Judul: SERIBU JEJAK IRANUN DI NUSANTARA
Pengarang: Abd Naddin Shaiddin
Penerbit: Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah

SAYA mengenali sahabat ini, Abd Naddin Shaiddin pertama kalinya ketika menghadiri pertemuan Penyair Nusantara VI di Jambi, Indonesia pada 2012 lebih atas kapasiti dirinya sebagai seorang wartawan di akhbar Borneo Post di Sabah dan kebetulan adiknya, penyair Mabbulmaddin sekamar dengan saya.
Ketika berbual-bual di kamar itu jugalah saya mengetahui minat mendalam Abd Naddin menyusur jejak darah keturunannya bangsa Iranun. Sebagai pembaca awam yang berminat mengetahui perkembangan kawan-kawan, setiap kali bertemu, soalan mengenai penjejakan darah keturunan Iranunnya inilah yang selalu saya ajukan kepada beliau.
Pulang dari Jambi, kami berkawan di laman sosial Facebook dan sentiasa mengikuti perkembangan tulisan beliau mengenai kaum Iranun. Tetapi selepas saya dihamun oleh seseorang yang tidak dikenali atau bukan rakan di Facebook lantaran percandaan saya dengan seorang teman di sana, saya memutuskan untuk tidak lagi membaca apa-apa kegiatan dan perkembangan kawan-kawan sasterawan di sana.
Hinggalah tanggal 18 hingga 20 Disember lalu. Kami bertemu lagi ketika menghadiri Sidang Kemuncak Penulis Malaysia III 2024 di Hotel Royal Park, UNITEN Bangi, Selangor.
Seperti biasa, soalan pertama pembuka pertemuan kami adalah pertanyaan mengenai usaha penjejakan darah keturunan Iranun beliau dan sebagai balasannya saya dihadiahkan sebuah buku berjudul “Seribu Jejak Iranun di Nusantara”. Buku ini diterbitkan hasil daripada tulisan dan catatan kembara beliau menjejaki darah keturunan Iranun di seluruh nusantara.
Abd Naddin mengakui dorongan dan semangat kembara menjejaki darah keturunan Iranun ini timbul setelah membaca Tuhfat Al Nafis karangan Raja Ali Haji atau Anugerah Yang Berharga yang menyebutkan betapa sejak 223 tahun lampau telah terbentuk hubungan sejarah istimewa antara Sultan Mahmud III selaku pemerintah Riau Lingga dengan Raja Tempasuk (Kota Belud, Sabah).
Menurut catatan Raja Ali Haji, pada tahun 1787 Sultan Mahmud III telah meminta bantuan Raja Tempasuk (Kota Belud) untuk menyerang Belanda di Riau. Ekoran permintaan itu, Raja Tempasuk telah menyuruh tiga anaknya, Raja Tembak, Raja Alam dan Raja Muda berserta anak saudaranya Raja Ismail selaku panglima besarnya menuju ke Riau dengan kelengkapan kira-kira tiga puluh penjajab (perahu besar) dan berangai (meriam).
Bersama Allahyarham Orang Kaya-Kaya (OKK) Haji Masrin Haji Hassin, mantan Yang DiPertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Sabah serta dengan sokongan padu seorang tokoh terkenal daripada bangsa Iranun, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mantan Speaker Dewan Rakyat, Abd Naddin selaku Ketua Penerangan BKI memulakan penjejakan mereka di Tanjung Pinang Kepulauan Riau pada tahun 2010, kemudian diikuti perjalanan ke beberapa tempat lain seperti Pekanbaru, Tembilahan Inderagiri Hilir, Provinsi Riau Muara Sabak Tanjung Jabung Timur, Kuala Tungkal, Tanjung Jabung Barat Provinsi Jambi, Pangkal Pinang Bangka, Tanjung Pandan Belitong di Propinsi Bangka Belitong, Toli-Toli Propinsi Sulawesi Utara dan beberapa kota lain. Perjalanan paling akhir adalah di Jambi pada 2019
Sepanjang usaha penjejakan ini, selain daripada bantuan pemimpin Iranun Tan Sri Pandikar Amin Mulia usaha mereka juga menerima sokongan yang diberikan oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu dan pelbagai pihak di Kepulauan Riau, Indragiri Hilir dan setiap daerah yang mereka kunjungi.
