DI SATU daerah yang jauh dan agak sepi dari aktiviti seni, rata-rata penghuninya bekerja sendiri atau makan gaji dengan sebagai penjawat awam. Daerah ini, jarang sekali menjadi tumpuan yang berlebih-lebih. Kalau ada pun pada hujung minggu, bila ada yang datang ke pantainya,tidak lebih dari itu.
Yang agak sibuk di daerah sepi cuma di pekannya yang dipanggil bandar. Kebetulan di bandar itu juga terletak stesen terakhir kereta api di Pantai Timur. Tumpat, nama daerah sepi itu di Kelantan.
Tumpat biarpun sebuah daerah sepi – yang sesekali dibisingkan dengan bunyi kereta api atau kehadiran warga Kelantan ke Pantai Sri Tujuh pada hari Jumaat – beruntung kerana di Kampung Chabang Empat kira-kira 48 tahun lalu lahir seorang lelaki yang sedar bahawa daerah kelahirannya mampu dimeriahkan.
Lelaki itu, Azzaha Ibrahim, ada minat terhadap seni. Kerana minatnya itu, dia mahu ia dinikmati dan dirayakan oleh masyarakat daerahnya. Azzaha tidak mahu Tumpat terus menerus sepi. Dia tidak mahu tanah kelahirannya hanya dikenali sebagai destinasi terakhir kereta api. Azzaha mahu Tumpat juga dimasukkan ke dalam peta sebagai sebuah daerah yang meraikan seni.
Untuk mencapai hasrat murninya itu, Azzaha berusaha membawa hasil-hasil seni baik kotemporari atau tradisional dihayati oleh penduduk Tumpat. Bukan lagi perlu membayar tambang kereta api atau bas untuk ke galeri-galeri besar di ibu kota tetapi hasil-hasil seni didatangkan untuk dinikmati oleh penduduk setempat.
Di Dewan Komuniti Tumpat atau Pasar Lama Tumpat pada 14 hingga 29 Januari lalu, Azzaha bersama lima rakannya, Arja Lee, Azzad Diah, Dain Said, Haris Abadi dan Hawari Berahim mengadakan pameran seni yang dinamakan After Monsoon 1.
Mereka berenam dari latar belakang bidang yang berbeza, Azzaha Ibrahim, penyelidik seni bina; Dain Said, pengarah filem; Arja Lee, pelakon dan seniman persembahan; Azzad Diah, penulis dan seniman; Haris Abadi, pensyarah dan seniman, dan Hawari Berahim, pensyarah dan seniman.
Tengkujuh merupakan fenomena semula jadi yang dianggap sebagai kuasa pemusnah yang membawa musibah – merencatkan segala aktiviti ekonomi manusia dan merubah landskap setempat.

Namun dari sisi lain, tengkujuh juga ialah sebuah cerminan kitaran kehidupan dan kematian yang silih berganti, sama ada dari segi fungsi dan makna terhadap tanah dan penduduk setempat.
Bagi kawasan persisiran pantai, tengkujuh membawa bersama sisa-sisa putaran alam dan buangan manusia yang sebelum ini memiliki kehidupan yang tersendiri.
Sisa-sisa dimuntahkan dari laut lalu menceroboh dan menduduki kawasan pantai sebagai ruang batas (liminal space) sebelum ditarik kembali ke lautan.
Pameran After Monsoon 1 cuba merungkai bagaimana makna ruang (space) dan tempat (place) bersilang membentuk persepsi antara sementara dan kekal.
Projek ini tertumpu di Tumpat, Kelantan, terletak di utara Kota Bharu dan merupakan perbatasan Malaysia-Thailand.
Pekan kecil ini menyaksikan kesan silang pertukaran ekonomi, sosial, politik dan budaya berdasarkan kedudukannya yang bersempadan Thailand dan juga batas terakhir jajahan Malaysia.
After Monsoon meneroka dampak alam dan pembangunan manusia terhadap memori dan sejarah tempatan menerusi monsoon atau tengkujuh sebagai mod untuk menggali naratif-naratif yang terpinggir, yang dilupai dan yang terkubur bersama perubahan-perubahan yang dibawa oleh fenomena semula jadi ini.
Pengumpulan naratif-naratif ini dicerna menerusi dokumentasi dan karya enam orang pengkarya dari pelbagai latar belakangkan seni visual, persembahan dan filem sebagai usaha memahami placemaking yang terbit dari mendekati, mempelajari dan saling bertukar pengetahuan melewati bahasa, komuniti, produksi budaya dan tanah. Pameran ini dikurasikan oleh Kolektif After Monsoon.

