Saya tertarik pada satu kenyataan bertulis di Wikipedia, “Pawang Ana adalah seorang penglipurlara atau penutur cerita-cerita Melayu tradisional yang disampaikan secara lisan.
Semua cerita penglipurlara yang beliau sampaikan dirakam dan ditulis semula oleh pegawai British di Tanah Melayu iaitu R.O. Winstedt (1878-1966) dan William E Maxwell.
Sungguh pun beliau rapat dengan pegawai British, beliau hanya dikenali sebagai ‘Pawang Ana’ sahaja dan tidak diketahui nama asalnya dan biodata tentangnya.
Antara karya ‘Seniman Rakyat’ ini yang telah dituturkan dan sempat dirakam ialah: 1). Hikayat Malim Deman. 2) Hikayat Raja Muda. 3). Hikayat Malim Dewa. 4) Hikayat Anggun Cik Tunggal. dan 5) Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
John Bastin dan R. Roolvink menyatakan setiap Sabtu petang mereka berkumpul di Rumah Rehat Temoh hingga petang Ahad.
“Winstedt formed friendship with two remarkable Malays who provided him with a mine of information about Malay lore…Beginning on Saturday afternoon and ending on Sunday evenings, this old Sumatran warrior recited Awang Sulong and other Malay folk-tales while Winstedt took them down.” Kegiatan merakam-salin ini berjalan dari tahun 1907 sehingga 1914.
Penglipur lara ialah seorang penggiat seni yang menyampaikan penceritaan dan biasanya diselitkan dengan syair, pantun, seloka dan permainan lenggok bahasa dan kata yang berunsur jenaka kepada khalayak ramai.

Istilah ini pada asalnya ‘’penghibur(penglipur) hati orang yang dukacita(lara)” Di Kelantan misalnya, Tok Selampit bercerita dengan iringan gesekan rebab, di Perlis, Awang Batil atau Awang Belanga bercerita sambil memainkan belanga atau bekas loyang.
Pada zaman dahulu, penglipur lara dianggap sebagai budayawan tempatan dan merupakan salah satu sastera lisan orang melayu yang berperanan sebagai sumber berita, hiburan dan pendidikan. (Wikipedia).
Langkawi Writers’ Festival tahun kedua, yang berlangsung pada 01-04September2023 membicarakan perihal penglipur lara dalam dunia moden. Hassan A Muthalib menulis ‘’seni persembahan tradisional adalah sebahagian daripada alam Melayu. Ia juga akar bagi sinema Malaysia. Seperti para penglipur lara di zaman silam, seorang pembikin filem hanya seorang tukang cerita.”
Dan ketika Dr. Hyzan Mohd Yusof bertanya kepada saya, atas dasar apakah dia dipilih sebagai panel, untuk segmen ‘MODEN PENGLIPUR LARA’, diganding pula bersama pengarah filem tersohor, U-Wei Bin HajiSaari, dan di kendalikan oleh Shahaanaz Habib, seorang bekas wartawan The Star; saya menjawab ringkas “Because you are a good story-teller”. A good storyteller yang saya maksudkan kerana Dr. Hyzan adalah seorang penyambung, saya sentiasa menemukan sesuatu ketika berbual dengannya.
Saya menemui ‘kehidupan’ dalam pengalaman dia bersama manusia yang dikongsi dan ia bergema dengan orang lain. Kita merasa didengari, berasa disahkan dan kita tidak berasa bersendirian.
Saya sudah mendengar dia bercerita tentang pengalamannya sewaktu menjadi sukarelawan sebagai doktor bedah tulang dalam zon perang beberapa tahun lampau.

Pelbagai zon perang. Pelbagai jenis manusia. Ceritanya bukan tentang mangsa perang tetapi kemanusiaan yang akan menyentuh hati, tanpa dia sedari.
Hanya atas alasan ini, berkali-kali saya meminta dia tampil ke khalayak, apatah lagi ke Langkawi Writers’ Festival dan hasilnya, penonton terdiam dalam kesedihan apabila ‘slide’ demi ‘slide’ dibentangkan. Tajuk pembentangannya ‘War, Resilience, Hope’.
Ia bukan cerita perang tetapi pengalaman peribadinya, peperangan dalam diri kitalah sebenarnya peperangan yang paling payah.
Rentetan dewan sunyi seketika di akhir pembentangan dan tiba-tiba Datin Barupawati Utamaju berdiri dan membacakan sebuah sajak yang ditulis waktu itu juga. Dewan bertepuk hampir sama dengan sorak sayu usai Datin membacakan “Sehelai Jaket Kulit”.
Shahaanaz sebagai moderator seakan membawa semua penonton ke zon perang.
Dia sangat bijak mengendali forum apatah pula dia sendiri mempunyai pengalaman dalam zon perang di Irak, Gaza, the uprising Yemen, Aceh, Egypt, Bangkok, tsunami di Aceh, gempabumi di Indonesia dan Pakistan; sebagai wartawan dan pernah pula menulis buku berjudul ‘Between Blood & Bombs – A Journal of War – Iraq 2003”.
Sehinggalah suasana dikendurkan kepada topik ‘’Deep Fakes In Modern Cinema’ oleh U-Wei HajiSaari menyorot kejadian perang tadi kepada pengaruh transfomatif pembelajaran mendalam dan manipulasi video dalam menggambarkan kejadian.

