AYAH di penghujung usia
pergi ke pejabat simpanan pekerja
wang terkumpul simpanan
tujuh rial lima kupang
sekadar cukup tambang
dan balik beli bepang…
Ada dua puisi yang sangat kami gemari. Yang pertama ada puisi ‘Kasut But Baju Kot’ dan yang kedua adalah ‘Baliklah Wok’.
Puisi ‘Kasut But Baju Kot’ kami lihat dibacakan oleh Sabri Yunus dalam satu program televisyen lama dulu. Setelah mendengarnya sekali itu, tidak pernah lagi kami temui puisi itu dimana-mana. Akibatnya kami terus lupa kepada syair-syairnya. Namun begitu kami masih mengingati perasaan kami bila mendengar puisi itu dibaca. Kami tidak dapat menggambarkan perasaan itu dengan perkataan jadi kamu andaikan saja perasaan kami itu mengikut suka kamu.
Sebut fasal televisyen, kini tidak ada lagi rasanya program sajak atau puisi disana. Sastera hidup payah jika mahu bersaing di arus perdana. Semua pihak sekarang ini mengejar ‘rating’. Maka tidak ada bezanya mereka dengan budak yang membakar kereta peronda tempohari.
Sebut sekali lagi fasal televisyen, katanya sekarang ini ada orang buku yang menjadi orang besar di sebuah stesen televisyen. Stesen televisyen ustaz-ustaz. Maka sesuailah si dia itu mengambil kesempatan untuk menaikkan sastera dimata masyarakat awam. Berhijrahlah dari menerbitkan Akademi Fantasia versi ustaz dan ustazah itu. Naik meluat kita melihat budak Perempuan yang belajar agama bermonolog. Atau nanti bila budak-budak lelaki yang kamu Daie-kan, PU-kan itu masuk surat khabar sebab berbuat onar, kamu tidak malu?
Buatlah sesuatu agar hidup kita ada khair.
Puisi Baliklah Wok hasil tulisan penyair Ibrahim Mohd Taib kami temui di You Tube semasa bersiar-siar disana. Ianya dibaca sendiri oleh penyairnya dalam loghat Kuala Berang dan kami amat mengemarinya.
Puisi-puisi Ibrahim masih boleh dinikmati di You Tube.
Kedua-kedua puisi yang kami sebut disampaikan dalam Bahasa daerah dan ini bagi kami adalah sesuatu yang seharusnya menjadi identiti penyair kita. Sudah terlalu lama kita dipengaruhi gaya bacaan sajak atau puisi orang luar. Yang budak muda sibuk mahu jadi Rendra manakala yang agak berusia sibuk mahu suara bergema ala Nuri Angkasa.
Tambahan pula kita selalu bergaduh mengenai penting atau tidaknya penggunaan Bahasa melayu standard oleh seluruh rakyat Malaya ini. Jadi lebih baik kita bercakap mengikut loghat masing-masing.
Jarang kami mengulang baca semula setelah habis membaca sesebuah buku. Namun buku Kumpulan Puisi Wook oleh Wikunila MS ini sentiasa dalam ingatan kami. Terutama bila kami mahu bercerita mengenai buku puisi yang baik menurut pendapat kami.
Semasa mahu mengulas buku ini kami terlupa dimana kami simpan lalu kami menghubungi penulisnya dan dia bersetuju untuk menghantar buku berkenaan kepada kami. Untuk pengetahuan Wikunila MS atau Saberi Muda adalah penggiat teater, penyair, pelukis dan juga kurator Muzium Negeri Terengganu. Sebagai kurator dan pelukis, Saberi banyak mengadakan program yang meraikan seni catan ditempat kerjanya itu.
Membaca Kumpulan Puisi Wook adalah seperti membaca sebuah novel. Puisi-puisinya tersusun sebegitu rupa sehingga kita dapat menikmati kehidupan ‘Wook’ sejak dari lahir sehingga dewasa.
Mengenai kelahiran, Wikunila menulis:
tangis pertamanya pecah
sewaktu halalintar membaling guruh
kerusuk tengkujuh
tanah pulau rusa basah
rahim chek pecah…
Kepintaran Wikunila memilih puisi ini sebagai pembukaan seharusnya dipuji. Seperti menulis apa pun, perenggan pertama mestinya membuatkan pembaca mahu tahu lebih lanjut dan bila kita menggambarkan bunyi tangisan dan diselang -seli dengan bunyi halalintar, ianya adalah seperti pembukaan sebuah filem dan kita mahu tahu lebih lanjut lagi.
Kami paling tidak gemar akan melankolia dan buku ini adalah induk kepada segala puisi melankolik tetapi kami suka! Ianya adalah sebuah drama airmata yang dipuisikan dengan baik. Walaupun ada air mata yang bergenang ketika membacanya, dalam masa yang sama kamu akan kagum dengan kekuatan yang ada pada watak-watak yang dipuisi.
Puisi sedih yang ditulis oleh seorang lelaki tentunya berbeza dengan yang ditulis oleh seorang perempuan. Penulis wanita biasanya akan merintih sedangkan penulis lelaki pula akan menceritakan peristiwa tanpa ada rasa mahu dikasihani.
Lalu Wikunila berjaya meletakkan lelaki pada tempatnya melalui buku ini. Ianya menjadi kisah sedih yang sangat jantan.
Lihat juga bagaimana kasih saya seorang ayah digambarkan dengan semangat yang sangat lelaki. Ayah si Wook ini marah apabila sebiji putik kelapa jatuh menimpa kepala anaknya itu ;
dalam demam tak kebah
ayah bergegas separa baran
melangkah dengan kapak sebilah
kelapa nan sebatang
berlunjur di laman
Bait-bait yang membuka tulisan ini pula menggambarkan betapa setelah bertahun bekerja keras ‘ayah’ hanya mampu ke pejabat simpanan pekerja dan balik dengan membeli bepang sebagai buah tangan. Bepang adalah bertih yang disalut air gula dan dijadikan seperti biskut.
Selain bercerita mengenai ‘ayah’, terdapat juga puisi-puisi mengenai mereka-mereka yang rapat dengan ‘wook’. Nama-nama seperti Cikgu kasman, Cikgu Sulaiman, Adenang dan juga Esah diceritakan juga kisah mereka di dalam buku ini.
Kami tutup ulasan ini dengan sebuah puisi yang kami rasa paling meruntum jiwa;
kata doktor
dalam tubuh kecil ayah
sel darah putihnya berkelahi
seminggu ayah terguling di katil besi
di rumah tinggi
rojak ayam menu kegemaran ayah
aku beli dengan gaji pertama
hanya semulut ayah gagahi
setelah itu ayah pejam
tak celik-celik lagi…
