ANTARA polemik dalam dunia seni Malaysia amnya adalah kekurangan penulisan tentang karya seni, kritikan seni, dan dunia seni. Penulisan sering ditegaskan penting dalam dunia seni – sebagai penghubung karya seni antara seniman dengan khalayak.
Penulisan dianggap sebagai pelengkap kepada karya-karya seni bagi menyediakan sedikit sebanyak kefahaman terhadapnya dan sebagai sebuah pengetahuan serta iktibar kepada khalayak bukan seni.
Mungkin kita boleh bersetuju bahawa menggantung karya di dinding rumah atau pejabat korporat bukan ‘matlamat akhir’ yang didamba.
Sebahagian seniman mahukan suara hati atau ideanya didengar, dibaca, malah didiskusi (mungkin) atas signifikasi karyanya terhadap perkembangan sosial, politik, spiritualiti atau apa saja lapangan kehidupan manusia – yang boleh dianggap menyumbang kepada masyarakat. Namun, walaupun hal penulisan menjadi polemik berdekad sudah, punca kepada permasalahan ini masih kabur bagi sesetengah kita, setidaknya kepada diri saya sendiri. Penulisan ini seperti mengumpul taburan pecahan-pecahan kaca fikiran saya dalam hal ini.
Pengetahuan tak ketahuan
Antara punca kepada permasalahan menuju kepada pengisian pengetahuan seni adalah berkenaan hakikat dan peranan pengetahuan seni itu sendiri.
Persoalan seperti adakah seni itu suatu pengetahuan adalah penting untuk diperkatakan bagi melihat sejauh mana kepentingan seni dalam menyumbang sesuatu kepada masyarakat atau mengapa harus masyarakat peduli tentang seni.
Karakter seni tidak seperti sains yang hanya diterokai melalui pengamatan empirikal. Saya cenderung untuk melihat seni sebagai sesuatu yang bersifat subjektif dan objektif – menjadikan ia sukar untuk digolongkan sebagai pengetahuan dalam definisi yang tradisional seperti sains yang memerlukan sokongan bukti untuk menjadikannya sah sebagai sebuah pengetahuan.
Seni menggunakan sistem tanda yang terdapat pada karya – di mana ia menjadikan interpretasi khalayak yang bersifat pelbagai. Sistem tanda tidak boleh dianggap sebagai bukti tetapi hanya simbol (alat komunikasi) yang mewakili pernyataan seniman.
Interpretasi terhadap karya juga merentasi ruang dan masa – membuka persoalan jenis pengesahan bagaimana yang boleh diaplikasikan kepada sesebuah interpretasi (walaupun terdapat kaedah ‘saintifik’ yang boleh menjadi panduan seperti yang ditawarkan Panofsky contohnya.)
Dalam seni juga tiada pihak autoriti yang boleh menentukan dapatan pengetahuan dalam sesebuah karya seni seperti SIRIM yang meluluskan produk elektrik.
David Novitz dalam “The Boundaries of Art” (1994) mempersoalkan tanggapan umum yang mengatakan seni boleh menyampaikan sudut pandang yang penting kepada tatacara kita mentadbir dan memahami dunia. Diterima ramai juga bahawa seni dapat memberikan makna kepada kehidupan manusia.
Seni dan sastera pula dikatakan boleh menimbulkan kepercayaan-kepercayaan dan pengetahuan-pengetahuan baharu mengenai dunia. Walaupun begitu, pertimbangan beliau adalah: Apakah boleh kita menyandarkan kepercayaan dan pengetahuan kepada sesebuah karya seni (yang fiksyen sifatnya)?
Adalah suatu hal menjadi merbahaya apabila manusia hanya memperolehi ilmu hubungan manusia melalui karya seni. Contohnya: Merbahaya bagi saya untuk mempelajari hal cinta menerusi novel romantis semata. Justeru, pengetahuan yang lahir dari karya seni tidak sesuai dijadikan rujukan asas.
Seniman sendiri tidak mempunyai keupayaan dalam membina pengetahuan baharu melalui karyanya kerana segala pengetahuan yang dimiliki oleh seniman adalah bersifat induktif – meminjam pengetahuan – pengetahuan melalui bidang lain seperti falsafah, sains, sains sosial dan sebagainya.
Tambahan pula pengetahuan-pengetahuan itu tetap tidak boleh melepaskan dirinya daripada pengalaman seniman, yang secara automatiknya menggugat ‘kesahihan’ pengetahuan itu.
Hal ini bererti seni tidak berupaya menghasilkan pengetahuan baharu seperti kata Noel Carroll (2002), “Perkara terbaik yang seni dan sastera boleh lakukan adalah mendedah dan menyerlahkan hal-hal yang telah kita ketahui dan percaya.”
Keberadaan intuisi dalam seni secara langsung menjustifikasikan pengetahuan seni tidaklah berwajah sama seperti pengetahuan sains yang fokus menekankan fakta.
Subjektiviti ekspresi dalam seni menjadikan seni terbuka kepada pelbagai kemungkinan yang sukar dijangka, payah ditetapkan dan dinamik. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud seni boleh bebas melata-lata tanpa hala tuju.