Ketibaan AI/Kecerdasan Buatan yang merasuk sekarang dan bagaimana teknologi ini dapat menawarkan alat penceritaan baharu kepada pembuat filem dan dalam masa sama meningkatkan pertimbangan etika penting mengenai herotan realiti dan kemungkinan penyalahgunaan.
Pembikin filem adalah penyair dan ‘griot’ zaman moden, menganyam naratif yang mencerminkan kerumitan keadaan manusia. Mereka mengangkut kita ke negeri jauh, menyelami pelbagai budaya, dan membuat kita merasakan spektrum emosi.
Dengan cara ini, filem menghubungkan kita dengan kemanusiaan bersama, memupuk empati dan persefahaman.
Saya membayangkan Pawang Ana ‘dihidupkan’ dengan AI dan barangkali menyambung cerita hikayat ‘Anggun Cik Tunggal’ di TikTok!
Segmen seterusnya menjadi riuh apabila Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari dalam berseloroh, ‘menganugerahkan’ gelaran Penulis Sajak Spontan kepada Datin Barupawati. Sasterawan Negara Ke-15 ini juga seorang pencerita/penyampai yang begitu bagus. Beliau hafal hampir empat ratus sajak!. Penonton tekun dan asyik terpesona akan setiap bait-bait ilmu yang disampaikan dalam tajuk “Puisi Berimpak Tinggi: Seni, Pemikiran, Identiti”.
Penonton yang paling muda di segmen ini berusia 13tahun, tidak berganjak dari tempat duduknya, mendengar dengan penoh minat dan mencetus ilhamnya untuk menulis sajak.
Selepas berhenti rehat untuk makan tengahari dan solat zohor, sebuah bual-bicara ‘Tradition and Continuity’ dikendalikan oleh Faisol Devo bersama Akma Suriati Awang.
Membicarakan lanskap fesyen, menyelidiki tradisi fesyen yang berubah-ubah dan mempersoalkan sama ada tradisi kita akan bertahan.
Faisol melihat pakaian penyanyi di tahun 60-an seperti Puan Sri Saloma, Kasma Booty, Siput Sarawak, yang berpinggang ramping memakai kebaya pendek berkain batik.
Koleksi pakaian tahun itu seperti berjaya menghipnotis kaum Hawa. Mereka mengayakannya dalam semua aktiviti. Berjalan-jalan atau ke tempat kerja.
Pemakaian kebaya dapat kita lihat disepanjang empat hari festival berlangsung pada Prof. Dr. Lee Su Kim. Kebaya dan kain batiknya bersulam halus dan cantik. Prof. Dr. Lee Su Kim turut ‘menghipnotis’ penonton-penonton di dewan Royal Langkawi Yacht Club dalam segmen ‘Meet The Author: The Craft In Writing’.