Abd Naddin mencatatkan bagaimana dalam kunjungan kali pertama ke Tanjung Pinang pada tahun 2010 itu, Haji Masrin menyatakan rasa musykilnya betapa dalam Tuhfat Al-Nafis dinyatakan anak-anak raja Iranun dari Tempasuk itu tidak pulang ke Borneo sebaliknya meneruskan ke Reteh dan terlibat lagi dalam peperangan di sana pada tahun 1858. Menurut Haji Masrin, dari sekian jumlah mereka itu pasti masih ada yang masih hidup dan tersisa.
Dalam bab berjudul “Percakapan Dengan Sulaiman Dari Patah Parang” di halaman 19-40, Abd Naddin mencatatkan kisah pertemuan beliau dengan Sulaiman, yang mengaku dirinya keturunan lanun Riau dan ingin mencari sejarah asal usulnya.
Menurut Sulaiman, sebahagian anggota angkatan perang Tempasuk tidak pulang dan sebaliknya menetap di Lingga. Sementara suku Tengku Sulung yang ayahnya berasal dari Tempasuk dan setelah kalah perang berpindah ke Kuala Patah Parang dikenali sebagai suku Melayu Timur.
Menurut Abd Naddin, hubungan sejarah dan budaya, persaudaraan antara Iranun dan Melayu Timur boleh dirunut daripada silasilah dan beberapa bukti penemuan peralatan senjata zaman bahari seperti kampilan, panabas, keris, bangkau atau tombak dan sebagainya.
Masih banyak adat resam yang tetap diamalkan dan kosa kata Iranun yang dituturkan oleh orang Melayu Timur sungguhpun mereka terpisah lebih 232 tahun yang lampau. Pejuang dan mujahidin Iranun yang tidak pulang ke Borneo dan Mindanao selepas mereka mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787, mengaku taat setia kepada Sultan Mahmud III, yang kemudian memberikan penempatan kepada mereka.
Akhirnya setelah berasimilasi sejak ratusan tahun, lahirlah suku yang kini dikenali sebagai suku Melayu Timur.
Sayangnya sebagai sebuah travelog, buku ini tidak dilengkapi foto-foto yang penting dan berkaitan. Di samping itu, disyorkan juga seeloknya dicatatkan tarikh setiap perjalanan ke sesuatu destinasi atau lokasi.
Selain itu, jika buku ini diniatkan suatu waktu nanti mahu diangkat sebagai salah satu buku pengenalan terhadap sejarah kaum yang dikatakan berasal daripada Lanao Selatan di pulau Mindanao, orang Iranun atau Illanun, nama satu suku kaum yang dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah ini, lebih diperkemaskan lagi dengan fakta-fakta yang lebih tersusun rapi.
Namun sebagai bahan bacaan pengenalan, buku ini tidak mengecewakan dan boleh didapatkan dengan cara menghubungi: Persatuan Bahasa dan Iranun Sabah, Peti Surat 247, 89158 Kota Belud, Sabah.
– MARSLI N.O merupakan seorang penulis dan penyair yang memilih berjalan sendirian.


Terima kasih banyak bang.
Terima kasih banyak kepada portal senimalaya. Sangat dihargai. Tulisan ini sangat membantu dalam usaha mendekatkan lagi hubungan antara iranun dan turunan melayutimur, antara malaysia dan indonesia
alhamdulillah kami salute dg usaha usaha yg telah di jalankan menjejakaki kami Melayu timur yang IRanun Tempasuk sejatinya..
Saranan yang bagus