PENGARCA moden tanah air, Anthony Lau pernah menyebut: “I am dictated by the material. An artist must respect the material” (Wharton, D., Contemporary Artists of Malaysia. New York: Asia Society, 1971: 49). Pernyataan pengarca perintis ini boleh diterjemahkan secara dinamik sebagai: “Saya mengikut bahan. Seseorang pelukis mestilah menghormati bahan.”
Deklarasi estetik yang mendasari karya-karya pengarca Anthony Lau ini amat menarik dalam menterjemahkan perihal perhubungan pelukis dengan bahan atau media dalam proses kreatifnya. Jelasnya, seseorang pelukis itu perlulah mengenali dan memahami sifat-sifat bahannya dalam menghasilkan kerja-kerja seninya atau dalam proses berkarya.
Menurut sejarawan seni T.K. Sabapathy, pernyataan Anthony Lau itu mencerminkan salah satu daripada persoalan-persoalan estetik yang mendasari penciptaan karya seni arca moden. Namun begitu, dia juga tidak menafikan, bahawa bahan atau media bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan bentuk karya, tetapi adalah salah satu aspek yang merealisasikan imej (Modern Artists of Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983: 100).
Pertalian antara bahan atau media dengan proses kreatif pelukis seperti ini jugalah yang menjadi salah satu persoalan dan fokus dalam pelaksanaan serta penelitian terhadap karya-karya dalam pameran “Tarscapes: Journeys of Expression” yang berlangsung di Galeri Shah Alam daripada 14 April hingga 30 Mei 2025. Pameran itu telah dirasmikan oleh penulis dan kolektor seni Nik Mohd Fahmee pada hari Sabtu, 10 Mei 2025 lalu.

“Tarscapes” memperagakan sejumlah karya seni yang dihasilkan oleh seramai 16 orang pengkarya, iaitu peserta-peserta Bengkel Seni Bitumen kelolaan Alias Yussof dengan dibantu oleh Badrulzzaman Abu di Studio Keluli milik Alias di Shah Alam. Mereka merupakan sebahagian daripada peserta yang telah mengikuti bengkel bitumen sebanyak tiga sesi itu dan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan profesion: peguam, arkitek, pegawai bank, pendidik, eksekutif perniagaan, pereka grafik, pelukis dan peminat seni.
Selain Alias Yussof dan Badrulzzaman Abu yang bertindak sebagai tenaga pengajar, pelukis undangan dalam pamertan ini adalah Abdul Hamid Mohamed, Abu Bakar Sabran, Khairi Fakhri dan Zaim Durulaman. Pengkarya-pengkarya lain adalah Atessia Dana, Ati Rosemary, Eng-Seong Lim, Lalitha Pillay, Liza Othman, Mimi Zaleha, Nanie Othman, Richard Leow, Sharmi Shahrani, dan Tze Lian.
Kepelbagaian latar profesion mereka, malahan bangsa dan budaya, menjadikan pameran ini agak unik dan istimewa. Itu jugalah yang dikesan dan dinyatakan oleh Nik Fahmee dalam ucapan perasmiannya. Ini suatu pendekatan pameran yang membawa seni kepada khalayak dan diraikan oleh kepelbagaian latar karyawan dan audiens, setempat dan antarabangsa. Ini pameran yang merakyatkan seni, yang juga menjadi salah satu objektif Galeri Shah Alam.

Bitumen adalah bahan melekit yang berwarna hitam yang diperolehi daripada petroleum, dan biasanya digunakan untuk membuat atau menurap jalan (prpm.dbp.gov.my). Istilah lain bagi bitumen adalah “tar,” justeru melahirkan judul pameran ini “Tarscapes,” suatu gambar atau pemandangan yang terhasil menggunakan “tar” atau bitumen sebagai bahan atau mediumnya. Namun begitu, dalam pameran ini,karya-karya yang diperagakan bukan hanya dihasilkan menggunakan bitumen semata-mata, malahan digabungkan dengan media lain seperti akrilik, cat minyak, dan dakwat.
Sejarah penggunaan bitumen sebagai medium seni dan sifat uniknya telah dihuraikan dengan agak padat oleh Muhammad Badrulzzaman Abu dan Saiful Aiman Asraf Saiful Johari dalam edaran pameran dan teks dinding dalam ruang masuk galeri bertajuk “Arts and Material.”
Antara lain, mereka menyebut perihal bitumen yang digunakan oleh pelukis-pelukis Inggeris pada abad ke-18 dan ke-19 bagi mendapatkan kesan kelam dan berkilau. Medium ini juga berupaya menghasilkan kesan dramatik sepia yang menyimbolkan elemen natural atau semula jadi seperti tanah, kayu, kesan lampau dan kemusnahan.

