan mahu tahu juga, kami akan katakan bahawa perkara yang paling kami kesalkan ialah kerana tidak dapat mempertahankan Rajawali Art Group Internationale (Rajawali).
Kami ceritakan sedikit bagaimana Rajawali ditubuhkan.
Semasa cuti panjang lama dulu, kami terserempak dengan Ajis, seorang pelukis potret lagenda di Kuantan. Bukan Ajis Marine Art itu, tetapi rakan serumahnya semasa Ajis Marine Art berkelana di Kuantan. Kedua-dua Ajis ini pernah melukis di Taman Kerang, tempat yang seakan-akan Pasar Seni di Kuala Lumpur pada waktu itu.
Kami juga pernah melukis di sana bersama Abu Yusof. Cuma, kami berdua tidak melukis potret, sebaliknya membuat kad ucapan. Seperti biasa, kami tewas dengan Abu dalam bab menghasilkan kad yang lebih menarik dan romantis. Rasanya, kalau kami selongkar di mana-mana, masih ada kad yang dilukis oleh Abu yang kami simpan. Nanti, jika terjumpa, kami akan kongsikan.
Kami kenal Ajis sudah agak lama dan kebetulan menaiki bas yang sama, yang tiba-tiba tergendala di tengah jalan pada hari itu. Waktu itu, dia bekerja sebagai pelukis batik untuk sebuah syarikat yang agak terkenal. Kami lupa namanya, tetapi syarikat berkenaan kerap menaja pakaian yang dipakai oleh pembaca berita TV3.
Entah dari mana datangnya ilham, kami katakan kepada Ajis, pelukis potret itu, bahawa kami akan membuka sebuah studio untuk bekerja bersama-sama.
Ajis meminta kami memberitahunya apabila studio itu sudah dibuka, walhal ketika itu kami sendiri belum tahu di mana studio tersebut akan beroperasi.
Beberapa tahun kemudian, kami pun membuka studio tersebut.
Idea untuk mengumpulkan para pelukis bekerja dalam satu tempat ini timbul apabila kami melihat pelukis di bandar Kuantan bekerja secara berselerak. Tiada tempat khusus untuk mereka, dan masing-masing hanya melakukan hal sendiri. Mereka jarang bertemu, dan orang yang mahu mencari pelukis juga menghadapi kesukaran kerana mereka sukar dihubungi.
Kami fikir, jika ada satu studio di mana semua pelukis boleh duduk bekerja dan saling membantu, mungkin mereka akan lebih produktif.
Lalu, sebuah rumah di Taman Cenderawasih, Kuantan, telah kami jadikan sebagai studio.
Asalnya, kami ingin menamakan studio itu sebagai Studio Cenderawasih, sempena nama taman perumahan tempat studio tersebut dibuka. Tetapi, pada fikiran kami, bunyinya terlalu feminin. Rasanya, Abu Yusof yang mencadangkan nama Rajawali, dan kami pun menerima cadangan tersebut.
Orang menyangka kami menamakan studio demikian kerana kami peminat M. Nasir.
Orang pertama yang datang bekerja di studio tersebut ialah Radzuan Mat Diah, seorang guru sekolah yang rajin berkarya. Kami sendiri mendisiplinkan diri untuk datang bekerja setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Seperti kerja pejabat.
Yalah… Nak kerja pejabat, sekolah tak tinggi, jadi kami buat pejabat sendiri.

Kami menghubungi Ajis untuk memberitahunya bahawa studio yang kami sebut dahulu sudah dibuka. Tidak lama kemudian, dia berhenti kerja di Kuala Lumpur dan terus tinggal di studio Rajawali.
Abu Yusof, yang masih bekerja ketika itu, akan datang pada waktu malam untuk melukis. Lama-kelamaan, studio tersebut menjadi tempat berkumpul pelukis yang aktif di bandar Kuantan.
Radzuan Mat Diah, Abu Yusof, Nazri Chot, Ajis, Najihah Lee, Cikgu Badrul, dan juga Amin Daud merupakan kumpulan pertama yang aktif di Rajawali. Waktu itu, kami juga telah melantik Osman Limat sebagai penghulu. Osman Limat adalah antara pelukis yang paling produktif di Rajawali.
Para pelukis datang setiap hari ke studio untuk berkarya. Pada peringkat awal, tidak ada satu pun lukisan yang dihasilkan berjaya dijual. Namun, mungkin kerana adanya tempat untuk berkumpul, mereka tidak menghiraukan soal jualan. Mereka terus melukis.
Bila lapar, kami akan menelefon Ruslan Khalid, seorang pelukis yang juga seorang kontraktor pendawaian elektrik. Kami paksa dia belanja makan, dan selalunya dia tidak menghampakan kami. Kesian agaknya melihat kami lapar.
