‘WAHAI anakku yang tercinta! Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja, yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikut kehendak nafsunya’.
Semasa bertemu dengan Seni Malaya, kami katakan yang kami meminta izin untuk menulis mengenai buku di portal ini. Kami dapati bahagian resensi buku di sana agak kurang dibuat orang dan dengan membuat ulasan kami berharap kami akan lebih rajin membaca.
Cadangan kami itu dipersetujui dan kami pun menyesal. Penulis yang sudah biasa menulis angin seperti kami tentu saja akan merasa dikekang apabila hanya menulis fasal buku. Namun kerana sudah berjanji maka itulah yang akan kami lakukan.
Pun begitu, kami mendapat akal. Di samping menulis mengenai buku kami boleh saja merapu. Kerana itu, di bahagian satu tulisan ini kami akan menulis mengenai buku Ayyuhal Walad karangan al-Ghazali manakala di bahagian seterusnya kami akan mengarut seperti biasa.
Harap kamu semua enjoi.
Dalam buku Karamnya Kapal Van Der Wijck tulisan Hamka, babak-babak yang paling kami gemari adalah bila membaca surat tulisan Zainuddin kepada Hayati dan sebaliknya. Buku itu kami baca lama dulu. Sama lama dengan masa kami pernah menulis dan menunggu posmen datang membawa surat balasan.
Jatuh cinta dan berkasih sebelum zaman elektronik seperti sekarang tentu saja lebih romantis. Seperti membaca buku, membaca surat yang ada fizikalnya adalah sangat memberahikan. Atau sekurang-kurangnya kami berpendapat sedemikian.
Buku lain yang juga berdasarkan surat menyurat adalah buku surat menyurat Mariam Jamilah-Maududi. Buku ini agak terkenal pada suatu masa dulu. Kami ingin mencadangkan agar kamu berusaha untuk membaca kedua-dua buku yang kami sebut tadi jika kamu belum membacanya.
Petikan yang membuka tulisan ini tadi diambil dari buku yang akan kami kisahkan ini.
Buku ini adalah hasil sebuah surat yang dihantar kepada Imam al-Ghazali. Penghantar surat bukanlah anak si penulis seperti judul buku berkenaan tetapi seorang pemuda yang juga muridnya yang mahu lebih faham fasal agamanya.
Walad atau anak pada judul buku ini merujuk kepada hubungan kasih sayang di antara pencari ilmu dengan gurunya.
Kamu yang sudah alim dan pandai semua perkara itu tidak perlu bertanya hal penting kepada ulama. Cukup sekadar kamu pelekeh dan peleceh mereka itu. Atau kamu boleh juga menumpukan tenaga yang lebih pada berkelahi mengenai siapa lebih sunni dan siapa lebih wahabbi. Sebagai pemerhati, kami doakan kamu menang.
Mereka yang menganggap diri mereka alim juga tidak perlu menunjukan kasih sayang bila menyampaikan ilmu. Maki dan herdiklah siapa saja yang ustaz rasa tidak sekufu atau tidak ada PhD macam ustaz.
Buku ini asalnya ditulis dalam Bahasa Parsi dan kemudiannya diterjemah ke bahasa Arab oleh orang alim dulu-dulu dengan judul Al-Risalah Al-Waladiyyah. Kemudian dari itu ianya diterjemahkan pula oleh Ahmad Fahmi Zamzam atau lebih dikenali sebagai Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al Makki.
Buku yang di tangan kami ini adalah dalam Bahasa Indonesia, jika tidak silap terjemahan dalam Bahasa Malaysia boleh didapati dari penerbitan Bibliophile yang banyak menerbitkan buku-buku sarjana islam itu.
Kerana kamu sibuk menerbitkan buku healing dan kisah cinta uda dan dara yang tidak berkesudahan maka Tuhan bagi si Kiridaren Jayakumar tugas yang mulia ini.
Abu Ali mula menulis terjemahan buku ini di dalam keretapi di India bulan November 1996 dan siap sepenuhnya di Masjid Jami Delhi India yang terkenal kononnya terdapat telapak kaki Nabi Adam Alaihissalam itu pada tahun yang sama.
Al_Ghazali membalas pertayaan muridnya itu dengan memberikan dua puluh lima nasihat. Mengenai Hakikat Hidup, Cinta Dan Amal beliau mengatakan:
‘Wahai anakku yang tercinta!
Hiduplah engkau sesuka-suka hatimu kerana engkau pasti akan mati. Dan cintailah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau pasti akan berpisah dengannya. Dan buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau pasti akan dibalas mengikut amalanmu’.
Sementara dalam bab yang lain, al-Ghazali menukilkan sebuah syair mengenai mengapa kita harus banyak bangun malam untuk beribadat.
Syair tersebut kami petik bahagian pembukaannya sahaja dan ianya berbunyi:
‘Sesungguhnya memangil-mangil di kegelapan malam burung merpati yang bertenggek di atas kayu. Ia terus sahaja menangis kerinduan, sedangkan aku mabuk dalam tidurku’.