Justeru itu, pelukis sentiasa mencuba dan membuat eksplorasi dan eksperimentasi terhadap bitumen serta mencari keserasiannya dengan media lain seperti cat minyak dan akrilik bagi mendapatkan kesan visual yang diinginkan. Hal ini jugalah yang dilakukan oleh para pengkarya dalam pameran ini dalam bengkel yang mereka sertai dan proses kreatif mereka.
Judul pameran ini, “Tarscapes: Journeys of Expression” atau “Tarscapes: Kembara Ekspresi” menunjukkan bahawa pameran ini bukanlah semata-mata mengenai bitumen sebagai bahan atau medium seni, sebaliknya bagaimana medium itu digunakan untuk menyalurkan makna, mesej dan ekspresi pelukisnya. Jelasnya, pameran ini mencerminkan eksplorasi media dan minda para pengkaryanya.
Tinjauan umum terhadap karya-karya dalam pameran ini memungkinkan kita membuat beberapa klasifikasi tema, iaitu landskap, figura manusia, abstrak, kaligrafi, alam bina, dan alam semula jadi, iaitu flora dan fauna. Di samping pendekatan eksperimentasi yang melahirkan kesan kespontanan, kejutan dan luar jangka, sebahagian lain bersifat begitu terkawal, dan ilustratif.
Ada pengkarya yang mengawal kesan kepontanan itu dengan imejan realistik yang mewujudkan keseimbangan komposisi visual. Hal ini memungkinkan pameran ini menarik, meskipun bukan semua pengkarya itu terdiri daripada pelukis profesional atau yang menjadikan seni sebagai kerjaya. Eksperimentasi dan eksplorasi mendasari semua karya. Peragaan ini memperlihatkan keupayaan mereka mengawal bahan dengan baik dan berkesan.
Karya Alias Yussof “Mimpi Semalam II” (akrilik, cat minyak dan bitumen, 122 x 152 cm, 2024) menggabungkan imejan Rocket Racer dan Explorer berlatarbelakangkan landskap abstrak yang terbina daripada gabungan penggunaan bitumen, cat minyak dan akrilik yang spontan.

Rocket Racer mengingatkan khalayak kepada karya Barry Goodman yang mengimbau kenangan masa lalu melalui imejan memorabilia seperti alat mainan berbentuk kenderaan menerusi pendekatan seni pop. Dalam karya Alias, penggabungan imejan realistik dengan landskap abstrak itu memungkinkan keseluruhan komposisi bersatu dalam membawa tema kenangan dan nostalgia tentang masa lalu, jelasnya perihal “mimpi semalam” seperti judulnya. Dia mewujudkan keserasian antara gaya popular dengan abstrak. Alias Yussof faham tema nostalgia, memori dan imbauan sesuai diangkat menerusi media bitumen keran kesan visualnya yang klasik dan membangkitkan kenangan.
Seperti Alias Yussof, Eng-Seong Lim dalam “Facades & Memories” (bitumen dan akrilik, empat keping 45 x 45 cm setiap satu, 2025) membawa tema kenangan dan memori lampau yang diungkapkan menerusi tema atau subjek alam bina, iaitu façade atau muka bangunan yang klasik atau lama yang semakin menghilang. Pemandangan seperti ini masih dapat dilihat di lorong-lorong atau jalan kecil di bandaraya Melaka, Ipoh, Georgetown dan malah Kuala Lumpur.
Ada rasa kerinduan dan kehilangan terhadap seni bina lama yang dapat dikesan dalam karya Eng-Seong, dan malah kegusarannya tentang kemungkinan binaan-binaan ini bakal lenyap ditelan arus pembangunan kota yang tidak terancang atau yang mengabaikan warisan sejarah.

Menariknya kesan visual yang diterbitkan pelukis ini amat segar, mengingatkan kita kepada façade bangunan-bangunan tua di Eropah seperti Perancis dan Sepanyol, malahan Morocco sebagaimana dilukis Rafiee Ghani, atau karya-karya cat air Victor Chin yang merakam façade rumah-rumah kedai di Kuala Lumpur. Seperti kedua-dua pelukis terkenal ini, Eng-Siong mengangkat warisan dan memori sebagai tema dan mesejnya.

