ARTIKEL ini dikeluarkan khas sebagai penghargaan kepada Konduktor Muzik Orkestra Tradisional Malaysia, Yazid Zakaria yang telah dianugerahkan Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam tahun 2024.Anugerah telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Buat julung kalinya tokoh diangkat dalam kalangan skim bakat dan seni. Tahniah kepada Yazid, terima kasih kepada kerajaan Malaysia.
Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) hanya ada satu sahaja dalam dunia. Orkestra yang dipimpin oleh Yazid ini mula ditubuhkan di Istana Budaya pada tahun 2010. Setelah 14 tahun mengerah tenaga bersama pemuzik-pemuzik lain dalam OTM, kini muzik tradisional Malaysia telah berkumandang di banyak negara-negara luar. Dengan keunikan bunyian alat muzik Malaysia membuatkan peminat muzik serata dunia membuka telinga dan mata. Ada sesuatu yang jarang mereka dengari. Ada bunyi yang luar biasa.
Di Sebalik Penubuhan OTM
Format penubuhan OTM adalah berasaskan orkestra tradisional Korea Selatan. Pada tahun 2007, Dr Bahizal Abu Bakar telah dihantar ke Korea Selatan untuk kursus pembangunan muzik tradisional Asia oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Kursus tersebut dikendalikan oleh dua orang profesor muzik terkenal Korea Selatan. Bahizal menggunakan peluang yang ada untuk belajar dengan lebih mendalamkan sistem yang digunakan oleh Korea Selatan bagi membangunkan muzik tradisional mereka.
Korea Selatan menggunakan dua kaedah untuk mengembangkan muzik tradisional mereka iaitu :
Pemuliharaan: mengekalkan keaslian bentuk muzik tradisional dari semua segi seperti teknik permainan, bentuk alat muzik, jumlah pemuzik dalam satu-satu ensemble, bentuk muzik yang dimainkan serta bahasa yang digunakan.
Pembangunan: menumpukan kepada pembaharuan yang boleh dilakukan terhadap muzik tanpa menghilangkan identiti Korea.
Sistem ini telah dijadikan rujukan oleh Bahizal untuk mengemukakan proposal kepada pihak Istana Budaya dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Empat tahun berjuang dan berbincang maka persetujuan telah dicapai bahawa OTM perlu diorganisasikan di bawah pentadbiran kerajaan, kerana ini adalah satu tanggungjawab kerajaan bagi mengekalkan seni dan budaya, apatah lagi seni muzik Malaysia yang berlatarkan kaum yang berbeza sangat unik dan perlu dipertahankan. Oleh itu terbinalah OTM yang beroperasi di Istana Budaya.
Pihak Istana Budaya dan kementerian sebulat suara memilih Yazid sebagai konduktor pertama. Hasilnya, dengan kebijaksanaan Yazid kumpulan OTM masih bertahan hingga sekarang.
Beliau pernah bertugas sebagai pemuzik, komposer dan eksekutif muzik di Petronas Performing Arts Group (PPAG) selama 17 tahun sejak tahun 1993 lagi dan telah membangunkan dan mempromosikan muzik tradisional Malaysia.
OTM terbahagi kepada lima seksyen iaitu:
1) Alat bertali yang digesek seperti erhu dan gaohu.
2) Alat bertali yang dipetik seperti gambus, sitar, pipa dan sape.
3) Alat bergong seperti gamelan dan caklempong.
4) Alat bertiup seperti seruling dan serunai.
5) Alat perkusi seperti geduk.
Cabaran dan harapan
Menurut Yazid, bagi melestarikan muzik tradisional Malaysia ini masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Walaupun sudah dikenali di persada dunia kerana berjaya membuat persembahan dipelbagai pelosok benua tetapi kebimbangan Yazid ialah kefahaman muzik tradisional dalam kalangan rakyat Malaysia masih terlalu lemah. Bahkan dalam kalangan penjawat awam dari bidang pentadbiran seni pun terlalu jauh tersasar. Yazid mengharapkan bidang seni diberi perhatian di peringkat tertinggi kementerian terutama oleh Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha serta pembuat dasar dari kalangan ahli politik yang berpaksi di Parlimen.
Kebimbangan lain Yazid ialah, golongan muda sekarang lebih minat lagu-lagu K-Pop dan muzik Barat sehinggakan muzik tradisional kita dipinggirkan. Tanpa ada pelapis muda, muzik tradisional kita akan tenggelam ditelan zaman. Ada banyak pusat akademi yang menawarkan kursus muzik samada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Semuanya ini sepatutnya membantu memperkayakan muzik tradisional kita.
Secara jujurnya Yazid berharap beliau sempat berbuat sesuatu yang lebih besar untuk muzik tradisional Malaysia kerana beliau hanya ada empat tahun sahaja sebelum bersara.
“Impian saya belum tercapai! Saya mahukan muzik tradisional diangkat lebih tinggi di dalam negara saya sendiri,” ujar Yazid mengakhiri perbualan.