Setelah beberapa lama, kami mengajak Ali Shamsul Bahar untuk bersama di studio, dan dia bersetuju. Ali adalah jurufoto perkahwinan nombor satu di bandar Kuantan pada waktu itu selain memberi tumpuan kepada merakam suria pagi dan matahari senja. Kami memanggilnya sebagai nabi jurufoto Majusi.
Setiap petang dia bersama pengikut ajaran tidak berhemahnya itu akan berada dibawah Jambatan Tanjung Lumpur untuk merakam foto senja nan merah manakala di waktu pagi sebelum imam sempat memberi salam yang kedua, mereka sudah berada di Teluk Chempedak.
Kerana mereka adalah pengemar cahaya, Ali kadang kala berada diantara beriman dan tidak bila dia sedang ralit memfoto dan hujan pun datang. Kami kadang tidak dapat membezakan kemarahannya itu dilontar kepada hujan atau kepada Tuhan.
Bawa betobat Li….
Kami pernah bertanya kepada Ali mengapa dia hanya menumpukan perhatian kepada majlis pertunangan, akad nikah, dan bersanding, tetapi tidak mahu merakam foto aksi malam pertama pengantin kerana ia juga satu kenangan yang terindah. Kami dimarah dan dikatakan sebagai kaki lucah. Walhal kami sangat ikhlas bertanya.

Kami rasa dia tidak tahu yang jika foto-foto itu dijual kepada ONLY FANS, tentu saja harganya lebih lumayan jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan oleh Shutterstock atau Getty Image misalnya.
Hari ini, Ali lebih cenderung merakam aksi burung. Merata rawa dia merendek mencari burung. Dia yang gila burung kami pula yang dikatakan kaki lucah. Baser.
Begitu pun, Ali diberi tanggungjawab untuk membayar semua bil utiliti Rajawali. Dia melakukan perkara tersebut dengan amat baik. Cuma diakhir-akhir hayat studio tersebut, kami semua agak tidak mampu membayar bil eletrik. Kami pun berpakat dengan Lan Khalid untuk membuat pendawaian haram dan hampir dua tahun juga kami jimat dari membayar bil berkenaan.
Dosa ini kami serahkan kepada Ali yang tak bayar bil dan juga Lan Khalid yang membuat pendawaian haram. Menjawab la mereka bedua tu nanti.
Seperti yang kami katakan tadi, pelukis Kuantan ini memang kaki buat sepah.
Kami pula dibesarkan dalam suasana yang bersih. Kerana letih terpaksa menyapu sampah, membersihkan kencing kucing setiap hari, dan melakukannya dengan panas hati, kami mendapat idea untuk menjadikan studio tersebut sebuah galeri.
Harapannya, jika sudah menjadi galeri, para pelukis akan lebih menjaga kebersihannya. Taktik kami itu boleh dikatakan berjaya. Studio yang sentiasa semak itu nampaknya menjadi lebih kemas, dan para pelukis hanya bekerja di luar kawasan pameran.
Pameran pertama yang kami adakan ialah untuk hasil karya pelukis Abu Yusof. Out of The Blue adalah judul pameran tersebut, dan kami rasa ia adalah satu tajuk yang memberi banyak makna.
Selain menjadi pameran solo pertama Abu, ia juga adalah pameran pertama Rajawali. Pameran tersebut muncul di bandar Kuantan secara tiba-tiba, out of the blue.
Pameran itu telah dirasmikan oleh Exco Pelancongan Pahang ketika itu, Shafiq Fauzan.
Bermula dengan pameran tersebut, Rajawali telah mengadakan pameran seni lukis dan juga fotografi setiap bulan selama hampir 10 tahun.
Selain Shafiq Fauzan, semua Exco Pelancongan Pahang yang bertugas sepanjang Rajawali masih aktif pernah datang melawat. Mereka biasanya diraikan juga oleh pegawai-pegawai kebudayaan negeri.
Dan mereka semua datang dengan janji mahu membawa Rajawali terbang lebih tinggi. Tapi macam biasalah, janji orang politik. Exco bertukar, dan Rajawali pun terbakar.
Pun begitu, Shafiq Fauzan adalah exco pelancongan Pahang yang banyak memberi sokongan kepada Rajawali. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada dia.
Nanti, kalau rajin atau tiada pelukis yang mahu kami kutuk, kami akan tulis lagi mengenai Rajawali—bagaimana selama hampir dua tahun kami semua bekerja tanpa sebarang jualan dan juga tanpa bantuan.
Atau bagaimana artis dari dalam dan luar negara merasa teruja untuk datang ke Rajawali walhal kami sebenarnya propa je.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang mahu diangkat sebagai Seniman Negara satu masa nanti yang entah bila.