Latar belakang kerjaya Eng-Siong Lim sebagai pereka grafik terserlah menerusi keupayaannya mengawal media dan mengolah imejan, misalnya tercermin dalam karya “Flight of Dreams,” “Contemplation” dan “Rumination” (setiap satu menggunakan bitumen dan akrilik, 61 x 92 cm, 2024). Dalam status Instagramnya, dia menulis: “After a long career doing creative work in advertising & design, it’s time to come back to my first love – art” (Instagram eng.seong.lim). Dalam konteks ini, “Tarscapes” mencerminkan dan memenuhi hasratnya itu.

Karya Khairi Fakhri berjudul “Titik Bermula” (bitumen atas kanvas, 155 x 76 cm, 2022) menunjukkan kepintaran pelukis menggunakan bitumen sebagaimana ia biasa digunakan sebagai medium seni yang membangkitkan kesan sepia yang klasik dan imbauan masa lampau. Menerusi pengolahan visual yang cermat dan teliti, Khairi mengimbau tradisi pembuatan kapal dan perahu Terengganu yang semakin hilang ditelan zaman, seperti Kapal Terengganu Pinis Gobel dan kapal-kapal lain yang menyokong kegiatan ekonomi, pelayaran dan perdagangan pada masa lampau. Menurut Khairi, pada masa ini, hanya tinggal beberapa orang sahaja pembuat perahu tradisi Terengganu yang masih aktif. Hal ini mendukacitakannya!

Zaim Darulaman menerusi karya “Siri Tadabbur – Al Kahfi” (bitumen, akrilik atas jut, 76 x 152 cm, 2021) dan “Siri Tadabbur – Al Saffat” (bitumen, akrilik atas jut, 76 x 152 cm, 2021) menampilkan gabungan seni khat berlatarbelakangkan komposisi dengan kesan bitumen yang kuat. Selaras dengan pengertian Tadabbur, iaitu “perenungan yang menyeluruh untuk mengetahui maksud dan makna dari suatu ungkapan di dalam al-Qur’an secara mendalam” (prpm.dbp.gov.my), dan dalam konteks ini merujuk kepada makna dalam Surah Al Kahfi dan Surah Al Saffat, Zaim bagaikan mengingatkan dirinya dan khalayak untuk menghayati makna dan mesej tersurat dan tersirat dalam al-Qur’an, serta mengambil pengajaran daripadanya.
Pendekatan Zaim ini dengan jelas berhubungan dengan kesenian Islam, bukan sahaja berdasarkan rujukan terhadap kitab suci dan baris-baris dari al-Qur’an, malahan dari sudut penggunaan seni khat itu sendiri sebagai ungkapan visual yang bermakna. Jika ditelusuri sejarah seni lukis moden Malaysia, pendekatan sedemikian, iaitu meletakkan khat di atas latar catan warna telah dirintis oleh Omar Basaree dalam karyanya “Iqra” (media campuran, 50 x 50 cm, 1969, Koleksi Balai Seni Negara). Dalam konteks ini, Zaim membawa sejarah dalam konteks seni kontemporari di samping memanjangkan unsur dakwah dalam kesenian.

Karya-karya lain dalam pameran ini mempunyai kekuatan masing-masing terutamanya dari segi kesungguhan pelukis untuk memahami sifat bitumen dan mencari keserasiannya dengan media lain dalam mengungkapkan bentuk, mesej dan makna. Daripada karya-karya berbentuk ekperimentasi dan eksplorasi, landskap, alam benda hinggalah kepada motif flora dan fauna, keterujaan dan keterlibatan pengkarya dapat dirasakan. Semangat dan komitmen itu wajar diraikan.
“Tarscapes: Journeys of Expression” bukan sekadar terjemahan kembara ekspresi, emosi atau perasaan, tetapi gerak minda dan pemikiran yang menguasai bahan atau media. Dalam konteks ini, mereka bukan semata-mata mengikut bahan, sebagaimana dikatakan Anthony Lau kira-kira setengah abad yang lalu, tetapi menggunakan pemikiran atau minda untuk mengolah bahan. Mereka memahami bahan, atau setidak-tidaknya berusaha untuk memahami bahan, bagi menterjemahkan perasaan dan pemikiran. “Tarscapes” mencerminkan eksplorasi media dan minda dalam proses penciptaan.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
