“Zainal Rashid!” kata orang sebelah dan bila sosok itu lalu didepan, kami pun menghulurkan tangan untuk bersalam. “Abdullah,” kata kami memperkenalkan diri. Dia cuma tersenyum dan berlalu.
Waktu itu di pesta buku. Kami lupa pesta buku yang mana. Zainal kemudian masuk ke kafe di bangunan WTC KL untuk bertemu dengan teman-teman. Kami juga masuk dan duduk di meja lain. Dia tidak mengenali kami dan memang pun selain dari pertemuan yang itu, kami tidak pernah duduk berbual dengan dia. Sesekali kami menjeling ke arah mejanya dan kami seperti kanak-kanak yang terserempak dengan Ultraman. Gembira dah tidak tentu hala.
“Dia sebut nama ngka.. tekejut aku,” kata Cikgu Hasbullah Abdul Latif kepada kami satu masa lama dulu. Cikgu Hasbullah ini kami gelar sebagai Boon dan bukan dia saja yang terkejut, kami pun turut terkejut tapi untuk kelihatan seperti rendah diri, kami pun buat-buat tidak teruja. Cikgu Boon, Cikgu Norhasimah Husain dan juga Paridah Husain adalah di antara orang yang kami kenal rapat yang akan sentiasa tekun mengikuti podcast ZRA Strim.
Cikgu Lokman Lazim memang tak berapa melayan topik-topik cerdik yang disampaikan oleh Zainal Rashid. Seperti hampir semua budak-budak Taman Sepakat di Kuantan, dia lebih memberi tumpuan kepada ilmu hitam.

Cikgu Simah pandai masak pisang sira gula, Paridah pandai masak murtabak sementara Cikgu Boon tak pandai makan. Kurus sampai ke tua. Itu ayat dengki sebenarnya kerana Cikgu Boon kekal kacak tanpa perut berlapis seperti kami sehingga hari ini. Dan semasa dia masih bergelar guru besar, kami sentiasa mengugut untuk menyebarkan fotonya berambut panjang macam syaitan kepada murid-muridnya.
Boon dan Lokman memang terjebak teruk dengan rock kapak. Mereka berdua berambut panjang dan mengagumi Kumpulan Cakrawala. Cikgu Lokman sempat juga memakai seluar getah warna merah sama seperti yang dipakai oleh pemain drum kumpulan tersebut. Dia juga mengesa kami memanggilnya sebagai Lock berbanding Man yang kami gunakan sejak sekolah rendah. Rock la konon padahal minat Cakrawala.
Mungkin itu pertama kali kami mendengar yang Zainal Rashid ini kadang ada membaca tulisan kami. Kamu tentu akan setuju yang tulisan kami hanyalah hiburan ringan. Tulisan yang boleh disamakan dengan lirik matcha atau kopi yang popular itu. Walaupun selalu tahu yang tulisan kami tidak memberi manfaat, kami selalu berdoa supaya apa-apa yang kami tulis tidak menjadi beban di akhirat nanti.
Ramai orang bersedih dan mendoakan supaya penderitaan yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin itu akan segera pergi. Tidak kurang juga yang menghulurkan bantuan dalam banyak bentuk namun amat jarang yang ada di antara kita yang mahu terjun sendiri ke medan. Mungkin kerana kasihan yang kita miliki cuma ada pada perasaan. Kita semua termasuk kami sendiri mengira yang doa dan derma yang kita hulurkan sudah memadai dan kita pun duduk dengan sangat selesa.
Tapi Zainal ada di suatu takat yang lebih dari kebanyakan kita. Setelah berpuluh kali bersiaran mengenai Palestin, dia bangun dan pergi sendiri menyertai kumpulan yang membawa bantuan. Lebih dari itu, dia membawa pula anak perempuannya, Ilham Fansuri.

Bapa jenis apa yang pergi kepada bahaya bersama anaknya, kita bertanya. Bapa yang mahu anaknya faham maksud hidup, mungkin itu jawapannya. Di waktu kita semua membenarkan anak-anak kita menggelitik di media sosial, dia membawa anaknya untuk merasai sendiri kepayahan atas nama kemanusiaan.
Semasa menulis ini kami diberitahu yang bot yang dinaikinya telah dilarang dari bergerak. Bagaimana pun dia tidak diculik sebagaimana beberapa orang dari bot yang lain. Namun di sebelah petang, kami mendapat tahu rejim zionis telah menahan Zainal bersama tiga yang lain dalam bot Fair Lady yang dinaikinya. Telefon sudah dicampak ke laut.
Mengikut kata carian yang kami buat, Zainal pernah sekali ke Palestin sewaktu menjadi wartawan. Di melakukannya dengan cara gerila. Zainal menyusup ke Tebing Barat bersama dengan kamera dan dia kemudiannya menjadikan pengalaman itu sebagai sebuah dokumentari.
Tetapi kali ini dia melakukannya dengan pengetahuan seluruh dunia. Setiap pergerakannya dilaporkan. Sahabat yang rapat dengannya juga selalu mendapat gambaran sebenar apa yang sedang berlaku. Ini sedikit sebanyak melegakan namun mutakhir ini berita-berita yang diterima amat merungsingkan.
Kita diberitahu bagaimana tentera rejim yang terlalu kejam itu sudah mula memasuki beberapa bot dan ada sukarelawan yang diculik. Media rejim yang sememangnya tidak boleh dipercayai membawa propaganda kononnya semua mangsa berada dalam keadaan baik.
Mungkin kita berasa lega bila Zainal masih selamat (setakat artikel ini ditulis) namun kebimbangan kita tentunya terarah kepada beberapa orang rakyat Malaya yang lain. Kita juga tentunya merasa risau kepada keselamatan sukarelawan dari negara-negara lain.
Jika kami boleh menyimpang sedikit maka kami akan katakan sedikit kekesalan apabila isu Palestin dilihat sebagai masalah orang Islam atau lebih jelek lagi ianya hanya dilihat sebagai masalah orang Melayu. Tidak banyak yang kita dengar simpati dari luar kumpulan Melayu dan Islam di negara kita.
Kematian dan kekejaman serta ancaman kebuluran yang ditanggung oleh warga Palestin seharusnya juga dilihat sebagai isu kemanusiaan. Jika kita semua mahu keluar dari kekusutan kaum dan agama tentu saja kita akan melihat betapa isu yang melanda umat Islam Palestin adalah isu penindasan warga. Jika hal ini tidak menyatukan kita semua maka kita semua sudah habis ikhtiar untuk menjadi penduduk dunia. Mati adalah lebih baik untuk mereka yang melihat isu ini sebagai isu Islam dan Melayu.
Kami mendoakan semua yang terlibat dengan usaha Sumud Flotilla selamat kembali ke tanah air masing-masing. Semoga ada berita yang menyenangkan datang kepada kita semua dalam masa yang terdekat ini.
Kepada Zainal Rashid kami mendoakan keafiatan dan berjanji akan belanja kopi nanti bila dia sudah pulang.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang mengikuti rapat perkembangan misi kemanusiaan Sumud Flotila ke Gaza.
