
KETAHUILAH bahawa kewujudan tuhan adalah sesuatu yang tidak perlu dibuktikan. Apa yang lebih penting adalah ‘rasa’.
Tuhan akan bisa muncul sebagai tuhan hanya apabila manusia ada kesanggupan menggunakan segala pancaindera untuk memerhati, berfikir dan memberikan perhatian.
Ada terlalu banyak kata-kata Seniman Agung P. Ramlee yang telah dia wariskan. Antara yang paling mendalam dan memberikan kesan ialah kalimat “Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan.”
Seni sering diberikan tanggapan yang salah dan bukan-bukan. Pandangan-pandangan stereotaip murahan berupa seni itu hiburan yang mengkhayalkan atau seni itu jahat, negatif dan merosakkan pemikiran adalah racun yang harus dilawan.
Kalau tidak masakan almarhum Prof. Dr. Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menulis “Fiqh al-Lahwi wa at-Tarweeh” dan “Fiqh al-Awlawiyyat” buat ummat.
Kalau tidak masakan almarhum Prof. Dr. Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menulis “Fiqh al-Lahwi wa at-Tarweeh” dan “Fiqh al-Awlawiyyat” buat ummat.
Semua harus tahu bahawa selain dari ilmu pengetahuan, ‘rasa’ adalah perkara terpenting untuk mengenal dan membesarkan tuhan.
Nah, perkara ini menarik kerana seni seperti filem, sastera, muzik, buku, catan dan arca waima teater dan tarian. Kesemua itu memiliki ‘rasa’ yang mampu membuat sesiapa pun terinspirasi sampai ke tingkat dapat ‘melihat’ tuhan.
Perkara ini penting untuk diberitahu serta diapi-apikan ketengah masyarakat dan ummat.
Apatah lagi apabila sepuluh tahun kebelakangan ini ada terlalu banyak kebejatan politik dan sosial yang gila-gila membuat kacau dan memberi gangguan.

Bahkan kekacauan-kekacauan itu semakin hari semakin rakus membuncah, membikin segala macam celaru hingga menunggang-langgangkan apa yang betul dan apa yang salah.
Media sosial yang konon turut dianggap sebagai platform kesenian oleh sebahagian fahaman yang terlihat di TikTok, YouTube, Twitter, Facebook, snapchat atau di Instagram.
Sebetulnya hanyalah tembok-tembok tantangan yang tinggi, besar dan penuh dengan semalu dari mengupayakan ‘rasa’ manusia untuk menikmati ‘kerja tuhan’ yang P. Ramlee sebutkan.
Yuval Harari, seorang antropologis dan professor sejarah di Hebrew University of Jerusalem pernah memberikan bayangan. Kata Harari dalam bukunya “21 Lessons for the 21st Century”, sebahagian besar manusia yang hidup pada tahun 2050 nanti bakal menjadi ‘useless species’ atau tidak relevan lagi.
“To know what you are, and what you want from life. This is, of course, the oldest advice in the book: know thyself. For thousands of years philosophers and prophets have urged people to know themselves. But this advice was never more urgent than in the twenty-first century, because unlike in the days of Laozi or Socrates, now you have serious competition. Coca-Cola, Amazon, Baidu and the government are all racing to hack you. Not your smartphone, not your computer, and not your bank account – they are in a race to hack you and your organic operating system. You might have heard that we are living in the era of hacking computers, but that’s hardly half the truth. In fact, we are living in the era of hacking humans.”