Seni tidak sempit namun tidak pula tak bersempadan – tetap ada sesuatu yang boleh diperkata atau dibahas mengenai sesebuah karya. Sesubjektif mana pun ia, terdapat juga objektifnya. Begitu juga sebaliknya dan kedua-duanya saling berhubungan.
Seni bertindak sebagai pintu masuk kepada percubaan memahami ‘cara lihat’ seniman terhadap dunia yang boleh dianggap sebagai sebuah perkongsian ekspresi dan pengetahuan.
Terdapat kemungkinan bahawa oleh kerana realiti pengetahuan seni yang sukar dan memeningkan ini serta tiada upaya memberikan fakta-fakta baharu – menjadikan masyarakat tidak terdesak dan mendesak untuk mendapatkan sesuatu dari seni.
Gocohan dua entiti
Pengetahuan seni yang lahir daripada tindakan berkata-kata mengenai karya (kritikan seni) adalah bersifat bukan materi atau objek gunaan seperti kereta atau pemetik api.
Secara dasarnya, ukuran nilainya bukan ‘timbang kilo’ dan tiada tanda harga yang boleh ditempelkan, dibeli dan diperagakan sebagaimana objek seni. Maka pengetahuan seni ini sentiasa berada di pinggiran dan objek seni menjadi fokus.
Dengan berkembangnya dunia pasaran seni, objek seni sekadar dilihat dengan kaca mata komoditi yang dilabel ekslusif, tercipta dari kemahiran dan teknik seniman yang masih diselimutkan dengan mitos geniusnya.
Melihat kepada komentar Elena Martinique (2016) berkenaan kritikan seni, “Dengan nilai komersil seni ini yang berkembang, nilai spiritualnya, estetika seni, kognitif, emosi, moral dan nilai-nilai dialektikal kesedaran kritikal lain diserap oleh nilai duit.”
Krisis kritikan seni tidak hanya berlaku secara domestik malah berlaku di serata dunia. Menurutnya lagi, “Ramai pakar mendakwa kritikan seni telah mati. Mereka berhujah bahawa sejak dua dekad lalu kritikan seni telah menjadi bosan, tidak professional dan telah hilang tujuannya.
Pengkritik-pengkritik seni telah menjadi ejen perhubungan (private relation) untuk seniman-seniman kontemporari, galeri dan pasaran seni; menjadi salah satu alat dalam seni kontemporari untuk mencari kekayaan.” Maka, pengkritik seni juga sukar untuk melepaskan diri dari kepentingan material.
Pengetahuan seni yang tiada tempelan kod bar padanya beralih tujuan kepada copywriting memuji objek-objek jualan seni. Tambahnya, sokongan kepada sikap dan pemikiran kritikal dikesampingkan dengan kerisauan terhadap kritikan yang dianggap bersifat antagonis kepada masyarakat seni. Ini hal yang berlaku di dunia seni Barat yang rata-rata kita mengandaikan begitu tinggi budaya kritikan seninya.
Nyatanya, telah berlaku perubahan mendadak. Mungkin kurang wajar untuk menggunakan kata-kata Elena Martinique dalam membaca keadaan seni di Malaysia secara khusus mutakhir ini atas sebab perbezaan geopolitik, ekonomi dan budaya.
Namun, tidak boleh kita nafikan juga bahawa globalisasi menatijahkan masalah yang hampir serupa di segenap benua. Jika pada tahun 1970-an hingga 1980-an boleh dibaca sebagai era pembinaan identiti, 1990-an hingga 2000-an sebagai era pascamoden, masa kini mungkin boleh dibaca sebagai era kekuasaan pasaran.
Gocohan antara dua entiti ini sememangnya amat sukar untuk dilerai dan didamaikan.
Tekanan ekonomi yang semakin kacau bukan kepalang. Menutup sebelah mata terhadap aspek survival instinct dalam dunia seni, terutamanya bagi sebuah negara membangun, bukanlah tindakan yang rasional.
Timbul kesangsian kepada saya terhadap kemungkinan untuk pengetahuan seni dibangun, dirai dan berkembang dalam erti kata ideal, bernuansa bebas daripada kepentingan dan suci daripada politik kuasa dan wang.
Hal yang serupa berlaku dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan, agama dan apatah lagi dalam politik kenegaraan. Segalanya menjadi perniagaan. Sifat alergik yang menyelubungi kedua entiti adalah pergelutan yang entah di mana titik noktahnya.
Gantung tak bertali
Kebimbangan terhadap statiknya budaya kesenian mungkin berterusan apabila kekuatan tekanan pasaran menelan makna-makna yang terselindung di sebalik karya seni. Tanpa pertimbangan untuk melihat kepada persoalan makna terhadap seni – payah untuk digarap persoalan-persoalan lapangan kehidupan untuk direnung dan dijadikan iktibar.
Namun, begitulah paradoksnya kuasa pasaran dan pengetahuan seni – nampak bertentangan, namun dalam diam seolah kedua-duanya bercinta dari kejauhan. Sukar untuk memilih satu antara dua; mungkin satu lebih daripada satunya. Realitinya, keseimbangan dalam kehidupan tidak boleh dihitung dengan pecahan matematik 50/50.
– Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis. Ia tidak mencerminkan pandangan dan pendirian sidang redaksi Senimalaya.