Penonton hampir dapat mendengar dentingan periuk dan kuali, perbualan riuh-rendah di dapur, melebihi desisan daging gorengan atas kuali dalam forum ini.
Disekeliling kita adalah sisa-sisa masa lampaunya – almari antik, gambar keluarga berwarna sepia dan rak yang dipenohi buku.
Sekilas kita melihat kehidupan Peranakan melalui campuran perabut lama dan baharu, termasuk almari cantik yang berisi hiasan seramik, pinggan berwarna-warni, cawan dan periuk dicirikan oleh warna enamel yang terang.
Dihiasi bunga dan burung phoenix yang indah. “Ia tidak sama lagi” keluh Dr. Lee. Banyak tradisi sudah pudar mengikut peredaran masa.
Ia tidak semegah dan semeriah dahulu. Rumah itu anehnya kelihatan kosong selepas Lee menceritakan perayaan dizaman kanak-kanaknya. Apabila kita mencapai usia tertentu, ramai ibu saudara dan orang seangkatan tidak ada lagi disitu.
Mereka semua telah pergi, membawa bersama banyak tradisi, resepi dan cerita. Dr. Lee Su Kim adalah generasi keenam Nyonya Peranakan, sentiasa berbaju kebaya sulam dan berkain batik di merata tempat.
Beliau adalah seorang pengarang, pendidik dan aktivis budaya. Trilogi ‘Kebaya Tales:Of Matriarchs, Maidens, Mistresses and Matchmakers, Sarong Secrets: Of Love, Loss and Longing and Manek Mischiefs: Of Patriarchs Playboys and Paramours.
Kebaya Tales telah memenangi hadiah Pertama dalam Anugerah Pilihan Pembaca Bintang Popular 2011(Fiksyen). Pada 2019 – Edisi Ulang Tahun ke-10 Kebaya Tales menyertakan beberapa cerita baharu, dengan sentuhan kontemporari.
Su Kim telah menulis lebih 12 buah buku dan terjual lebih daripada 10,000 salinan.
Saya juga pernah berangan-angan mengangkat cerita-cerita Nyonya ini ke filem.
Pernah kami dijemput membuat pembentangan di TV3 untuk siaran Netflix sebelum COVID19 melanda dunia.
Tiga buah filem ditayangkan semasa Langkawi Writers’ Festival tahun kedua ini. Pertama untuk slot Malam Tayangan Filem Antarabangsa ialah filem ‘The Baseball Player’. Arahan Carlo Obispo yang memenangi Pengarah Terbaik di AIFFA(2023).
Filem ini turut memenangi Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Penyuntingan Terbaik, Filem Terbaik di Cinemalaya Philippine Independent Film Festival tahun 2022.
Skrip ini ditulis berdasarkan ‘The Moro Conflict’ sebuah kisah pemberontakan beberapa kumpulan bersenjata Mindanao yang berlangsung sejak Mac 1968.
Kedua adalah telefilem ‘Kelab Rojak’ arahan Khairi Anwar, yang separuh penggambaran berlaku di Pulau Langkawi dan dibintangi pelakun tempatan seperti Natasha Hudson dan Faiz(seorang TikToker yang terkenal dengan gelaran ‘CEO Anjing’) dan beberapa anak-anak Langkawi lainnya.
Dan yang ketiga adalah telefilem ‘Jabat Erat-Erat’ arahan Wan Afzam bin Wan Daud. Telefilem ini merupakan satu-satunya adaptasi daripada tiga cerpen dan sebuah novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Novel kanak-kanak bertajuk ‘Sinappapal’ nukilan Azizi Haji Abdullah, manakala tiga cerpen, ‘’Sebatang Pensel” karya Ali Majod, “Bong Penentuan” karya E Pian Pro Poul, dan “Isteri Leong Beranak” karya A. Wahab Ali.

Empat karya ini dijalinkan oleh penulis skrip yang juga pengarah telefilem ini sendiri.
Dalam dunia hari ini, filem sememangnya penglipur lara moden, sebuah medium yang mempunyai kuasa untuk memikat, memaklumkan dan memberi inspirasi dengan cara yang serupa dengan tradisi lisan dahulu.
Langkawi Writers’ Festival meraikan bukan sahaja perkataan bertulis tetapi juga penceritaan visual dan pendengaran pawagam.
Ia menggalakkan penonton mengenali peranan pencerita dalam membentuk perspektif kita, mencabar andaian dan membangkitkan emosi terdalam.
Kami meneroka pengalaman manusia dari sudut yang tidak terkira banyaknya, mendapatkan pandangan tentang masa lalu, kini dan masa depan.
Langkawi Writers’ Festival juga bertujuan meraikan dan menghormati tradisi bercerita yang berkekalan ini dalam semua bentuknya, mengiktiraf kuasa kedua-dua perkataan dan imej untuk membentuk pemahaman kita tentang dunia dan diri sendiri.
Persoalannya, apakah kesinambungan akan tetap berlaku dalam budaya kita? Apakah kita hanya penglipur lara dan melihat ‘R.O. Winstedt” sahaja yang menulis?
Saya yakin pegawai British itu tidak menulis secara percuma. Saya juga yakin, dia tidak menulis berdasarkan minat.
Langkawi Writers’ Festival cuba mengajak komuniti untuk menjejak lebih ramai Penglipur Lara dan ‘R.O. Winstedt’ tempatan.
Tetapi, untuk memperkukuh budaya, ekonomi masyarakat harus mampan, harus berisi dan penoh poket.
Sama-sama kita menjayakan dan berdoa kehadrat Ilahi dengan sepenoh hati, agar Langkawi Writers’ Festival ini sendiri ‘berkesinambungan’.