Lambakan naratif-naratif anti intelektual di sana sangat tebal meraikan segala macam pertikaian.
Malah kepekatan unsur kebencian dan permusuhan yang disangka sebagai suatu kritis kebijakan untuk meraikan kebebasan sebetulnya datang dan ditentukan oleh algoritma-algoritma yang secara sistematik direka dan dibentuk teknologi bagi menguatkan kecenderungan manusia kepada kedunguan dan kebodohan.
Lihat saja dipersekitaran lingkungan hidup kita hari ini. Baik dikejiranan dalam kampung atau taman-taman perumahan, mahupun distatus-status laman media sosial.
Pasti akan kerap ditemukan kedangkalan-kedangkalan dan seribu satu kebodohan yang mengkhuatirkan.
Cabaran-cabaran aneh dan kelakuan-kelakuan jelik yang dapat kita lihat adalah bukti penggodaman kemanusiaan sedang berjalan.
Seandainya manusia dijauhkan dari kedunguan dan terdidik untuk menghindari kebodohan maka tiada manusia yang akan mempertanyakan bukti kewujudan tuhan.
Kepincangan-kepincangan yang banyak sedang kita saksikan akan terus menjadikan manusia membesarkan ego sendiri dan kesombongan kumpulan lingkungan. Semua itu berlaku apabila ketiadaan seni sebenar yang mahu betul-betul dihargai dan diajarkan.
Barangkali ramai manusia yang tidak perasan.
Seni yang memanafaatkan kecantikan alam, keindahan persekitaran dengan bermacam-macam ilmu kemanusiaan memiliki banyak sekali tanda dan petunjuk yang membuktikan bahawa memang tuhan itu ada dan manusia hanyalah salah satu makhluk ciptaan tuhan.
Sebagaimana agama menganjurkan kecerdikan melalui tradisi menuntut ilmu, melihat petanda dan petunjuk keesaan tuhan serta meluaskan bahan-bahan pembacaan.
Demikianlah seni seperti filem, sastera, muzik, buku, catan, arca, teater dan tarian menawarkan kebijaksanaan. Yakni melalui ‘rasa’ dari melihat ‘tanda’ dan ‘petunjuk’ yang dapat pancaindera manusia manafaatkan.
Dari situ cinta dan benci, takut dan berani, berjuang dan menyerah serta pengetahuan berkenaan benar dan salah yang diberikan ‘rasa’ lalu ditunjuk dengan penuh estetika seni sekaligus memperlihatkan kekuasaan tuhan.
Ada satu peristiwa dalam Al-Quran yang memperlihatkan mengapa ‘rasa’ yang ada dalam seni itu sangat kuat kaitannya dengan ilmu dan pengetahuan yang akan manusia jadikan amalan.
Suatu hari Qabil jadi hilang pertimbangan. Rasa cemburu, benci dan dendam yang lama disimpan akhirnya memunculkan setan. Tanpa berfikir, Qabil mengambil batu dan sekuat-kuatnya menghentak kepala Habil sampai Habil rebah.

Ketika itu Qabil jadi buntu. Dia sungguh-sungguh tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Peristiwa pembunuhan manusia pertama yang dirakam tuhan dalam Al-Quran itu muncul menjadi suatu sejarah besar.
Tanpa diduga, Qabil melihat dua ekor burung gagak tiba-tiba datang menghurung mayat Habil yang menjadi sebab mengapa Qabil kebuntuan.
Kedua-dua ekor gagak itu dilihat saling merobek tubuh Habil dengan ganas. Tubuh Habil kini menjadi cebis-cebis makanan yang menjadi rebutan du ekor gagak yang ketamakkan.
Qabil menonton dengan ‘rasa’ yang sukar dia mengerti. Babak perebutan dan pertarungan merebut daging tubuh Habil itu sudahnya berakhir dengan kematian seekor gagak.
Qabil memerhati segala tanda dan petunjuk yang dia mulai rasa cuba gagak itu ajarkan.
Gagak yang menang tu terus-menerus menghabiskan sisa-sisa daging dari tubuh Habil makanan yang tadi jadi rebutan. Setelah gagak itu kekenyangan, dia berhenti makan.
Gagak itu kemudian mengais tanah perlahan-lahan sampai sebuah lubang dihasilkan. Lalu dia menolak gagak yang mati dan menimbus lubang itu sebelum kembali terbang meninggalkan jasad Habil dan gagak yang baru selesai dia kebumikan.
Nah, visual yang ditonton Qabil si jahil itulah seni. Babak dari peristiwa yang berlaku itulah tanda dan petunjuk.
Pancaindera yang memanafaatkan momen itulah yang menghasilkan ilmu dan pengetahuan.
Dalam seni ada warna yang memberi perlambangan. Ada garisan yang bisa membangkitkan perasan.
Ada bentuk dan segi yang mengisi rasa sehingga semuanya disusun menjadi naratif penceritaan yang memperkaya jiwa lalu membangkitkan keinginan manusia kepada pengetahuan.
Seni barangkali adalah suatu usaha manusia untuk mempertanyakan kebenaran dari apa yang manusia telah anggapkan kebenaran.

Kerana melalui media sosial yang sedang menggodam otak pemikiran melalui algoritma yang membuat hidup manusia jadi bodoh dan sungguh-sungguh meraikan bermacam kegilaan. Seni adalah jalan.
Jalan untuk mengembalikan seluruh manusia kepada tuhan.
Kalau menurut seni – Tuhan itu adalah kasih, tuhan itu adalah keadilan dan tuhan itu adalah kebenaran. “Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan.”
Dengan seni tuhan kewujudan tuhan adalah sesuatu yang tidak perlu dibuktikan. Kerana ada tanda dan petunjuk yang membangkitkan ‘rasa’ bahawa tuhan itu sememangnya ada dan sesungguhnya tuhan itu esa seandainya manusia mahu memerhati, berfikir dan memberikan perhatian.
Seni adalah ‘tuhan’, tuhan yang manusia mahu lupakan.