Buku ini hanya sekadar tujuh puluh lapan mukasurat keseluruhannya dan boleh dibaca dengan sekali duduk sambil kamu menikmati sarapan pagi misalnya. Kami ingin mencadangkan supaya semua orang memiliki buku ini dan membawanya ke mana saja.
Ianya boleh dinikmati berkali-kali jika kamu memang jenis yang suka mendengar nasihat. Jika kamu bukan dari jenis itu maka lebih elok kamu habiskan masa pagi dan waktu selang atau ketika berbaring menunggu tidur dengan melayan tiktok.
Kami gemarkan bahasa yang digunakan oleh buku ini. boleh jadi ianya memang diterjemah ayat per ayat atau mungkin juga ianya adalah kesan terjemahan kedalam Bahasa Indonesia yang diketahui umum sebagai sangat puitis.
Segala nasihat yang diberikan seolah-oleh kita sedang mendengar perkataan yang datang dari seorang tua yang berhemah dan tidak mengharapkan apa-apa keuntungan selain kebahagiaan abadi si penerima nasihat itu.
Sebut fasal bahasa, baru-baru ini kami telah menghadiri satu acara bual bicara seni.
Sebelum itu izinkan kami memberi amaran bahawa sekarang ini kami akan memulakan bahagian kedua dari tulisan ini. Ianya adalah bahagian yang kami sebut sebagai bahagian di mana kami akan merapu. Tinggalkan bahagian ini jika kamu hanya berminat untuk membaca mengenai ulasan buku.
Kami merasa sangat dihormati dimajlis yang kami katakan itu. Bukanlah selama ini kami tidak dihormati bila kemana-mana acara. Bahkan kami ini adalah bintang paling cemerlang bila hadir di acara mana pun. Kehadiran kami sentiasa akan menerangi apa pun majlis. Ialah, apa nak dikata, kami star.
Kamu tentu bertanya mengapa kami merasa lebih dihargai di majlis memperkatakan karya terbaru seniman Rafiee Ghani yang di adakan di Galeri Puteh baru-baru ini dan di sini akan kami jelaskan.
Kami pernah singgah di lapangan terbang Heathrow semasa dalam perjalanan ke India. Bahkan kami agak lama di situ di sebabkan penerbangan kami tertunda. Mungkin lebih 3 jam. Akibat dari itu kami jadi pandai berbahasa inggeris. Bukan pandai sikit tapi pandai banyak.
Kami rasa pihak galeri berkenaan aware akan perkara ini.
Selain kami, ada tiga orang putih lain yang hadir di majlis berkenaan. Lalu untuk menghormati kami berempat, majlis berkenaan telah dijalankan 95% dalam Bahasa Inggeris.
Ditambah pula dengan kebetulan nama galeri itu sendiri adalah ‘PUTEH’ dan seniman yang diraikan pula adalah anak orang putih maka amat sesuailah acara tersebut melebihkan Bahasa Inggeris.
Mungkin kata kamu itu belum cukup untuk kami merasa dihargai dan disitu kamu silap jika menganggap majlis itu menggunakan Bahasa Inggeris kerana menghormati tiga orang asing itu.
Sedang majlis setengah berlangsung, tiga orang putih yang kami sebut tadi telah meninggalkan majlis dan dan di sinilah majis yang sebenarnya berlaku.
Walau hanya kerana tinggal kami yang pernah cakap orang putih dengan orang putih di negeri orang putih itu pun, majlis berkenaan masih dijalankan dalam Bahasa Inggeris! Jika ini bukan tabik hormat kepada kami maka kamu adalah melayu pakai tanjak tapi pakai kasut Vans.
Dari sudut mata kami melihat sebahagian hadirin terkial-kial berusaha untuk memahami apa yang diperkatakan oleh panel. Kami kesian kepada mereka. Kami yakin mereka adalah dari Kumpulan yang marah apabila khutub-khanah di Bangi sana memutuskan untuk menjulang perkataan ‘LIBRARY’ besar pada bangunan mereka. Kami syak mereka adalah Kumpulan rasis melayu yang sedang giat mahu menjatuhkan kerajaan hari ini.
Tahniah kami ucapkan kepada galeri berkenaan kerana pandai menhormati kami.
Cuma kami agak terkilan kerana majlis yang berada di aras yang tinggi (kerana menggunakan Bahasa Inggeris) itu menghidangkan kuih-muih tradisional melayu dan juga minuman teh bunga jenama Yeo’s.
Bingka ubi dan kuih seri muka yang dihidangkan adalah amat lazat tetapi agak tidak sesuai untuk majlis yang berkenaan. Nampak sangat kampungnya.
Di masa akan datang kami mengharapkan galeri berkenaan menyediakan hors d’oeuvre yang lebih sesuai dengan selera kami. Dan sedikit wine tentu juga akan lebih membantu.
